Berita Terkini

28 minit yang lalu: MAPIM, I-WAFIQ bantu pelarian Palestin di Jordan 29 minit yang lalu: Majlis Keselamatan PBB kutuk serangan ke atas Kedutaan Pakistan di Afghanistan 29 minit yang lalu: Piala Dunia: Korea Selatan, Jepun mungkin lakar sejarah 30 minit yang lalu: Gempa bumi kuat landa Jawa Barat Indonesia 31 minit yang lalu: Bayi perempuan ditemukan dalam kotak di kebun Jemaluang

IKUTI KAMI


Tarikh Akhir Proses Rundingan 5G Dengan DNB Kekal 30 JUN - Zafrul

Ekonomi Dikemaskini 5 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 18 Jun 2022 8:22AM

Gambar AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan insentif fiskal untuk membantu syarikat telekomunikasi beralih kepada 5G untuk mengurangkan sebarang kesan komersial jangka pendek dalam menyediakan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ketersediaan dan penggunaan 5G menyumbang kepada hasrat digital negara dan memastikan ketersambungan sebagai hak asasi rakyat Malaysia.

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, 5G akan meningkatkan ekonomi sebanyak RM650 bilion dan mewujudkan 750,000 pekerjaan bernilai tinggi mulai sekarang dan tahun 2030. Oleh itu, kejayaan pelaksanaan 5G kami adalah soal kepentingan awam," katanya dalam temu bual dengan The Straits Time semalam.

Tengku Zafrul berkata tarikh akhir bagi syarikat telekomunikasi Malaysia untuk memutuskan sama ada untuk mengambil alih kepentingan dalam Digital Nasional Bhd (DNB) kekal pada penghujung bulan ini kerana semua pihak berkepentingan mesti berkongsi merasa berapa pentingnya untuk Malaysia meningkatkan kesalinghubungannya untuk perniagaan, pembuatan dan rakyat bagi kekal berdaya saing di rantau ini.

“DNB dan syarikat telekomunikasi telah diminta memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 Jun. Sebilangan besar proses harus diselesaikan pada tarikh tersebut. Jika lanjutan masa diperlukan, proses itu boleh dilanjutkan sehingga awal Julai tetapi tidak lewat daripada tarikh berkenaan.

“Ia kini bergerak dalam landasan yang betul, ke arah matlamat utama kami untuk menyediakan perkhidmatan 5G kepada ramai pengguna dan perniagaan yang mungkin dalam masa yang paling singkat, membolehkan Malaysia mengejar apa yang dilakukan jiran serantaunya,” katanya.

Dalam tempoh jangka sederhana hingga panjang beliau berkata syarikat telekomunikasi akan meraih faedah 5G tanpa memerlukan bantuan tambahan daripada kerajaan.

“Isu yang lebih besar ialah akses rakyat Malaysia dan perniagaan kepada teknologi 5G. Jika syarikat telekomunikasi terutamanya yang lebih besar terus menangguhkan penyediaan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka seperti disebut oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia baru-baru ini, Kementerian Kewangan akan mempertimbangkan pilihan lain seperti mengeluarkan lesen baharu kepada pemain baharu untuk membolehkan penyediaan pantas perkhidmatan 5G di negara ini.

"Sememangnya kepentingan Malaysia dan rakyatnya mesti diutamakan daripada kepentingan komersial syarikat telekomunikasi," katanya.

Menurut Zafrul, peringkat pertama proses pengambilan ekuiti yang melibatkan pengumpulan maklum balas daripada syarikat telekomunikasi mengenai dokumen perundingan sulit yang dikeluarkan oleh DNB telah berjaya diselesaikan pada awal Jun di mana semua pihak yang dijemput memberikan maklum balas yang membina mengenai dokumen itu.

“Kami kini berada di peringkat kedua iaitu pengagihan ‘Term Sheet’ (terma pelaburan) untuk penyertaan ekuiti Telco. Terma pelaburan ini meringkaskan terma utama yang mana DNB akan ditadbir sebagai entiti dengan Kementerian Kewangan (MoF) dan syarikat telekomunikasi sebagai pemegang saham. DNB dan syarikat telekomunikasi yang berminat kemudiannya akan berusaha untuk menandatangani terma pelaburan itu secepat mungkin,” katanya.

Mengenai pegangan ekuiti oleh syarikat telekomunikasi dalam DNB, Tengku Zafrul berkata pegangan ekuiti yang ditawarkan kepada syarikat telekomunikasi yang tidak diambil akan diagihkan semula kepada mereka yang ingin memegang ekuiti dalam DNB.

“Justeru, syarikat telekomunikasi mungkin boleh memperoleh kepentingan yang lebih besar daripada 7.78 peratus yang ditawarkan kepada mereka sebelum ini. Bagaimanapun, tiada pelabur boleh memiliki lebih daripada 20 peratus DNB atau 25 peratus sekiranya berlaku penggabungan antara pemegang kepentingan ekuiti DNB.

“MoF akan memegang 30 peratus DNB. Bagaimanapun, jika hanya beberapa syarikat telekomunikasi yang melabur dalam DNB, kementerian akan mengambil mana-mana baki saham berdasarkan pegangan saham telco maksimum 20 hingga 25 peratus,” katanya.

Tengku Zafrul berkata majoriti pembiayaan DNB akan terus disediakan oleh pinjaman sektor swasta dan instrumen hutang dan sebarang dana yang diperoleh melalui terbitan saham baharu untuk 70 peratus ekuiti DNB akan mengurangkan keperluan untuk pembiayaan sektor swasta tetapi tidak akan menggantikannya sepenuhnya.

“Kerajaan yakin cadangan nilai DNB memenuhi kepentingan bagi tempooh jangka panjang syarikat telekomunikasi kerana ia tidak memerlukan pelaburan perbelanjaan modal (capex) yang tinggi sambil memastikan penggunaan yang lebih tinggi dan sekali gus meningkatkan purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) dan hasil keseluruhan dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa tawaran ekuiti dalam DNB dibuat untuk meningkatkan perkongsian awam-swasta dan membenarkan syarikat telekomunikasi tempatan mengambil bahagian dalam rangkaian 5G dan pelancaran infrastruktur bukan untuk membantu dalam pembiayaan pelancaran 5G.

“Semua spektrum 5G akan tersedia hanya melalui DNB. DNB boleh mendapatkan pembiayaan untuk membiayai pelancaran rangkaian kerana perkhidmatan 5G sudah pasti akan mendapat permintaan di negara ini. Saya sedar DNB telah berbincang mengenai pembiayaan dengan pelbagai bank,” katanya.

Walaupun menerima banyak permohonan dalam DNB daripada pelabur domestik dan asing, Tengku Zafrul berkata syarikat telekomunikasi Malaysia harus diutamakan berbanding kepentingan asing.

''Biarpun minat pihak lain terhadap DNB kekal kukuh, saya tidak percaya pihak lain itu akan menggantikan syarikat telekomunikasi Malaysia dalam DNB melainkan situasi memerlukan pertimbangan semula,” katanya. - Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

DNB Rancang Perluas Kawasan Rangkaian 5G Dengan Perbelanjaan RM1.3 bilion Pada 2023

2

Semasa 1 bulan yang lalu

2,119 Tapak Rangkaian 5G Siap Dibangun DNB Setakat Ogos Lalu

3

Semasa 2 bulan yang lalu

DNB, 4 Syarikat Telco Tandatangani Perjanjian Akses 5G Akhir Bulan ini

4

Ekonomi 2 bulan yang lalu

DNB Guna Radio Ericsson Ultra-Ringan Pertama Di Asia Dalam Pelaksanaan 5G

Sorotan

1

Kabinet Anwar Beri Peluang Pemimpin Muda Bawah 50 Tahun Tunjuk Kemampuan

2

Permintaan Pasaran, Ruang Kilang Lebih Luas Sokong Operasi Micron Di Malaysia

3

Kerajaan Selangor Harap Laluan ECRL Ditambah Ke Bahagian Selatan Negeri

Disyorkan untuk anda

Ekonomi 1 hari yang lalu

Permintaan Pasaran, Ruang Kilang Lebih Luas Sokong Operasi Micron Di Malaysia

Ekonomi 1 hari yang lalu

Ahli Ekonomi Unjur Dividen TH 2.75 Hingga 3.10 Peratus Tahun Ini