Tular video seorang penunggang motosikal meragut beg ketika jalan raya sedang sesak dipercayai berlaku di Lintas Kepayan, Sabah, baru-baru ini.
Berdasarkan rakaman video yang dikongsi di media sosial, pemilik kereta tidak menutup tingkap di bahagian penumpang depan dan ia memberi kesempatan kepada penunggang motosikal untuk mengambil beg berkenaan.
Penunggang motosikal itu berjaya melarikan diri bersama beg terbabit walaupun cuba dihalang oleh penumpang kereta berkenaan.
Justeru, adalah dinasihatkan pemilik kereta supaya menutup tingkap dan mengunci kenderaan ketika berada di jalan raya yang sesak untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berlaku. - Getaran, 12 Disember 2023