Berita Terkini

2 jam yang lalu: Mangsa banjir di Batu Pahat tinggal 444 orang setakat 4 petang 2 jam yang lalu: Sesi libat urus perluas sistem pembayaran terbuka lebuh raya - Salahuddin 2 jam yang lalu: Polis tahan dua lelaki, rampas dadah bernilai RM3.22 juta 2 jam yang lalu: Pemohon Skim SRP masih boleh dapat pembiayaan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan 2 jam yang lalu: 20,041 kes hilang wang daripada institusi perbankan di Malaysia pada 2022

IKUTI KAMI


Tugas Di Awan Biru ‘Direhatkan’, Pramugara Usahakan Khidmat Penghantaran Kejutan

Usahawan Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 Jan 2022 1:12PM

Syed Shahrizal mengusahakan perniagaan CakeWhat selepas dicutikan tanpa gaji sebagai pramugara. - Gambar oleh Azim Rahman

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

CYBERJAYA - Lebih sepuluh tahun ‘terbang’ di awan biru sebagai kru kabin, Syed Shahrizal Syed Othman tidak pernah menduga kerjayanya sebagai pramugara diuji ketika pandemik COVID-19 sehingga dia dicutikan tanpa gaji.

Keadaan itu disebabkan syarikat penerbangan tempat dia bertugas terpaksa mengehadkan perjalanan keluar masuk sempadan negeri serta negara, sekali gus mengakibatkan kerugian yang amat besar.

Syed Shahrizal bersama kru kabin yang membantu perniagaannya. - Gambar oleh Azim Rahman
Syed Shahrizal bersama kru kabin yang membantu perniagaannya. - Gambar oleh Azim Rahman

Tidak mahu terus kecewa dan sedar kehidupan mesti diteruskan, jejaka berusia 41 tahun itu nekad mengembangkan perniagaan diusahakannya sejak 2017, CakeWhat Sdn Bhd (CakeWhat) yang menawarkan khidmat penghantaran kejutan.

Syed Shahrizal atau mesra dipanggil Kimi berkata, keputusan itu tepat apabila dia menerima tempahan yang sangat tinggi sehingga menjana keuntungan lebih empat kali ganda berbanding sebelum pandemik.

“Ketika pengurusan syarikat mengumumkan saya antara kru kabin yang ‘direhatkan’ akibat COVID-19, saya hampir putus asa tetapi sedar tidak boleh duduk diam kerana memerlukan duit untuk menampung perbelanjaan harian dan membayar bil,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Pekerja CakeWhat sedang menyiapkan tempahan pelanggan. - Gambar oleh Azim Rahman
Pekerja CakeWhat sedang menyiapkan tempahan pelanggan. - Gambar oleh Azim Rahman

Kimi berkata, pada awalnya dia buntu mencari jalan untuk meneruskan perniagaan itu memandangkan premis CakeWhat yang terletak di Putrajaya terpaksa dihentikan operasi susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0.

Dia kemudian menjalankan perniagaan itu secara dalam talian dan menguruskan tempahan yang masih diterima daripada pelanggan di kediamannya.

“Saya menguruskan tempahan bersama dua rakan. Berkat usaha dan kesabaran, kami akhirnya mampu menarik nafas lega kerana menerima tempahan yang banyak.

“Penghujung 2020, saya mengambil keputusan membuka kedai baharu dan menambah pekerja kerana kami tidak ‘menang tangan’ menguruskan tempahan,” katanya.

Mengakui gembira dengan perniagaan diusahakan, Kimi meluahkan kesyukuran apabila mampu berkongsi rezeki dengan kru kabin yang turut kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik itu.

“Walaupun dulu kami sama-sama bertugas di awan biru, kami tidak segan, malah teruja untuk mengubah belon berbentuk bunga dan menghasilkan pelbagai gubahan.

“Awal-awal memang kekok kerana gubahan bunga belon ini memerlukan kreativiti, tapi kami sanggup belajar dan hasilnya ia berjaya menepati citarasa pelanggan,” katanya.

CakeWhat menggaji kru kabin yang turut kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19. - Gambar oleh Azim Rahman
CakeWhat menggaji kru kabin yang turut kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19. - Gambar oleh Azim Rahman

Menyambung kisah perniagaannya, Kimi berkata, perniagaan diusahakan secara sepenuh masa itu memberi pulangan lumayan apabila dia mampu memperoleh lebih RM80,000 sebulan.

Bidang perniagaan, katanya, menjanjikan keuntungan besar dengan syarat peniaga selalu rajin dan sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan.

“Sebelum ini ketika makan gaji, setiap bulan saya menunggu pendapatan daripada syarikat, tetapi berniaga pula berbeza kerana lebih banyak kita berusaha, semakin banyak kita miliki.

“Apapun, saya menganggap apa diperoleh CakeWhat ini adalah hasil usaha bersama rakan dan kakitangan yang sentiasa bekerja keras. Bagi mendapatkan pulangan dan hasil baik, pasukan memainkan peranan penting,” kata anak kelahiran Ipoh, Perak itu.

Mengulas lanjut, Kimi berkata, dia kini merancang membuka cawangan CakeWhat di Johor Baharu pada tahun 2023 kerana menerima tempahan tinggi daripada negeri berkenaan.

Antara gubahan belon oleh CakeWhat. - Gambar oleh Azim Rahman
Antara gubahan belon oleh CakeWhat. - Gambar oleh Azim Rahman

Graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menjelaskan, sehingga kini syarikat terbabit menawarkan lebih 50 jenis gubahan belon.

Jelasnya, semua gubahan itu menerima sambutan menggalakkan, terutama belon berbentuk bunga.

Hasil maklum balas diterima daripada pelanggan pula amat memberangsangkan dan jelasnya, mereka sangat berpuas hati dengan hasil gubahan serta perkhidmatan ditawarkan.

Ditanya mengenai persaingan, Kimi mengakui tidak gusar dengan perkara itu kerana percaya setiap usahawan mempunyai rezeki masing-masing dan keistimewaan tersendiri.

“Kami juga mempunyai pelanggan setia memandangkan kami antara syarikat terawal mengusahakan perkhidmatan kejutan dari rumah ke rumah menggunakan belon gubahan bunga ini,” katanya.

Meski perniagaan diasaskan semakin mendapat tempat, Kimi masih merindui kerjaya asalnya, dan meluahkan kerinduan untuk kembali berkhidmat sebagai pramugara, apatah lagi tugas itu sudah begitu sebati dengan dirinya.

“Bohong kalau kata tidak rindu untuk ‘terbang’ semula, tetapi saya masih belum dipanggil untuk bekerja sebagai pramugara.

“Buat sementara waktu, saya akan beri fokus kepada CakeWhat,” katanya. - Getaran, 13 Januari 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 hari yang lalu

Usahawan Selebriti Norjuma Diisytihar Bankrap

2

Selera 3 minggu yang lalu

Rasa Unik Piza Dibakar Dalam Ketuhar Bata

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Penanda Aras Sijil Halal Diumum Dalam Masa Terdekat - Ahmad Zahid

4

Selebriti 1 bulan yang lalu

Raysha Rizrose, Nabil Jeffri Selamat Diijabkabulkan Dengan Sekali Lafaz, Kisah Cinta Bermula Di Twitter 

Sorotan

1

Jangan Salahkan Media, Isu Perkauman Ini Ahli Politik Yang Mulakan!

2

Tambang Bas Sekolah: Jangan ‘Cekik Darah’, Ikut Tempoh Perkhidmatan, Adakan Perbincangan

3

Perkhidmatan Kesihatan Umum ‘Diketepikan’ Demi Perumahan Mewah? NGO Saran Adu Pihak Berkuasa

Disyorkan untuk anda

Ekonomi 1 hari yang lalu

Jadikan Bidang Keusahawanan Sebagai Kerjaya Utama - Ahmad Maslan