Minggu ini sidang redaksi Getaran kongsikan beberapa filem dan rancangan siaran langsung dari Indonesia yang boleh anda tonton pada waktu senggang anda. Ada juga sebuah terbitan Hollywood untuk para pecinta fesyen di luar sana. Selamat menonton!
Crazy Awesome Teachers (Guru-Guru Gokil) (Netflix)

Filem bergenre komedi ini masih ditayangkan di Netflix ini. Jika anda ingin melihat sisi berbeza pelakon superstar Dian Sastrowardoyo, tonton filem ini.
Penampilannya sangat berbeza. Comot dan selekeh. Silap-silap ada yang tidak perasan kehadiran Dian yang menggalas watak seorang cikgu yang hamil dan dikejar oleh lintah darat gara-gara suami yang suka berhutang.
Selain menjadi pelakon, Dian juga adalah penerbit buat julung-julung kalinya.
Crazy Awesome Teachers adalah filem Indonesia tahun 2020 yang diarahkan oleh Sammaria Simanjuntak dan turut dibintangi oleh Gading Marten, Faradina Mufti, Boris Bokir, dan Kevin Ardilova.
Berlatarkan sebuah perkampungan terpencil, filem Netflix Original kedua dari Indonesia ini boleh dibanggakan kerana boleh ditonton di 190 negara. Terdapat 17 sarikata tersedia dan antaranya ialah Inggeris, Thai, Jepun, Perancis, Korea, Sepanyol.
Filem ini mengisahkan tentang kes kecurian yang berlaku di sebuah sekolah. Taat Pribadi (Gading Marten) seorang guru baru dan rakan-rakan guru lain berusaha mendapatkan kembali wang gaji mereka yang dicuri oleh samseng yang sudah sekian lama memeras penduduk setempat.
Pelbagai insiden melucukan terjadi ketika guru-guru ini melakukan penyiasatan, sehingga tidak kering gusi dibuatnya. Walaupun jalan ceritanya cukup mudah diramal, namun masih ada kejutan yang dilakukan oleh penulis naskah.
Hujung minggu ini jika mahu menghela nafas, bolehlah tonton filem komedi ringan ini untuk bergelak-tawa. Stress reliever! - Rahayu MN
Siaran langsung Net TV (YouTube)

Berbanding Malaysia, Indonesia mempunyai lebih banyak pilihan saluran TV berkat negara dan populasinya yang lebih besar.
Jika anda pernah ke Indonesia dan meminati rancangan-rancangan TV mereka, salah satu saluran TV percuma mereka bernama Net TV yang muncul beberapa tahun lalu menyajikan pelbagai rancangan menarik.
Dari rancangan bual bicara seperti 'The Tonight Show', Selamat Siang Indonesia, hinggalah ke perkembangan berita, siri dokumentari dan info hiburan seperti 'ipop' serta ungkapan penyiasatan dalam '86', semuanya ada di Net TV.
Lebih mudah lagi, siaran langsung acara TV mereka dapat disaksikan di YouTube dalam waktu sebenar atau real time. Jadi kalau tercari-cari satu saluran untuk mengenali budaya dan bahasa Indonesia, cuba intai saluran TV ini – Shah Shamshiri
Merah Itu Cinta (Vidio.com)

Merah Itu Cinta (2007) adalah filem drama Indonesia yang diarahkan oleh Rako Prijanto dan dibintangi oleh Marsha Timothy, Gary Iskak, Yama Carlos dan Inong Ayu.
Ia tentang sebuah kisah cinta tragis dengan sentuhan kontemporari. Cinta pada zaman moden yang berbeza dengan kisah cinta klasik Romeo dan Juliet kerana penuh dengan kejutan serta kenyataan yang terkadang menyakitkan.
Filem ini mengisahkan sepenggal kehidupan seorang gadis yang bernama Raisa (Marsha Timothy). Dia gadis romantis namun memberontak yang berambut merah. Dalam setahun terakhir hatinya, Raisa menanti kepulangan cinta hati dan tunangnya, Rama (Yama Carlos).
Namun harapan dan impian tinggallah kenangan. Takdir berkata lain. Bukan Rama yang muncul di hadapannya. Malah berita duka yang menyayat hati. Rama telah pergi. Di tengah-tengah kesedihan, muncullah Aria (Gary Iskak).
Aria ialah sahabat baik Rama sejak zaman sekolah. Bagi Raisa, Aria memiliki kemiripan dengan Rama. Dan hidup Raisa lambat laut berubah. Namun, persoalan tidak berhenti sampai di sini. Selain membawa harapan dan kehangatan cinta, Aria membawa sebuah rahsia tentang Rama. - Zaidi Che
'Halston' (Netflix)

Jika anda peminat fesyen anda pasti pernah mendengar nama Roy Halston Frowick, seorang pereka fesyen Amerika yang pernah melakar nama hingga ke peringkat antarabangsa sekitar 1970-an.
Namanya mula mendapat perhatian apabila, beliau membuat rekaan pillbox hat untuk Jacqueline Kennedy serta bertanggungjawab untuk mempopularkan kaftan yang khusus direkanya buat bekas isteri presiden Amerika Syarikat itu.
Beliau juga sering menghasilkan rekaan fesyen untuk selebriti terkemuka seperti Greta Garbo, Babe Paley, Anjelica Huston, Gene Tierney, Lauren Bacall, Margaux Hemingway, Elizabeth Taylor, Bianca Jagger dan Liza Minelli.
Sepertimana kerjaya dan popularitinya yang memuncak, begitu juga dengan kehidupan peribadinya. Gambar-gambarnya di Studio 54 bersama rakan selebriti banyak dirakam. Dia juga menjalinkan hubungan cinta dengan artis berdarah Venuzuela bernama Victor Hugo serta pereka fesyen Luiz Esteves.
Pada 1980, bisnes Halston mula berada di ambang kejatuhan dan beliau kemudian disahkan menghidap HIV .
Kisah hidup dan rentetan perjalanan sebagai pereka fesyen yang masyhur sehinggalah dia bergelut mempertahankan bisnes serta bertarung dengan penyakitnya ini telah dipaparkan dalam drama bersiri 'Halston' di Netflix.
Aktor hebat Ewan McGregor telah diberikan tugas untuk melakonkan dan menghidupkan wataknya di dalam drama bersiri yang turut dibintangi Bill Pullman dan Rebecca Dayan. - Ellyna Ali
Ratu Ilmu Hitam (Mubi)

Keajaiban horror, thriller and gore berlaku apabila Kimo Stamboel dan Joko Anwar bergabung.
Nama Kimo memang sinonim dengan filem seram dan lebih selalu berpadu dengan Timo Tjahjanto dengan menggunakan nama The Mo Brothers.
Kisah Ratu Ilmu Hitam bermula apabila Hanif (Ario Bayu) membawa isterinya Nadya (Hannah Al Rashid) dan tiga orang anaknya (Zara JKT48, Ari Irham, Muzakki Ramdhan) pulang ke rumah anak yatim tempat dia membesar untuk melawat pengetua ((Yayu Unru) yang sedang sakit.
Di sana, mereka bertemu dengan beberapa orang teman baik Hanif (Tanta Ginting, Miller Khan, Ade Firman Hakim) bersama pasangan-pasangan mereka.
Para penonton tidak perlu menunggu lama untuk merasakan debaran jantung akibat terkejut. Mengangkat tema pengkhianatan, dendam dan sihir, filem ini tidaklah diisi dengan aksi seram semata. Ada juga sindiran-sindiran halus tentang keadaan sosial masa kini.
Para peminat filem seram dan gore, ini untuk anda. Tidak sesuai untuk mereka yang takutkan darah. - Ili Farhana - Getaran, 15 Ogos 2021