Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Mencari Sinar Keindahan Di Sebalik Pandemik

Sedarkah anda tentang ‘wabak susulan' pandemik ini? Kelesuan minda dan kehilangan daya untuk meneruskan hari-hari mendatang. Lalu, apakah cara untuk menyuntik kegembiraan dalam kelamnya kekalutan ini?

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 Aug 2021 12:28PM

Gambar: Ady April, Pexels

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Media sosial kini semakin hangat dan menjadi medan utama masyarakat melampiaskan apa saja. Dari seremeh-remeh isu sehinggalah membawa kepada isu yang parah lagi serius. 

Apatah lagi dalam keadaan tekanan angkara terkurung terlalu lama sementelah dihimpit permasalahan kehidupan seharian angkara pandemik. Sesungguhnya, ia sangat-sangat mencabar. Terlalu mencabar.

Maka, ada yang mengambil pendekatan meluah atau turut serta bersabung di media sosial untuk melapangkan sedikit ruang jiwa yang sudah terlalu sesak menepu.

Dalam pada itu, timbul pula ‘wabak’ susulan-- kelesuan minda, kerapuhan jiwa, kehilangan daya untuk meneruskan hari-hari mendatang setelah kehidupan asal berubah total 360 darjah. 

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Kehilangan kerjaya, kekurangan sumber kewangan harian, peningkatan beban hidup yang tidak terjangkau membawa kita yang positif ini mencuba mencari sedikit ruang sejahtera untuk mengabaikan sebentar semua kekalutan yang sedang berlaku. 

Terlalu getir buat sesetengah daripada kita untuk menerima situasi semasa ketika ini. Ada yang kehilangan ahli keluarga, kenalan rapat terlalu dekat dan terlalu pantas angkara ganasnya varian Delta COVID-19. Melihatkan peningkatan angka jangkitan harian terbaru juga sudah mampu membuat tekanan darah melonjak tinggi. 

Itu belum lagi kerisauan dan kebimbangan kelangsungan kerjaya yang masih lagi kabur. Apakah ada lagi ruang rezeki atau sebaliknya? Dan kita berterusan saling salah-menyalahi, menyimbah kekecewaan sewenangnya serta melepaskan apa saja yang terbuku meski yang disasarkan salahnya masih belum tentu.

Abaikan seketika yang hangat, yang sensasi atau kegagalan yang menjadi punca kita semua bermulut puaka, mencarut dan mencerca. Sedar, kita hanya mahu melepaskan diri dari ikatan kekecewaan kehidupan semasa yang umpama dawai kawat berduri.

Percayalah, kita masih punya cara menyuntik kegembiraan dalam kelamnya kekalutan. Apa kata kita olah apokalips yang dahsyat ini kepada sesuatu yang lebih meriah nan indah bak melewati damainya jannah?

 

FASHIONISTA VAKSIN

Kita harus bersyukur meski tidak ada lagi penawar ampuh sebenar, setidak-tidaknya kita ada vaksin sebagai perisai pelindung diri. Tidak kira apa pun jenis vaksin sumbangan kerajaan, ia berupaya mengekang jangkitan menjadi lebih parah atau kritikal. 

Tempat berfoto usai divaksin memang banyak disediakan. Nah, inilah masanya kita bergaya sakan. Buat suai padan peranggu, inilah waktunya kita melepaskan geram angkara bekerja dari rumah.

Setelah sekian lama terkurung, gunakan peluang temu janji mengambil vaksin ini untuk mengembalikan semula semangat bergaya yang selama ini terabai. Abadikan foto cantik anda sebanyak mungkin di media sosial.

Oh ya, alangkah bagusnya andai Kementerian Kesihatan mengadakan peraduan Foto Vaksinasi Terbaik, Tercantik atau Paling Bergaya? Tawarkan pula ganjaran menarik. Pasti tidak ada sesiapa pun yang ingin melepaskan tawaran sedemikian bukan?

 

PELBAGAIKAN KOLEKSI PELITUP WAJAH

Sejak bermulanya era pendamik, peranan alat solek terutama sekali gincu bibir seakan pupus. Memakai gincu di balik pelitup muka pula seakan langkah yang tidak masuk akal sementelah menjadi punca pelitup muka menjadi kotor angkara tersentuh dengan warna gincu.

Apa kata kita cari atau kumpulkan pelitup muka yang cantik bergaya. Polos pelbagai rona buat padanan pakaian atau yang berperincian untuk tampil lebih bergaya, ia aksesori wajah terkini yang harus diberikan perhatian.

Ubah persepsi pelitup wajah yang sinonim dengan dunia rawatan atau perubatan kepada aksesori keperluan perlindungan yang sangat bergaya!

 

BELI ITEM KETENANGAN

Ada pelbagai barangan atau objek yang menawarkan ketenangan ditawarkan atau dijual di pasaran. Ada yang berfungsi mengurangkan tekanan dan ada pula berfungsi memberikan ketenangan serta kombinasi rawatan.

Aroma terapi dengan minyak sebatian pelbagai fungsi atau rawatan, stress ball dan lampu ilusi ketenangan mampu meminimakan tekanan serta mengalih tumpuan minda yang serabut. Haruman minyak pati bunga lavender antara penebat kepada tekanan paling popular.

Lampu dengan kesan audio dan visual pantai atau hutan juga boleh menghadirkan ketenangan jiwa. Malah, ada lampu yang disertai dengan audio zikir munajat serta surah-surah terbaik pilihan. Cari saja di laman belian atas talian, buat pilihan atas keperluan.

 

GANDAKAN TUMPUAN KEPADA PERKARA YANG MENYENANGKAN

Apa aktiviti dalaman yang sering membuatkan anda teruja? Ya, jika selama ini ia membuatkan kita khayal, berjaya mengalihkan tumpuan kita atau mampu mengusir tekanan yang mendatangi, maka ia sangat berkesan dalam merawat kelelahan jiwa.

Andai memantau aksesori kesayangan seperti kasut atau beg membuatkan anda gembira, teruskannya. Andai menonton filem seram mampu mengalih tumpuan dari terus fokus kepada tekanan, lakukannya.

Andai selama ini anda kurang memberi tumpuan kepada haiwan peliharaan, inilah masanya anda melunas kembali tanggungjawab yang terganggu kerana kesuntukan masa di masa lalu. Berikan tumpuan berganda kepada perkara yang menggembirakan kita. Ia seolah-olah ‘vaksin’ kepada tekanan semasa yang sedang kita hadapi.

 

JENAKAKAN TEKANAN 

Andainya media sosial pilihan utama anda dalam berinteraksi, kaedah ini antara yang boleh anda guna pakai. Muat naik apa saja status berkaitan isu yang menjadi punca tekanan kepada anda.

Usah serius sebaliknya jadikan ia bahan jenaka atau satira yang boleh mencuit hati dan membuatkan anda atau sesiapa pun ketawa. Pastikan ia lucu tetapi, elakkan menyentuh isu sensitif semasa.

Andai terpaksa sekali pun, gunakanlah bahasa kiasan. Lucu, menghiburkan tetapi sentiasa cakna dengan netizen atau masyarakat yang membacanya kelak. 

 

BERTIK TOK

Mengapa tidak? Sementelah ia sedang hangat dan menjadi pilihan ramai. Muat naik apa saja yang anda mahukan asalkan ia tidak mengganggu ketenteraman umum atau sesiapa pun yang menontonnya.

Jauhi isu-isu yang boleh membangkitkan sensitiviti, bangsa, agama dan negara. Inilah masanya anda meneroka bakat terpendam selain menghiburkan teman-teman dengan telatah dan pengisian anda.

Selain mampu menghilangkan tekanan dan memberikan keriangan, mungkin ada penonton yang terubat tekanan atau rasa sugulnya kerana menonton tabiat dan kerenah kita. Kita terhibur, yang menonton pula hilang tekanannya.

Demikianlah antara beberapa keriangan yang boleh kita cari atau cipta ketika berada pada situasi pandemik yang kian meruncing ini. Jangan sesekali kita membatas asa kerana terhukum dengan tekanan hidup yang tidak pernah berhenti menjengah.

Motivasikan diri, kerana norma hidup ketika ini menuntut kita semua untuk lebih kreatif dalam hidup. Jangan buntu dalam mencipta keriangan. Warnai hari-hari kita dengan kegembiraan selagi segalanya masih belum berakhir.

Kembalikan semula nilai kehidupan dengan tetapan minda yang sangat positif. Kita semua berhak gembira. Tarik nafas, pejam mata sebentar. Dengarkan, ‘bukan anda saja yang melalui, tetapi kita semua.’ - Getaran, 1 Ogos 2021

Isu Pada

Jeritan Ezah Hashim

31 Jul 2021

Berita Berkaitan

1

Kisah Kita 3 bulan yang lalu

Kisah Bendera Putih, Cebisan Bukti Keluhuran Hati Al-Sultan Abdullah

2

Semasa 3 bulan yang lalu

COVID-19: Pemakaian Pelitup Muka Masih Digalakkan Di Sekolah - Wong

3

Semasa 3 bulan yang lalu

20 Kes Baharu COVID-19 Dikesan Libatkan Mangsa Di PPS Terengganu, Kelantan - Dr Dzulkefly

4

Semasa 3 bulan yang lalu

Peningkatan Kes COVID-19, Amalkan Semula SOP Kesihatan - Pakar

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini