Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Inilah 10 Lagu Protes dan Kritikan Yang Ditujukan Buat Pihak Pemimpin!

Menerusi karya-karya lagu mereka, 10 penyanyi dan kumpulan muzik tempatan ini pernah menyuarakan protes dan kritikan mereka secara lantang terhadap sikap dan tindakan pemimpin dan ahli politik yang dilihat semakin keterlaluan.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 10 Jul 2021 12:02PM

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Suasana politik yang tidak menentu, sikap rakus pemimpin dan ahli politik yang dilihat lebih ‘seronok’ berebut kuasa dan kedudukan benar-benar melelahkan rakyat. Apatah lagi dalam keadaan dan situasi rakyat kini semakin tertekan akibat hilang pekerjaan dan punca pendapatan gara-gara pandemik COVID-19.

Desakan hidup yang semakin meruncing menyebabkan segelintir rakyat mengambil tindakan untuk membunuh diri dan jumlah rakyat yang mengalami depresi semakin tinggi. Malah, sudah makin ramai rakyat memberontak mengkritik sikap dan tindakan kerajaan, pemerintah dan ahli-ahli politik menerusi platform media sosial terutamanya Twitter. 

Sikap ‘gila kuasa’ pemimpin dan ahli politik, tidak memikirkan nasib rakyat, menggunakan kuasa sewenang-wenangnya serta hanya mahu menjaga kepentingan diri mereka ini tidak begitu disenangi segelintir penyanyi dan band pemuzik tempatan. 

Menerusi karya-karya lagu mereka, penyanyi dan band muzik tempatan ini telah menyuarakan protes dan kritikan mereka secara lantang terhadap sikap dan tindakan pemimpin dan ahli politik yang dilihat semakin keterlaluan. 

Berikut adalah 10 lagu tanda protes dan kritikan yang ditujukan buat kerajaan, pemerintah serta ahli politik: - 

Hanturaya Putrajaya – Carburator Dung 

Sebuah lagu protes satira politik daripada Carburator Dung yang cuba menyelar sikap dan tindakan kerajaan dan pemimpin dalam menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara apabila dikritik.

Ia cuba menggambarkan situasi sebenar yang berlaku apabila seseorang begitu lantang dan berani bersuara mengkritik kerajaan dan pemimpin. 

“Cuba-cuba naikkan suara Kan ku heret, aku ikat, aku tangkap, aku sumbat! Cuba-cuba naikkan kepala Kan ku ketuk, aku lepuk, aku luku, aku cantas! 

“Cuba-cuba celikkan mata Aku cucuk, aku sembur, aku genyeh, aku jolok! Jangan lupa, jangan alpa! Aku yang berkuasa!”.

Ia juga sangat relevan dengan situasi dan pergolakan politik yang dihadapi negara pada masa sekarang. Padahal lagu yang dimuatkan dalam album 'Inginku Rejam Raksasa Kejam' ini diluncurkan di pasaran muzik underground pada 2012. 

Sebenarnya, banyak lagi lagu-lagu berbentuk satira politik yang dihasilkan band muzik punk rock yang mula diasaskan pada 1991 ini. Antaranya adalah 'Mata Buta', 'Potong Nama', 'Tutup Buku', 'Tak Boleh', 'Macam Celaka' serta 'Semua Sama, Semua Bosan'. 

Mereka memang band muzik yang rebel, berani dan penuh kontroversi serta langsung tidak hiraukan populariti serta tidak peduli untuk mengetengahkan muzik mereka di pasaran muzik arus perdana. 


 

 Pengkhianat Lahanat – FTG 

Tidak ada tapis-tapis. Kumpulan thrash metal ini nampaknya benar-benar melepaskan geram mereka terhadap terhadap pihak kerajaan dan pemerintah apabila menggunakan perkataan seperti ‘bangsat’ dan ‘lahanat’ menerusi karya lagu ini.

Dalam karya lagu ini, pemimpin dilabel sebagai pengkhianat kerana gagal mengotakan janji untuk memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Apatah lagi bila ada di antara mereka yang terlibat dengan gejala rasuah.  

“Mana janji untuk bangsa, Itu semua kencing merata, Janj manis di mulut saja. Pejuang bangsa, pejuang agama, Bapak penipu! Bapak pembohong! Bangsat! Lahanat, Kau Pengkhianat! 

Lagu protes ini dimuatkan dalam album terbaharu FTG, 'Kau Jangan Kurang Ajar' yang diluncurkan di pasaran pada 2019 selepas 15 tahun mereka menyepikan diri.

Banyak lagi lagu-lagu protes terhadap pemimpin dan ahli politik yang dimuatkan di dalam album ini iaitu 'Demokrasi Mimpi' dan 'Jangan Kurang Ajar'. 

Malah, FTG yang bermaksud Freedom That’s Gone memang banyak melemparkan kritikan sosial tentang kehidupan masyarakat kita serta tanda protes terhadap kerajaan dan pemerintah di dalam album-album terdahulu. 

Bazooka Penaka  – Wings 

Di antara banyak-banyak band muzik rock gergasi arus perdana, Wings sememangnya lantang menyuarakan kritikan terhadap pihak pemerintah dan ahli politik.  Dalam lagu 'Bazooka Penaka' yang dimuatkan dalam album tajuk yang sama pada 1993 misalnya, secara terang-terangan mengkritik hipokrasi pemimpin atasan yang ingin membunuh seni di Malaysia suatu ketika dahulu. 

“Bazooka kami, Peluru kami, Berjuang kita tentang kepuraan, Belati kita, Semangat kita, Berjuang kita tentang hipokrasi, 

“Lu persis musang berbulu ayam, Bertuhan syaitan serakah penaka, Lu lah dedalu di batang nafsu, Bertopeng handsome tanpa harga diri (rasa malu)  Janganlah lu overacting, Lu terover berlagak (kuasa) “

Menariknya, lirik lagu ini telah ditulis Nasir Jani, seorang karyawan seni dan aktivitis yang sehingga hari tidak pernah mengalah untuk terus bersuara demi memperjuangkan industri seni Malaysia di dalam karya-karya seninya. 

Lagu Wings lain yang bersikap protes dan kritikan terhadap pemerintah dan ahli politik adalah 'Hukum Karma', 'Rantai, Bazooka Penaka', 'Satelit Puaka', 'Orang Kita', 'Kiblat Lazer' dan 'Midnight Blues'. 

Mana mungkin kita mampu singkirkan lagu 'Hukum Karma' dalam ingatan. Lagu yang dimuatkan dalam album judul yang sama pada pada tahun 1988 ini adalah suara hati terhadap sikap pemimpin yang terlalu gilakan nama, kuasa, harta dan darjat.  

Rata-rata peminat tegar Wings berpendapat lagu 'Hukum Karma' ini sangat  relevan dengan situasi pada masa sekarang yang mana kebanyakan ahli politik dilihat sedang gila merebut nama, kuasa dan kedudukan. 

Freedom & Justice – The A.C.A.B 

Seperti mana tajuk lagunya, band muzik skinhead The A.C.A.B ini telah menyuarakan isu tentang kebebasan bersuara yang selama ini disekat pihak pemerintah dan bagaimana tiadanya keadilan sehingga yang miskin akan terus miskin dan yang kaya akan tetap terus jadi kaya. 

“Open up your eyes and see, People live in poverty, No right to speak, no right to fight, Coz the tryrany will always be right.

“The poor will always be the same, while the rich keep winning their game, You rape and murder our freedom of speech, And call it justice as you turn ourselves in..”

Lagu ini telah dihasilkan pada era 2000 pada waktu itu itu kumpulan muzik ini masih mengekalkan nama A.C.A.B. Namun, nama kumpulan mereka kemudian ditukar kepada The A.C.A.B apabila mereka mula beralih kepada genre muzik indie rock. 

Sebuah lagi lagu mereka iaitu 'Perjuangan' juga sarat dengan isu-isu mengenai hak kebebasan diri untuk menuntut keadilan dan peperangan perjuangan menuntut kebebasan serta keadilan itu akan diteruskan. 

Akhir Zaman - Bunkface 

Sebelum ini, kebanyakan lagu mereka hanya mengutarakan tema-tema yang selamat. Namun, pada tahun lalu, Bunkface nampanya cuba keluar dari kepompong yang selamat dengan  telah meluncurkan sebuah lagu dengan mesej yang begitu keras dan mendalam iaitu 'Akhir Zaman'. 

Lagu ini menerima kecaman daripada segelintir netizen kerana band punk rock ini secara terang-terangan telah mengkritik dan memprotes tindakan sebuah parti politik yang dilihat cuba memberikan sokongan dan hak sama rata kepada gerakan LGBT serta kebebasan beragama. 

“Mana pergi, Engkau agamamu, Aku agamaku, Korupsi perlu kasi hapus, Engkau agamamu, Aku agamaku, LGBT, boleh pergi mampus, 

“Jawab di sini lepas, Jawab di sana belum tentu lepas, Dulu hebat kini dah berkarat, Semua bangsat sudah pun mendarat. Mana pergi suara rakyat, Dulu hebat kini dah berkarat…”

Namun, sebetulnya, Bunkaface sudah mula mengkritik tentang suasana politik negara menerusi lagu berjudul 'Dunia' pada 2016. 

Drama – Drama Band 

Sejak melancarkan lagu berjudul 'Drama' yang penuh dengan kontroversi pada 2019, Drama Band nampaknya sudah tidak menoleh ke belakang lagi untuk menghasilkan lagu yang bersifat protes dan kritikan. 

Selepas Drama, kumpulan muzik pop rock ini muncul pula dengan lagu berjudul 'Kayangan' yang menyindir sikap golongan tertentu kerana tidak patuh dengan S.O.P PKP pada saat wabak COVID-19 sedang melanda dunia. 

Sudah tentulah lagu ini ditujukan buat segelintir selebriti, pemerintah dan ahli politik kerana berasakan mereka mampu lepas daripada semua itu kerana kuasa wang. 

Apapun lagu Drama lebih padat dengan mesej mengenai sindiran terhadap selebriti dan ahli politik. 

“Sebenarnya lidahmu bercabang dua, Saat ku sedar, Hampir saja aku terlewat untuk, Selamatkan diri"

“Curiga madahmu penuh curiga, Setia,bodohnya aku setia, Pendusta,kau seorang pendusta, Yang penuh dengan drama, Dralalalalalalala kau memang DRAMA, Dralalalalalalala kau memang DRAMA..”

Malah aksi persembahan mereka di dalam Anugerah Juara Lagu ke-34 disifatkan sebagai berani mati kerana menampilkan parodi bekas Perdana Menteri Malaysia yang keenam bersama isterinya. 

Bahtera – Secto 

Daring dan berani! Inilah dua perkataan yang boleh digambarkan terhadap kumpulan hip hop Secto apabila muncul dengan lagu berjudul 'Bahtera' yang dimuatkan dalam EP baharu mereka berjudul 'Kutip'. 

'Bahtera' adalah metafora buat pemimpin dan lagu ini adalah tanda protes dan sindiran tajam buat pemimpin yang gagal memimpin rakyat dan negara. 

Malah, ia turut memperkatakan bagaimana kebebasan rakyat untuk bersuara telah disekat dengan menyumbatkan mereka ke dalam lokap. 

Gambaran tentang apa yang berlaku terhadap mereka yang ditangkap kerana lantang dan berani bersuara juga turut diselitkan bersama suara pemimpin yang memberikan ucapan. 

Mereka juga tidak mahu dipaksa ikut dan tunduk dengan telunjuk pemimpin serta pihak atasan dan hakikatnya rakyat akan terus bangkit untuk menentang kezaliman yang selama ini membelenggu mereka. 

Tapi 'Bahtera' sebenarnya tidak ‘sepanas’ 'Tangtu' kerana lagu 'Tangtu' sebenarnya adalah luahan hati Secto terhadap sikap dan gelagat pemimpin dan ahli politik yang tidak pernah berubah dalam memimpin negara dan rakyat. 

Hipokrasi, rasuah, salah guna kuasa, pentingkan diri sendiri, sering menabur janji manis terhadap rakyat dan bercakaran sesama sendiri kerana jawatan dan kedudukan serta perbalahan di dewan rakyat semuanya diangkat di dalam lagu 'Tangtu'. 

Banyak lagi lagu dalam EP 'Kutip' ini yang memuatkan protes dan sindiran terhadap pemimpin dah ahli politik.  Salah satunya ialah 'Abah' (Interlude). EP 'Kutip' ini baru sahaja diluncurkan di pasaran muzik pada tahun ini. 


 

Bendera Putih – Taharasuiko 

Rapper wanita yang mengenakan hijab ini memang cukup jujur dan berani mengetengahkan isu-isu semasa mengenai situasi negara yang ketika ini agak kacau bilau dek kerana sikap pemimpin dan ahli politik. 

Lagu ciptaan dan nyanyiannya berjudul 'Probok' sememangnya ditujukan buat ahli politik yang telah pun dipecat dari jawatannya sebagai pengerusi di sebuah syarikat perkhidmatan pengangkutan awam. 

Terbaharu, Taharasuiko kembali dengan lagu berjudul 'Bendera Putih'. Menerusi lagu ini, Taharasuiko cuba menyelar sikap pemimpin dan ahli politik yang lebih sibuk berbalah sesama sendiri daripada menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

Sehingga memaksa rakyat sendiri mewujudkan kempen bendera putih untuk membantu golongan rakyat yang terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup. Namun, akhirnya kerajaan juga mahu mendapatkan nama di atas inisiatif yang dilakukan rakyat sendiri. 

“Bendera putih berkibar sana sini, Mengharap kasih belas saudara sendiri, Terpaksa merintih kerana para menteri , Semua mulut berbuih tipu sambil tuding jari 

“Barisan hadapan makin melangkah ke belakang, Bila surat dan tandatangan meracuni kilang, Kita bilang benda senang lagi dipermudahkan, Tapi demi aliran wang semua mata duitan 

“Rakyat demi rakyat, Kita jaga kita, Setiap buah fikiran nukilan disonglap, Konon dia prihatin juga...”  

9. Belantara Konkrit – Altimet featuring Salam dan Aman-RA

Rapper Altimet seringkali mengutarakan mesej yang berbentuk kritikan sosial di dalam kebanyakan lagu-lagu ciptaanya dan nyanyiannya. Namun, dalam lagu 'Belantara Konkrit' yang dimuatkan dalam album 'Kotarayaku' pada 2014 memang ditujukan khas buat pemimpin dan ahli politik. 

“Selamat datang ke kota mimpi ngeri, Dari dekat lapuk dari jauh Nampak berseri, Kami Jual semua kalau kamu mampu beli, Kami ambil semua kalau kamu tak reti beri 

Atas darat ada lintah, Atas darat ada buaya, Gerila dalam kabus bergerak tanpa suara, Otak sihat tapi akhlaknya kurang upaya, Hati kering kerna mandi dosa di kuala, Di belantara konrit hanya di belantara kontrit, Di belantara konrit hanya di belantara kontrit

Ada kucing kurap berangan nak jadi singa, Khinzir hutan kian gemuk meratap riba, Ular besi bawa semut ke tempat kerja, Monyet luncai khayal berkemenyankan herba”

Kalau dihayati liriknya ia mengkritik sikap pemimpin yang sanggup menjual negara untuk kepentingan diri dan pada waktu yang sama bersikap zalim dengan mengambil hak rakyat jelata. 

Malah, ia juga turut menyentuh tentang sikap pemimpin ydan orang atasan yang tidak punya kehormatan diri kerana masih mahu mengekalkan jawatan sekali pun banyak membuat kesalahan serta kedudukan mereka yang mewah kerana banyak makan rasuah. 

10.  Yang Remeh Temeh – Pak Pandir 

Lagu yang cukup sarat dengan sindiran yang ‘menjentik’ sikap golongan pemimpin dan ahli politik yang gemar sekali diangkat serta diampu sehingga maruah bangsa dan maruah diri tidak lagi dihiraukan kerana terlalu mengejar kedudukan serta kepentingan diri.

Sikap pentingkan diri dan salah guna kuasa ini berleluasa dan pemimpin serta ahli politik ‘menghalalkannya’ dan ia mungkin suatu perkara yang remeh-temeh bagi mereka dan scenario inilah yang masih berlegar di sekeliling kita.

“Rela jadi tunggul, Rela jadi patung, Tunggu dilelong, Suruh angguk-angguk, Suruh geleng-geleng.Oh Pujilah aku, Ampulah aku, Senang Hidupmu, Ada tangan tadah, Ada maruah campak, Yang remeh dan yang temeh, Berlegar di sekelilingmu, Yang remeh dan yang temeh, Berlegar di sekelilingmu. 

Lagu nyanyian dan ciptaan Pak Pandir yang banyak menggunakan bahasa kiasan ini dimuatkan dalam album berjudul 'Rahmat' serta diluncurkan di pasaran muzik pada 1992. Ia juga turut memenangi juara kategori Irama Malaysia dalam Anugerah Juara Lagu pada tahun yang sama.

Saat ini, industri muzik kita sudah ketandusan lagu-lagu rakyat yang sebegini dan pemergian Pak Pandir atau nama sebenarnya Azmi Ali yang telah menyahut seruan Ilahi pada 29 Jun 2018 adalah suatu kehilangan yang cukup bermakna. Al- Fatihah. - Getaran, 10 Jul 2021.

Isu Pada

Inkarnasi Joe Flizzow

10 Jul 2021

Berita Berkaitan

1

Muzik 2 minggu yang lalu

'Cinta Tak Mungkin' Hadiah Raya Siti Nurhaliza

2

Muzik 1 bulan yang lalu

Ria Ramadan, Kolaborasi Unik Kumpulan Venus dan UNIC 

3

Semasa 3 bulan yang lalu

Kerajaan Bantah Keras Kenyataan Tidak Bertanggungjawab Tun M - Anwar

4

Muzik 3 bulan yang lalu

Hip Hop Jadi Pilihan Ketua Pemuda Umno Untuk Dekati Anak Muda

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini