Berita Terkini

5 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 6 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Mengurus Belanja Dapur: 5 Tip Mendapat Lebih Untuk Wang Anda

Untuk menambah nilai dalam setiap pembelian dan mengurus perbelanjaan dapur dengan lebih efektif, boleh cuba lima tip ini untuk mendapat lebih nilai supaya ia boleh dinikmati lebih ramai dan lebih lama

TARA Dikemaskini 6 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 30 Sep 2023 12:16PM

Kos yang semakin meningkat menyebabkan anda perlu merancang perbelanjaan dapur dengan bijak - gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Kebelakangan ini ramai yang merungut ‘hidup semakin keras!’ Peningkatan kos sara hidup yang semakin terasa disebabkan kekurangan bekalan serta peningkatan harga bahan-bahan makanan asas seperti beras menjadikan luahan tentang pengurusan belanja dapur menjadi semakin hangat di media sosial. 

Secara amnya, ‘cakap-cakap’ netizen lebih berkisar tentang harga barang-barang yang dijumpai di pasaraya, serta keluhan masing-masing kerana duit yang ada dirasakan jauh susut nilainya. Dahulu RM100 masih boleh mengisi troli sehingga penuh, sekarang tidak lagi. Harga bahan basah seperti ikan, udang, sotong memang mencanak naik, menyebabkan ramai yang hanya mampu memandang sahaja.  

Namun, cabaran kehidupan dan kos sara hidup ini bukanlah satu fenomena baharu. Seperti semua yang berlaku di dunia ini, resminya seperti roda yang berputar, kadang-kadang ekonomi baik, kadang-kadang merudum. Jika direnung ke langit, langit juga tidak selalunya cerah. 

Lantas, tatkala dunia sedang berdepan dengan ekonomi yang tidak menentu, sebagai peneraju keluarga masing-masing, marilah kita mencari solusi untuk permasalahan kehidupan kita sendiri. Menuding jari ke arah orang lain memang mudah tetapi masalahnya tetap kita yang punya. 

Untuk menambah nilai dalam setiap pembelian dan mengurus perbelanjaan dapur dengan lebih efektif, boleh cuba lima tip ini untuk mendapat lebih nilai supaya ia boleh dinikmati lebih ramai dan lebih lama. 

Potongan

Di sekitar hujung 80-an, tiada ayam proses yang boleh dibeli di kampung. Semua ayam dibela oleh setiap keluarga. Hanya setelah dipersetujui ibu sahaja, ayam boleh disembelih untuk dijadikan hidangan sekeluarga. 

Seekor ayam ketika itu mencukupi untuk keluarga kami dua belas orang kerana tiada konsep sekeping besar untuk satu orang. Daging ayam di ketika itu adalah sesuatu yang istimewa kerana hanya boleh dinikmati sekali atau dua kali dalam masa sebulan. 

Potonglah ayam atau daging dalam saiz yang kecil untuk berjimat - gambar hiasan
Potonglah ayam atau daging dalam saiz yang kecil untuk berjimat - gambar hiasan

Masyarakat sekarang telah dibiasakan dengan saiz potongan ayam yang besar (lapan potong untuk seekor ayam) yang sering diguna pakai di kebanyakan restoran. Dalam mendepani hari-hari mencabar ini, untuk mendapatkan lebih nilai untuk wang anda, potonglah ayam atau daging dalam saiz yang kecil dan hadkan beberapa ketul sahaja untuk dinikmati oleh seorang ahli keluarga. 

Langkah penjimatan ini perlu dijelaskan kepada semua ahli keluarga supaya semua faham dan bekerjasama. Ketika susah, ikatlah perut sedikit. Ikan pula, cubit-cubitlah sahaja, makan lebih kuahnya. Kalau seorang nak makan setengah ekor, memang beratlah belanja dapur setiap bulan. Nanti apabila keadaan semakin stabil, bolehlah menikmati lebih. 

Meriahkan Hidangan

Selain daripada langkah pertama iaitu mengecilkan bahagian protein, kita juga boleh memeriahkan hidangan dengan bahan yang lebih murah dan mengenyangkan. Contohnya, kalau masak kari, masukkan kentang, tomato, terung, bendi, apa sahaja yang boleh menceriakan kuah. 

Telur rebus pun boleh ditambah ke dalam gulai sebagai pilihan. Kalau kita perhatikan ketika pendatang asing membeli barang dapur, kentang sahaja dibelinya satu beg besar, tomato pun begitu. Apakah sebabnya? Supaya murah, muai dan mengenyangkan. 

Meriahkan hidangan dengan bahan lebih murah dan berkhasiat
Meriahkan hidangan dengan bahan lebih murah dan berkhasiat

Kalau sambal, masukkan tomato, terung pipit, supaya hidangan menjadi lebih muai untuk dinikmati oleh ramai orang. Tidak salah kita berubah tatkala susah. Manusia itu sifatnya anjal dan boleh bertahan dalam pelbagai keadaan. 

Catu Nasi

Tak perlulah bersedih bila kita makan sedikit berbanding biasa. Fadhilatnya mungkin banyak penyakit dapat dihindari apabila kita kurangkan makanan harian kita, insya-Allah. Dalam hal ini, ibu atau ayah yang menyediakan makanan boleh memainkan peranan dengan memerhatikan saiz makan anak-anak. 

Jika dahulu boleh bertambah mengikut selera, di kala saat sukar begini, apa kata kita hadkan kepada satu cawan nasi untuk seorang setiap kali makan dan tiada nasi tambahan. Dengan menggunakan teknik ini, kita mengurangkan pembaziran kerana makanan yang dimasak habis dan tiada apa yang terbuang. 

Hati siapa yang tak sayu apabila anak-anak perlu bersusah tetapi dalam masa sukar, ini akan membentuk mereka menjadi manusia yang kuat semangat. Dalam Islam juga jika dinasihatkan agar tidak makan sehingga betul-betul kenyang, tinggalkan 2/3 ruang perut untuk udara dan air juga. 

Telur/Tauhu/Kacang Kuda

Telur merupakan makanan murah yang boleh dipelbagaikan penggunaannya untuk mencipta muai. Sambal telur pecah boleh menghasilkan hidangan yang lazat dan muai untuk ramai orang. Telur mata goreng kicap ditambah dengan bawang merah potong, cili padi hiris juga menyelerakan. 

Tauhu juga antara makanan murah yang mengenyangkan. Sup tauhu, sambal tauhu pecah, tauhu masak lemak, tauhu bakar, dan sebagainya. Inilah masanya ibu bapa cuba menjadi kreatif di dapur dan memikirkan bagaimana untuk menghidangkan cukup makanan dengan bahan-bahan mampu milik. 

Telur juga sumber protein yang berkhasiat
Telur juga sumber protein yang berkhasiat

Antara protein dari sumber tumbuhan juga termasuk tempe, kacang dhal dan kacang kuda. Mungkin kita boleh cari cara untuk memasak menggunakan bahan-bahan ini sebagai ganti protein ayam dan ikan.

Pembaziran Sifar

Membeli bahan basah dapur juga akan menjadi pembaziran jika tidak digunakan dalam jangkamasa tertentu kerana sayur-sayur dan bahan-bahan lain akan rosak jika tidak diurus elok. Untuk memperoleh lebih nilai dengan duit anda, belajarlah cara-cara untuk menjadikan bahan-bahan yang dibeli tahan lebih lama. 

Sebagai contoh, untuk memastikan cili padi tahan lebih lama, buang tangkainya sebelum disimpan. Taugeh perlu disimpan di dalam air, balut sayur berdaun dengan tisu untuk mengekalkan kelembapan. 

Untuk menyimpan cili kisar dengan lebih lama, masukkan sedikit minyak masak ketika mengisar. Pendek kata, belajarlah cara untuk menggunakan semua yang kita beli secara total dan tiada pembaziran kerana pembaziran itu mengurangkan nilai wang kita. 

Kesimpulannya, di dalam dunia yang serba mencabar, kawallah apa yang kita boleh kawal dan janganlah kita menambah tekanan sedia ada dengan tidak habis-habis mengeluh tentang perkara di luar kawalan. Rezeki setiap kita telah ditetapkan, sedikit atau banyak, kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT. - Getaran, 30 September 2023

Isu Pada

Jadi Diriku - Tunku Rania 7 Oktober

07 Oct 2023

Berita Berkaitan

1

Semasa 10 bulan yang lalu

Agensi Kerajaan Harus Bertanggungjawab Atas Setiap Perbelanjaan, Perlu Beri Impak Positif 

2

Semasa 10 bulan yang lalu

TIP 2023, Peningkatan Taraf Malaysia Mampu Bantu Negara Lebih Tegas - Nazri 

3

Semasa 11 bulan yang lalu

OPR Naik Dorong Kerajaan Urus Perbelanjaan Secara Berhemat

4

TARA 11 bulan yang lalu

Trend Wes Anderson Jadi Kegilaan Di Media Sosial, Ini Tip Untuk Anda Lakukannya

Sorotan

1

Piala Thomas: Malaysia Benam Algeria 5-0 Untuk Tempah Slot Suku Akhir

2

Akta Keselamatan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022 Berkuat Kuasa 1 Jun

3

Pakar Ekonomi Sabut Baik Penubuhan Akaun Ketiga KWSP

4

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

5

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

6

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO