Dunia kanak-kanak pastinya dipenuhi dengan permainan, impian dan aktiviti yang dapat menggembirakan mereka. Malah, ibu bapa sudah tentu mahukan anak-anak mereka aktif sewaktu kecil dengan permainan yang mempunyai ciri-ciri kepelbagaian rupa bentuk bagi membantu perkembangan otak yang kreatif dan sihat.
Apakah kata hujung minggu ini, luangkan masa bersama anak-anak dengan memperkenalkan barisan karakter terbaharu daripada Lego menerusi filem bersiri 15 episod Lego bertemakan dunia mimpi bertajuk Lego DreamZzz.
Jika sebelum ini Lego pernah mengeluarkan barisan Lego 'Friends', pelancaran karakter pada kali ini benar-benar diinspirasikan oleh pemikiran kreatif kanak-kanak hasil penyelidikan dan kajian yang dibuat menerusi mimpi kanak-kanak.
Setiap visual dan imaginasi yang digambarkan oleh mimpi kanak-kanak tersebut memberikan idea kepada syarikat permainan Lego untuk mengembangkan lagi rangkaian produk mereka. Malah, Lego turut mengumumkan buat kali pertama dalam sejarah, mereka melantik sekumpulan kanak-kanak sebagai pencipta isi kandungan cerita dan karakter DreamZzz.
Kisah Lego ini memaparkan beberapa watak dimana setiap daripada mereka merupakan individu biasa seperti manusia dalam dunia realiti yang mempunyai hobi dan kemahiran masing-masing. Namun mereka bertukar menjadi superhero sejurus tidur dan bermimpi pada waktu malam.
Jadi mari kenali enam karakter baharu tersebut yang menjadi watak utama dalam filem bersiri Lego DreamZzz.
Mateo

Mateo ialah seorang yang suka melukis tetapi terlalu gementar untuk berkongsi karya yang dihasilkan. Kehidupannya berubah apabila setiap lukisannya menjadi realiti di dalam dunia mimpinya dan setiap senjata adalah hasil daripada lukisannya sendiri. Mateo seorang yang artistik yang selalu melakar dan melukis dengan perwatakan bertimbang rasa.
Izzie

Izzie merupakan adik perempuan kepada Mateo yang berani, kelakar dan tidak membuang masa apabila memikirkan sesuatu! Di dalam dunia DreamZzz, dia merupakan jantung dan jiwa kepada pasukan kerana sentiasa optimis, positif dan tidak pernah lari daripada cabaran.
Cooper

Cooper adalah rakan karib Mateo yang gilakan teknologi berusaha untuk mencapai kesempurnaan pada setiap ciptaannya dan tidak kisah untuk meluangkan masa menyelesaikannya.
Dalam episod pembukaan, Cooper menerima keadaan mimpi buruk apabila dia telah dikurung ketua musuh iaitu raja mimpi buruk sehingga dia diselamatkan oleh rakan-rakannya. Dia memitnati kereta dan kenderaan serta telah digambarkan sebagai pemandu yang teliti dan seorang jurutera.
Logan

Popular dan berani (kadangkala secara tidak sengaja) itulah Logan, kawan baik kepada Cooper. Bentuk badan dan luarannya saja sudah nampak menyakin dan cukup menggetarkan.
Logan pula merupakan kawan Cooper yang berdaya saing dan bersemangat di sekolah. Karakter ini di dalam dunia mimpi digambarkan seperti seorang yang kuat. Namun Logan amat takut dengan ahli pasukannya yang lain.
Zoey

Zoey seorang yang gemar bekerja sendirian. Dalam dunia mimpi, Zoey mempunyai busur panah sebagai senjatanya dan Zian (makhluk tunggangannya seperti burung hantu hijau) untuk melawan tentera raja mimpi buruk.

Akan tetapi dia juga tidak mengisytiharkan dirinya sebagai ahli pasukan DreamZzz dan bergerak secara solo.
Mr. Oswald

Mr. Oswald pula ialah seorang guru sains yang taksub di sekolah. Namun di dalam dunia mimpi, dia adalah seorang pencipta dan memiliki senjata apinya sendiri untuk menentang musuh yang sama.
Jadi inilah lima karakter baharu Lego dan ikuti siri DreamZzz yang sudah mula ditayang saluran YouTube LEGO setiap hari pukul 5 petang sehingga episod akhir pada 26 Mei ini dan jangan lupa, dapatkan karakter terbaharu Lego ini di pasaran yang terpilih. - Getaran, 21 Mei 2023