Mungkin tidak ramai yang tahu apakah tarikan yang ada di Kertajati yang terletak di Jawa Barat, Indonesia.
Namun, di situlah letaknya Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati yang menjadi lapangan terbang kedua terbesar di Indonesia.
Ia juga berfungsi sebagai hab utama yang menghubungkan pengembara ke Bandung Raya, Cirebon dan kawasan sekitarnya, wilayah Jawa Barat dan sebahagian Jawa Tengah.
Bahkan, ia juga turut memiliki tarikannya yang sendiri yang wajar sekali untuk diterokai bagi kaki-kaki travel.
5 tarikan yang boleh dilawati
Dengan begitu banyak yang ditawarkan oleh Kertajadi dan kawasan yang berhampiran, tidakkah anda teruja untuk mengintai destinasi ini dengan mata sendiri? Berikut adalah lima tarikan menarik yang boleh dilawati jika anda terbang ke destinasi terbaharu AirAsia ini.
1) Keraton Kasepuhan

Perjalanan Kerataron ini hanya mengambil masa kira-kira I jam 20 minit daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati.
Keraton Kasepuhan ialah keraton (istana sultan) tertua di bandar Cirebon di Indonesia. Ia adalah kediaman Sultan Kasepuhan dan Istana Diraja Kesultanan Cirebon.
Dibina pada 1447 dan seni bina serta rekaan dalamannya ialah gabungan gaya Sunda, Jawa, Islam, Cina dan Belanda. Istana ini juga mempunyai muzium kecil dengan sedikit paparan wayang, keris, meriam, perabot, perisai Portugis, dan pakaian diraja purba.
Di bangunan berdekatan yang berasingan, Kereta Singa Barong sebuah kereta kuda berlapis emas abad ke-17 boleh dilihat bersama-sama dengan kereta rasmi moden yang digunakan untuk majlis-majlis rasmi.
2) Kebun Teh Cipasung

Tempat ‘healing’ yang menjadi kegemaran pengembara tempatan. Kebun Teh Cipasung terletak di Lemahsugih yang memiliki keindahan alam yang saujana mata memandang.
Suasananya yang sejuk, segar dan menghijau membuatkan sesiapa sahaja jatuh cinta.
Mungkin ada yang cuba membandingkannya dengan Cameron Highland, tetapi percayalah ia tidak sama. Pengunjung akan dimanjakan dengan hamparan hijau bagaikan karpet yang tersusun rapi. Bahkan terdapat denai-denai kecil yang boleh dilalui untuk pengunjung merakam gambar yang diingini.
Bagaimanapun ada caj yang perlu dibayar untuk masuk ke kawasan ini. Namun harganya cukup minimum.
3) Bukit Paralayang Majalengka

Khusus untuk mereka yang sentiasa dahagakan ledakan adrenalin. Panjangkan langkah ke Bukit Paralayang Majalengka ini. Tarikan ini menawarkan aktiviti ‘terbang’ yang tidak mungkin dilupakan.
Tidak perlu bimbang dengan aspek keselamatannya kerana ia dikendalikan oleh mereka yang profesional. Anda hanya perlu ikuti arahan yang diberikan, terbang dengan senang hati dan rasakan sensasi terbang dengan menjamu mata dengan pemandangan Majalengka yang menakjubkan.
Jika tidak cukup berani, terdapat pelbagai aktiviti lain yang boleh dinikmati ketika melancong ke tempat ini. Pergilah ke Paraland untuk mencuba beberapa aktiviti lain seperti ATV, flying fox, dan paintball.
4) Curug Cipeuteuy

Terletak di daerah Majalengka, Curug Cipeuteuy merupakan tarikan yang mempunyai sejumlah air terjun besar dan kecil yang begitu mempesona.
Terdapat beberapa spot yang anda boleh jadikan sebagai spot foto menarik. Misalnya berfoto di atas jambatan kecil ataupun persis di bawah air terjunnya. Di sini juga terdapat taman permainan lasak serta kawasan untuk berkhemah.
Tiket masuk ialah Rp 15,000 pada hari-hari biasa dan Rp.20,000 pada hujung minggu dan hari-hari kelepasan am.
5) Terasering Panyaweuyan

Tarikan yang sedang meningkat naik dan menjadi buruan muda-mudi yang mendambakan sebuah percutian mendamaikan serta boleh merakam gambar-gambar menarik.
Di sini anda akan menikmati pemandangan alam menghijau yang dapat menyegarkan mata. Udara yang ada di sini pun masih sangat segar, sehingga membuat tubuh terasa lebih rileks.
Oleh kerana ia berada di ketinggian 2000 meter dari paras laut, di sini kamu boleh menyaksikan pesona Gunung Ciremai yang begitu cantik. Kehadiran pepohon rendang serta tanaman hijau yang memenuhi kawasan pergunungan, menjadikan tempat ini cukup indah untuk mencipta memori yang tidak boleh dilupakan.
Air Asia buka laluan ke Kertajati

Bermula 17 Mei lalu, syarikat penerbangan AirAsia telah melancarkan laluan destinasi baharu dan mendarat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati, Jawa Barat Indonesia.
Penerbangan hanya dijadual pada setiap Rabu dan Ahad, di mana ia akan berlepas pada jam 9:05 pagi dari Kuala Lumpur ke Kertajati.
Manakala penerbangan dari Kertajati ke Kuala Lumpur ditetapkan pada jam 10:50 pagi, juga pada hari yang sama.
Pelancaran laluan baharu itu menandakan AirAsia sebagai syarikat penerbangan tambang rendah yang pertama terbang membuka laluan antarabangsa ke Kertajati selepas pandemik Covid19.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, berkata pihaknya berasa teruja menjadi syarikat penerbangan tambang rendah pertama yang terbang ke Kertajati.
“Kami berbesar hati menjadi syarikat penerbangan tambang rendah pertama yang menghubungkan pengembara ke Kertajati, permata Indonesia yang belum diterokai.
“AirAsia memulakan penerbangannya dari Malaysia ke Indonesia pada tahun 2004, membolehkan pengembara merasai keindahan dan keajaiban kedua-dua buah negara, serta menghubungkan mereka dengan orang tersayang dengan mudah.”
“Kami telah menerbangkan lebih daripada 2.5 juta tetamu antara kedua-dua negara sehingga tahun 2019 dan mengembangkan rangkaian kami ke 12 destinasi di Indonesia dengan 151 penerbangan mingguan,” ulas beliau.

Pada masa yang sama, Riad juga memberitahu, AirAsia mempunyai misi untuk menjadikan Jawa Barat dan Indonesia secara keseluruhannya sebagai destinasi yang harus dilawati di Asean.
“Dengan laluan baharu ini, lebih ramai penduduk tempatan dan pengembara akan berpeluang melihat keunikan Kertajati dan kawasan serta tarikan-tarikan yang berdekatan. Wilayah Majalengka, yang menempatkan Kertajati hanya sejam dari Bandung yang turut dikenali sebagai syurga membeli-belah.”
“Permulaan penerbangan dari Kuala Lumpur ini bukan sahaja akan memperkenalkan Kertajati kepada pelancong dari Asean dan seterusnya, malah akan mewujudkan pelbagai peluang ekonomi dan pekerjaan untuk penduduk tempatan,” tambah Riad. - Getaran, 20 Mei 2023