"Mana-mana pelakon sangat bercita-cita untuk bekerjasama dengan pembikin filem seperti Mani Ratnam "Guru” dan saya tidak terkecuali".
Itulah kata-kata yang terbit di mulut Miss World 1994, Aishwarya Rai Bachchan yang kini telah pun menempa nama sebagai antara pelakon wanita Bollywood yang berkaliber sejak menyertai industri sinema India secara serius pada 1997.
Sepanjang melayari kerjaya filemnya, Aishwarya tidak hanya menjadi pilihan pengarah hebat, Sanjay Leela Bhansali menerusi filem arahannya seperti Hum Dil De Chuke Sanam, Devdas atau Guzaarish semata-mata.
Sebaliknya, Aishwarya juga adalah antara pelakon ‘favourite’ pengarah filem yang cukup berkarisma iaitu Mani Ratnam dalam beberapa filem arahannya.

Bahkan, Mani Ratnam adalah pengarah filem pertama yang memperkenalkan Aishwarya di layar perak menerusi filem Tamil, Iruvar pada 1997 sebelum isteri kepada aktor Abhishek Bachchan ini muncul dalam filem Bollywood, Aur Pyar Ho Gaya arahan Rahul Rawil bersama Bobby Deol (tahun yang sama).
Selain Iruvar, Mani Ratnam turut memilih Aishwarya Rai untuk membintangi filem arahannya yang lain seperti Guru pada 2007, Raavan (2010) serta Ponninyin Selvan: 1 (2022) serta Ponniyin Selvan: II yang kini sedang ditayangkan di pawagam.
Ponniyin Selvan: II adalah sebuah filem epik sejarah adventure arahan Mani Ratnam yang ditulis oleh Elango Kumaravel dan B Jeyamohan iaitu sambungan kepada filem Ponniyin Selvan: 1 yang dilancarkan pada tahun lepas.
Ia diadaptasi daripada novel Ponniyin Selvan karya Kalki Krisnamurthy yang mempunyai dua bahagian yang diterbitkan di dalam sebuah majalah dari tahun 1950 hingga 1954 dan kemudian dihasilkan dalam bentuk buku sebanyak lima volume pada 1955.
Ponniyin Selvan mengisahkan tentang kehidupan awal Puteri Arunmozhi yang hidup pada dinasti Chola dan bagaimana dia berjaya memerintah dan membentuk empayarnya sendiri sebagai Maharaja Rajaraja 1 pada 1947.
Filem ini dibintangi Vikram, Aishwarya Rai Bachchan, Jayam Ravi, Karthi, Trisha, Aishwarya Lekshmi, Sobhita Dhulipala, Prakash Raj, Jayaram, Prabhu, R. Sarathkumar, R. Parthiban, Rahman, Lal and Vikram Prabhu dan muzik diarahkan komposer genius, A R Rahman.

Mani Ratnam Ibarat Seorang Guru
Sepanjang 20 tahun penglibatannya dalam kerjaya lakonan, Aishwarya telah mengecapi sukses dalam filem-filem arahan Mani Ratnam termasuk Ponniyin Selvan: II yang kini telah mencapai kutipan pecah panggung.
Memperkatakan tentang penglibatannya dalam filem epik sejarah adventure Mani Ratnam yang mempunyai dua bahagian itu, Aiswarya Rai dengan perasaan teruja memberitahu bahawa apa sahaja peluang untuk bersinar, belajar dan berkembang, ia secara semula jadi akan datang dengan tarikan yang tersendiri.
“Saya bersyukur kerana dapat berkolaborasi dengan Mani Ratnam dalam filem epik ini. Saya juga diberkati apabila dapat bekerja dengan guru Mani dalam filem pertama saya, Iruvar.
“Mani Ratnam mempunyai kepercayaan terhadap saya sejak dari awal lagi dan filem Iruvar yang ditawarkannya kepada saya telah berjaya menyemai lagi keyakinan dan minat saya untuk menjadi pelajar kepada bidang lakonan.
“Saya berasal dari industri filem Hindi, jadi saya terpaksa belajar dengan cepat, apatah lagi bila pengarah filem meletakkan harapan yang tinggi buat diri saya,” katanya.
Justeru itu, Aishwarya menyoal, mengapa dia tidak mengatakan ya kepada Mani Ratnam untuk tawaran filem-filem seterusnya termasuk Ponniyin Selvan: I dan sekarang ini Ponniyin Selvan: II?

“Mana-mana pelakon sangat bercita-cita untuk bekerja dengannya (Mani Ratnam). Apabila nama atau mesejnya berkelip (di telefon), anda tidak dapat membayangkan keterujaannya.
“Selepas Iruvar, saya dapat bekerja dengan pengarah hebat seperti Rajiv Menon (Kandukondain Kandukondain) dan Shankar (Enthiran), jadi secara semula jadi saya akan mengatakan ya kepada mereka ini untuk filem-filem ini yang telah saya lakukan sebelum ini.
"Selain itu, semua filem Tamil yang saya jayakan mempunyai sentuhan muzik daripada AR Rahman, mengapa saya tidak gembira mengatakan ya, kepada gabungan bakat yang luar biasa ini.
“Sejak di awal kerjaya saya, saya telah menjelaskan bahawa saya tidak mengikuti proses pemikiran atau apa-apa sistem untuk membuat pilihan tentang filem apa atau dengan siapa saya mahu bekerja,” katanya.
Nandini Dan Women Empowerment

Kalau pembaca masih ingat, dalam filem Hum Dil De Chuke Sanam, Aishwarya Rai memegang watak sebagai Nandini iaitu seorang wanita yang sangat mencintai Sameer (Salman Khan).
Namun, bapa Nandini mahu dia berkahwin dengan seorang peguam bernama Vanraj (Ajay Devgan). Menyedari Nandini mencintai Sameer, Vanraj cuba menyatukan isterinya dengan kekasihnya itu.
Tetapi, setelah berjaya menemui Sameer di Itali, Nandini menyedari bahawa akhirnya dia telah jatuh cinta dengan suaminya yang sanggup berkorban apa sahaja untuknya.
"Nandini dalam 'Hum Dil De Chuke Sanam' sangat diingati; dia telah hidup di hati orang. Saya sangat bersyukur kerana saya dapat memiankan watak Nandini ini. Dia sangat istimewa kepada penonton dan sudah tentu kepada saya,” katanya.
Dalam Ponniyin Selvan, Aishwarya Rai sekali lagi membawakan watak Nandini. Namun, kali ini sebagai watak antagonis yang mana misinya adalah untuk menghancurkan empayar Chola. Antara sebabnya adalah, Nandini mahu membalas dendam terhadap Aditha Karikalan yang sepatutnya diangkat sebagai maharaja Chola selepas bapanya, Sundara Chola gering.
Aditha adalah anak yang pertama tetapi tidak disukai, Sundara Chola mempunyai dua lagi anak iaitu seorang puteri bernama Kundavai (Trisha) dan Arulmozhi Varman (Jayam Ravi) yang akhirnya menjadi maharaja Chola.

Misi Nandini untuk membunuh Aditha kerana anak raja yang pernah jatuh cinta dengannya itu telah pun membunuh Veerapandiyana iaitu seorang lelaki yang disukainya. Nandini juga percaya dia adalah anak kepada Chola hasil hubungan terlarang maharaja itu dengan ibunya yang pekak bisu.
Untuk mencapai matlamatnya menghancurkan empayar Chola, Nandini sanggup mengahwini Menteri Kewangan Chola, Periya Pazhuvettaraiyar (Prabhu) yang lebih tua daripadanya serta bersekongkol dengan puak Pandyas.
Bagaimanapun sebab utama mengapa dia benar-benar mahu menghancurkan empayar Chola hanya akan diketahui pada penghujung cerita Ponniyin Selvan: II.
"Bersama Mani Guru, saya dapat bermain Nandini di Ponniyin Selvan. Itu hanya satu rahmat untuk dapat memainkan wanita yang kuat dan mempunyai lapisan emosi, yang mampu menyentuh kehidupan begitu ramai wanita di luar sana.
“Terdapat sejenis kerelatifan di antara Nandini dengan segelintir wanita dan untuk itu saya sangat berterima kasih,” jelasnya.
Kesimbangan antara kehidupan bekerja dan keluarga

Sebagai seorang pelakon yang berjaya dan ibu kepada seorang anak, Aishwarya berjaya melakukan kedua-dua tugas itu dengan begitu baik sekali. Tetapi, keluarga tetap menjadi keutamaan nombor satu sebaik sahaja dia menjadi seorang ibu.
"Saya memberanikan dan melangkah keluar untuk menyiapkan filem Ponniyin Selvan, tetapi itu tidak mengubah fokus saya kepada keluarga dan Aaradhya (anaknya),” tuturnya.
Selepas melahirkan Aaradhya pada 2011 pada usia 38 tahun, Aishwarya yang kini berusia 49 tahun telah mengambil rehat yang panjang sebelum kembali ke dunia akting pada 2015 dengan Jazbaa.
Namun, dia hanya memilih berlakon dalam beberapa filem selepas itu, termasuk Sarbit dan Ae Dil Hai Mushkil (2016), Fannye Khan (2018) serta Ponniyin Selvan: I dan Ponniyin Selvan: II.

"Saya adalah ibu dan menjadi ibu yang bekerja sangat mencabar kerana mana-mana ibu bapa, terutama mereka yang perlu pergi bekerja pada awal pagi, tidak dapat melihat anak-anak mereka selama berjam-jam. Ia tidak mudah.
“Tiada siapa yang mahu meninggalkan anak mereka dan pergi bekerja. Jika sifat pekerjaan saya membolehkan saya untuk membawa anak saya bersama, supaya dia tidak sedikitpun merasai kekurangan akan kewujudan saya, maka saya akan berusaha untuk mencapainya dan pada masa yang sama, memberinya zaman kanak-kanak yang sangat normal dan menjadi ibu yang sangat normal kepada anak perempuannya,” katanya mengakhiri perbualan.
Di kesempatan ini, portal Getaran ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu di luar sana. - Getaran, 6 Mei 2023
Layari: www.getaran.my
Wajah Tara: Aishwarya Rai Bachchan
Editor Gaya Hidup & Hiburan: Ellyna Ali
Teks & Penyelaras : Ellyna Ali
Suntingan Teks : Suzan Ahmad
Rekaletak : Kogulanath Ayappan