“Beriya sangat nak tiru K-pop tu”
Mungkin antara beberapa cemuhan yang dilemparkan warganet kepada kumpulan penyanyi perempuan terkenal, Dolla sewaktu awal kemunculannya pada tahun 2019. Tidak ramai yang celik bahawa genre pop dengan gandingan tarian bertenaga yang dibawa Dolla sebenarnya sudah wujud lama di beberapa negara seperti Amerika, Jepun termasuk di Malaysia sendiri.
Hanya kerana ia lebih popular di Korea Selatan, Dolla dianggap cuba meniru dan membawa budaya asing ke dalam industri muzik tanah air sedangkan muzik bersifat universal yang melalui proses adaptasi dan asimilasi mengikut geologi.
Namun lewat beberapa tahun ini, Dolla yang dianggotai Sabronzo (Wan Sabrina Wan Rusli), Tabby (Tabitha Ariel Lam), Angel (Angelina Chai Ka Ying (Angel) dan Noorsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya) tidak main-main membangunkan muzik dengan genre Malaysia Pop (M-pop).

Biasanya ia sebuah persembahan nyanyian lagu bersifat rancak yang mempunyai verse rap diiringi tarian penuh bertenaga. Pendek kata, tidak mudah dan tidak semua orang mampu untuk menari dan mengawal lontaran suara yang baik semasa persembahan. Namun, Dolla berdiri di antara kesusahan-kesusahan itu.
“Kami cuba membuat orang ramai faham bahawa Dolla tidak mengikut dan tidak cuba membawa muzik K-pop. Kami membangunkan genre sendiri iaitu Malaysia Pop (M-pop). Girl group iaitu penyanyi wanita berkumpulan sebenarnya sudah wujud lama di mana-mana negara termasuklah di negara-negara barat dan Jepun.
“Bukan itu sahaja, di Malaysia kita juga mempunyai penyanyi wanita berkumpulan yang hebat seperti Feminin dan Elite. Mereka adalah kumpulan yang selalu menjadi inspirasi kami. Kami berharap agar khalayak dapat menerima perjuangan kami,” kata Syasya kepada Getaran semasa sesi temu ramah majlis peluncuran lagu ‘Look At This’ baru-baru ini.
Walaupun terkenal dengan konsep lagu pop menerusi lagu ‘Makes You Wanna’, ‘Watch Me Glow’, ‘Raya Raya Raya’, ‘Berani’, dan ‘Bad’, Dolla tidak pernah terkurung membawakan genre tertentu. Beberapa tahun ini, Dolla pernah tampil dengan lagu balada yang tidak kurang hebatnya menerusi kolaborasi bersama-sama Naim Daniel dan Yonnyboii dalam lagu ‘Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Ku Buat’ dan ‘Sudi’.

Dolla paling berpengaruh, curi perhatian pemuzik Korea Selatan
Dolla menjadi girl group tempatan paling berpengaruh masa kini. Ramai yang cuba menyaingi melihat kepada pertumbuhan girl group yang makin meriah beberapa tahun belakangan ini. Namun Dolla tetap menjadi yang paling menonjol apabila satu-satunya girl group dari Malaysia yang terpilih menghiasi papan iklan tersohor New York Square di Amerika menerusi kampen EQUAL di Spotify.
Bukan itu sahaja, Dolla menjadi satu-satunya kumpulan yang diberi penghormatan melakukan persembahan di festival muzik Korea Selatan terbesar Asia Tenggara iaitu Seen Festival. Dolla beraksi bersama-sama kumpulan Korea yang lain seperti NCT DREAM, WayV, KARD dan ALICE baru-baru ini. Dikatakan pengarah Korea Selatan turut memuji tarian serta lontaran vokal ahli kumpulan Dolla semasa sesi latihan untuk festival itu.
“Mereka (tenaga kerja) Korea Selatan merasakan muzik Dolla bagus. Kami sangat berbesar hati kerana berjaya mencuri perhatian mereka. Sebelum ini, kami pernah terlibat di acara Melosaga yang juga menampilkan penari YG Entertainment yang dipanggil YGX.
“Mereka juga menyukai lagu kami. Mereka siap merakam video di Instagram sedang layan lagu-lagu Dolla. Besar harapan kami agar peluang untuk kami bekerjasama dengan mereka di masa depan,” dedah Angel.

'Look At This'
Dolla menamatkan hiatus muzik pop mereka dengan lagu ‘Look At This’ menampilkan konsep Y2K iaitu paduan gaya retno, poop penuh warna-warni, stylish dan semestinya memberikan aura muda. Lagu ‘Look At This’ merupakan lagu yang dicipta daripada seorang komposer dari Sweden.
Ia kemudian diterjemah ke dalam bahasa Melayu dengan bantuan lirik rap oleh Yonnyboii dan Asyraf Nasir. Kini, ‘Look At This’ mempunyai dua versi iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.
“‘Look At This’ boleh memberikan makna yang subjektif kepada setiap orang. Ia boleh menceritakan tentang keyakinan terhadap penampilan dan bakat yang kita miliki tanpa memerlukan validasi daripada orang lain.
“Kita yakin menjadi diri kita tanpa memerlukan pengiktirafan daripada orang lain,” kata Sabronzo.

Bercakap tentang komen buruk, Dolla tidak pernah memberikan banyak tenaga dan masa untuk membaca komen negatif. Mereka banyak berbincang bagaimana muzik yang ditampilkan lebih segar berbanding sebelumnya.
“Segala komen negatif kami ambil untuk memastikan persembahan kami lebih baik. Namun secara jujurnya, kami lebih banyak menerima pujian dan komen positif daripada pendengar mengenai muzik kami.
“Mereka suka melihat sesuatu yang baru. Komen-komen ini juga menjadi sebuah suntikan motivasi untuk kita bekerja lebih keras. Kami tahu ada orang di luar yang menyokong kami dan kami bertekad untuk menghasilkan lagu dan tarian yang lebih baik,” kata Tabby.
Bercakap mengenai projek selepas ini, Dolla sempat memberikan hint bakal menghasilkan sebuah album penuh dengan muzik-muzik yang lebih segar hujung tahun ini.
Bila difikir-fikir, belum pernah ada lagu M-pop yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu. Adakah Dolla bakal menjadi kumpulan wanita pertama yang memenangi AJL akan datang? Semoga berjaya Dolla, kami ucapkan.
DI SEBALIK PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN
Wajah TARA : Dolla
Editor Gaya Hidup & Hiburan : Ellyna Ali
Teks & Penyelaras : Wafa Awla
Suntingan Teks :Ili Farhana
Reka Letak : Abdul Hanif Zahari
Gambar : Universal Music Malaysia