Emily In Paris Musim Ketiga

Emily Cooper muncul lagi untuk musim yang ketiga. Kali ini Emily lakonan Lily Collins tersepit untuk memilih sama ada terus bekerja di Savoir atau berkerja bersama Sylvie di agensi barunya.
Dalam masa yang sama, teman lelaki Emily iaitu Alfie yang berasal dari London kini telah berpindah ke Paris selepas mendapat tawaran kerja dari Antoine.
Sahabat baik serta teman serumah Emily iaitu Mindy pula telah mendapat tawaran untuk menjadi penyanyi di sebuah kelab tersohor. Namun hanya dia seorang yang ditawarkan bukan bersama ahli kumpulannya.
Gabriel pula bercita-cita mendapatkan bintang Michelin untuk restorannya. Dan akhirnya memilih untuk melamar Camille sebagai isterinya selepas berkunjung ke sebuah restoran bersama Emily.
Camille bersetuju dengan lamaran Gabriel dan mereka telah merancangan majlis pertunangan di kampung halaman Camille. Pada majlis itu, tiba-tiba Gabriel mengajak Camille untuk berkahwin ketika itu juga kerana terdapat sebuah gereja di rumah mereka.
Namun Camille dapat rasakan Gabriel sangat mencintai Emily. Adakah mereka berdua akan teruskan dengan perkahwinan ini? Jangan lupa saksikan kesudahan Emily In Paris musim ketiga hanya di Netflix. – Helmi Anuar
Hell Dogs - In The House Of Bamboo
.jpg)
Kisah berkenaan gangster Yakuza ini adalah arahan terbaru pengarah Jepun, Masato Hadara dan berkisar kepada seorang bekas polis yang mendapat peluang kedua, menyamar sebagai ahli Yakuza, bertujuan menghancurkan kumpulan itu.
Watak utama filem ini adalah Goro Idejuki, yang dilakonkan Junichi Okada. Dihantui oleh trauma selepas wanita yang diminatinya ditembak mati oleh tiga perompak, Goro Idejuki meletak jawatan dan memburu penjenayah terbabit.
Selepas lima tahun, semua penjenayah itu berjaya dibunuhnya tetapi Goro tidak pernah didakwa, malah dibebaskan tanpa perbicaraan.
Goro kemudiannya diperkenalkan kepada ketua polis bahagian jenayah, Chief Anai, yang kemudiannya meminta Goro menggunakan kemahirannya untuk menyamar sebagai anggota Yakuza dan menggunakan nama baru iaitu Tak.
Namun tanpa disangkanya, dia terpaksa berdepan dengan ketua Yakuza iaitu 'Toake' yang sebelum ini adalah perisik polis tetapi kemudiannya berpaling tadah.
Adakah Goro akan menyelesaikan misinya itu atau memilih untuk berkhidmat dengan Toake selepas rahsia lelaki itu terbongkar?
Untuk menyaksikan kesudahannya boleh tonton filem ini, yang sehingga kini masih berada dalam kedudukan Top 10 di Netflix. - Habibah Omar
Wednesday

Masih ingatkah anda dengan siri TV dan filem The Addams Family lakonan Anjelica Huston, Christopher Llyod, Raul Julia dan Christina Ricci suatu ketika dulu.
Walaupun pelik, mistik, kejam dan seram, keluarga Addams tidak pernah gagal mencuri hati ramai penggemarnya di seluruh dunia.
Cerita hasil tulisan asal Charles Addams ini kembali menerusi siri lapan episod berjudul Wednesday. Siri kali ini berkisar tentang Wednesday Addams (Jenna Ortega), anak sulung pasangan Morticia dan Gomez Addams yang mula menuntut di Nevermore Academy.
Dalam pada cuba menguasai dan mengawal kuasa psikik yang dimilikinya, Wednesday cuba merungkai beberapa siri pembunuhan dan misteri yang menyelubungi keluarganya, 25 tahun lalu.
Wednesday yang mula ditayangkan di Netflix sejak 23 November 2022 turut dibintangi Christina Ricci, Catherine Zeta-Jones, Luis Guzman dan Emma Myers. – Suzan Ahmad
Alchemy of Souls Musim Kedua

Mencatatkan drama jumlah tontonan paling banyak setiap kali episod baru bersiaran. Alchemy of Souls musim kedua tampil dengan konflik yang lebih menonjolkan sisi Jang Uk.
Selepas kematian tunangnya, Jang Uk memutuskan untuk menjelajah ke setiap pelosok negeri untuk memburu pelaku sihir hitam dan pemindah jiwa.
Dia kemudian bertemu Jin Bu Yeon yang mengingatkannya kepada tunangnya dan berkahwin dengan wanita itu dengan harapan sihirnya akan dapat mengeluarkan batu ais di dalam dirinya.
Alchemy of Souls musim kedua kini ditayangkan selama 10 episod di Netflix. Diarahkan Park Joon-hwa, siri ini dibintangi Lee Jae-wook, Jung So-min, Hwang Min-hyun, Shin Seung-ho, Yoo Jun-sang, Oh Na-ra dan Jo Jae-yoon.– Wafa Aula