Berita Terkini

12 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 1 minggu yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 1 minggu yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Menelusuri Mentari Maghribi

Ada yang mengatakan Maghribi atau Morocco adalah negara yang tercantik dunia. Mari kita lihat benar atau tidak pendapat ini.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 11 Apr 2021 10:45AM

Masjid Koutubia, Maghribi

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Secara amnya, masyarakat dunia sering kali mengaitkan pelusuk Timur Tengah dengan komuniti Arab dan dunia Islam. Namun ramai yang lupa bahawa selain kawasan Timur Tengah, sebahagian lagi populasi Arab dunia ada yang bermastautin di Afrika Utara.

Tiga negara utama yang mempunyai penduduk berbangsa Arab di situ adalah Algeria atau Al-Jazair, Tunisia dan juga Maghribi yang dikenali sebagai Morocco dalam Bahasa Inggeris.

Secara kebetulan ketiga-tiga negara ini juga merupakan bekas jajahan Perancis dan masih menggunakan Bahasa Perancis sebagai bahasa kedua mereka.

Semasa saya melanjutkan pelajaran di Perancis dulu, saya pernah mendengar pensyarah saya mengatakan Maghribi merupakan negara paling cantik di dunia. Mungkin dia belum pernah ke Malaysia fikir saya waktu itu.

Sungguhpun begitu, kata-katanya telah menarik perhatian saya dan sejak itu saya banyak membaca dan mencari tahu tentang Maghribi. Tak sangka, berkat rezeki Allah, sampai juga saya ke Maghribi.

Dulu sangka saya, Afrika tidak mengalami empat musim seperti Eropah, Amerika dan Australia. Rupa-rupanya Afrika Utara turut berkongsi musim yang sama dan cuaca di musim itu boleh tahan sejuk juga. 

Penerbangan saya dan rakan dari bandaraya Paris ke salah sebuah kota terkenal Maghribi, iaitu Marrakech mengambil masa sekitar tiga jam lebih dan kami tiba di waktu petang sambil disambut bayu dingin di satu bulan Februari yang lampau, suhu di Maghribi boleh mencecah di bawah 10 darjah celcius!

Nasib baik saya dan rakan karib saya sudah membuat kajian dan kami memang telah bersedia dengan pakaian musim sejuk masing-masing.

Seperti beberapa negara membangun yang lain, teksi di Maghribi jarang menggunakan meter jadi kita haruslah bijak menawar dengan pemandu. Dari lapangan terbang Marrakech kami menaiki teksi ke stesen keretapi Marrakech. Dan kemudian kami menaiki keretapi ke kota Fes.

Kota purba tersebut merupakan salah satu kota tua terkenal Maghribi kerana kaya dengan sejarah ribuan tahun. Banyak teman-teman dan laman sesawang yang mencadangkan pelancong untuk ke sana.

Ternyata, benar saran mereka. Fes memang cantik dan kaya dengan sejarah. Ada beberapa kawasan berusia ratusan tahun dan kawasan kota utamanya masih mirip seperti sebuah maze gergasi. 

Namun jalan-jalannya sangat mirip dan kadangkala sukar untuk dibezakan. Pengarah Jualan dan Pemasaran hotel kami yang bernama Rachid memberitahu saya bahawa mereka memang tidak menyarankan para tamu untuk berjalan sendirian di kota tua kerana takut mereka mungkin tersesat dan berhadapan dengan masalah-masalah lain. 

Malah semasa hendak mengerjakan solat Jumaat di masjid yang sebenarnya berdekatan dengan hotel saya terpaksa ditemani oleh Rachid kerana takut kehilangan arah. Walaupun dekat dan sebentar sahaja perjalanan ke masjid, tapi saya sudah keliru dengan keadaan jalan serta lorong yang hampir mirip semuanya. 

Gerbang biru terkenal di kota Fes
Gerbang biru terkenal di kota Fes

Kami sempat berjalan-jalan melihat Istana Diraja Dar al-Makhzen atau Royal Palace of Fez dan juga taman-taman mereka yang dipulihara dari zaman dahulu.

Keriuhan bazar serta pasar-pasar tradisional mereka yang menjual aneka barangan serta makanan mirip filem-filem yang sering saya tonton di TV. Dan mereka juga berbilang agama.

Terdapat masyarakat Arab Yahudi yang hidup bersama-sama secara aman dan kami berpeluang melihat tanah perkuburan Yahudi tidak jauh dari kawasan istana.

Kawasan perkuburan Yahudi di Fes
Kawasan perkuburan Yahudi di Fes

Pasar-pasar dan bazar mereka juga ada terdapat di sekitar kota. Walaupun banyak yang tutup pada hari Jumaat, tapi masih ada beberapa kedai-kedai kecil yang buka di lorong-lorong kecil. Namun seperti yang dikatakan tadi, kota purba Fes seperti sebuah maze gergasi.

Bazar di Fes
Bazar di Fes

Kalau tersalah langkah anda boleh tersesat jadi pastikan anda mempunyai pemandu pelancong.

Jika tidak (seperti kami) jangan masuk terlalu jauh ke dalam sehingga sesat kerana nanti ada para pemuda yang mungkin akan mencuba untuk ‘membantu’ anda mencari jalan keluar tetapi sebenarnya akan membawa anda berpusing di tempat yang sama dan kemudian cuba meminta wang. Untung kami sudah tau tentang muslihat itu jadi kami abaikan sahaja dan tidak pergi terlalu jauh. 

Setelah menikmati keindahan kota purba Fes kami kembali ke Marrakech dan di situ penginapan kami ditaja oleh sebuah lagi hotel mewah yang dikenali sebagai The Royal Mansour.

Royal Mansour bukanlah calang-calang hotel kerana penginapan para tamu bukan sekadar suite atau bilik tetapi riad-riad mewah yang dibina mengikut seni reka kediaman para bangsawan Arab Maghribi zaman dahulu.

Riad merupakan sebuah rumah agam mewah yang dibina dalam kawasan tugu dan mempunyai beberapa tingkat. Kami diberikan sebuah riad peribadi tiga tingkat dengan ruang tamu, bilik tidur dan juga kolam renang peribadi di tingkat paling atas di bumbung.

Benar-benar seperti kisah seribu satu malam, setiap hari di situ kami dilayan bak raja dan ratu. Setiap ceruk digubah indah dan perkhidmatan pekerjanya bertaraf antarabangsa. 

Sajian makanan di Maghribi juga sangat enak dan kami berpeluang mencuba hidangan tradisional Maghribi berupa nasi kuskus yang dimasak di dalam tembikar khas yang dikenali sebagai tajin. Dan semestinya pelancong Muslim tidak perlu risau kerana semuanya halal di Maghribi.

Saya juga berpeluang mencuba telur goreng tradisional mereka yang digoreng bersama daging lembu yang diperap dengan garam dan dimasak di dalam tajin kecil. Dalam bahasa Perancis ia dipanggil ‘Oeuf Khli’.

Oeuf khli
Oeuf khli

Kata pekerja hotel, itu merupakan cara purba untuk menyimpan daging supaya tahan lama dan tidak rosak. Jadi ia diperap dengan garam.

Selain itu, mereka juga banyak makanan pembuka selera (appetizer) seperti salad dan aneka sayuran yang ditumbuk atau dilenyek. Terung, timun dan macam-macam lagi disediakan sebelum menjamah hidangan utama.

Aneka pembuka selera tradisional Maghribi
Aneka pembuka selera tradisional Maghribi

Tidak jauh dari hotel, kami sempat melalui masjid tersohor Marrakech iaitu Masjid Koutoubia yang sering menjadi menara ikon dalam kebanyakan gambar serta poskad Maghribi. Dan dari situ jugalah kami berjalan ke salah satu bazar dan pasar terbuka paling popular di dunia iaitu Jemaa El-Fnaa.

Saya begitu teruja kala menjejakkan kaki di situ kerana saya sering menonton imej-imej kawasan tersebut di rancangan-rancangan pengembaraan TV antarabangsa. Suasananya riuh-rendah dan terdapat ajnas barangan serta makanan yang dijual.

Jus oren segar dari jenis ‘Tangerine’ seperti Oren Mandarin dan juga siput sedut dijual di gerai-gerai kecil pasar tersohor ini di samping masakan jalanan berteraskan daging lembu, kambing serta makanan laut.

Saya berasa puas kerana berkesempatan mencuba makanan tempatan mereka di situ pada harga yang agak murah. Sajian makanan semuanya enak dan keadaan persekitarannya tak mungkin saya lupakan. Saya juga sempat berkunjung ke peninggalan istana purba El Badi yang terletak tidak jauh dari situ.

Peninggalan kota purba El Badi
Peninggalan kota purba El Badi

Kesimpulan yang dapat saya berikan adalah Maghribi benar-benar sebuah negara yang cantik. Banyak tempat-tempat menarik dan walaupun saya berada di situ sekitar seminggu sahaja, namun berbagai pengalaman yang saya lalui dan beraneka tempat yang saya kunjungi.

Sekiranya anda dianugerahkan sedikit rezeki pergilah menjejaki mentari Maghribi! - Getaran, 11 April 2021

Semua gambar: Shah Shamshiri

Isu Pada

Maya Karin: Saya Tak Rasa Tergugat

10 Apr 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 4 bulan yang lalu

2.3 Juta Kenderaan Dijangka Guna Lebuh Raya Utama Sepanjang Cuti Deepavali - LLM

2

Sukan 5 bulan yang lalu

Maghribi, Portugal, Sepanyol Calon Tunggal Anjur Piala Dunia 2030

3

Semasa 6 bulan yang lalu

Maghribi: Iktibar Di Sebalik Musibah Gempa Bumi

4

Video & Galeri 6 bulan yang lalu

Bacaan Al Fatihah Bergema Di Stadium, Maghribi Tujukan Kemenangan Untuk Mangsa Gempa Bumi

Sorotan

1

Penggunaan Nombor Bil Sebagai Rujukan Bayaran CAPL Bermula 1 April - LHDN

2

Pasangan Suami Isteri, 2 Lelaki Didakwa Perdagang Wanita Malaysia Di Peru

3

Ada Keperluan Pinda Seksyen 21 Akta Polis - KPN

4

PM Ucap Selamat Raikan Good Friday, Easter Sunday Kepada Penganut Kristian

5

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

6

Tular Titah Lama Sultan Nazrin, Dewan Negara Perak Buat Laporan Polis

7

Bas Terbalik Di Lebuhraya KLK: 2 Maut, 13 Cedera