Berita Terkini

26 minit yang lalu: DUN Selangor tidak akan dibubarkan sebelum Hari Raya Aidilfitri - MB Selangor 39 minit yang lalu: Banjir di Sabah : 8,523 mangsa dipindahkan ke 33 PPS di lima daerah setakat 2 petang ini - JPBN 51 minit yang lalu: Lelaki warga Yaman didakwa edar dadah jenis kanabis, lebih 200kg 56 minit yang lalu: Rayuan Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman didengar 15 Mac 57 minit yang lalu: Gangguan LRT : APAD syor gantung pembangunan dan aktiviti di kawasan terlibat

IKUTI KAMI


Perangai Buruk Umpan Tanda Suka

Demi 'likes' orang sanggup melakukan apa saja di media sosial. Tetapi buat selebriti, mana hilangnya rasa tanggungjawab atau malu?

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 11 Apr 2021 8:52AM

Gambar: Christian Dina, Pexels

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Lama berfikir, apakah perkara ataupun isu menarik mahu diketengahkan bagi membuka lembaran di laman portal berita dan hiburan semakin mendapat tempat www.getaran.my, sebagai penulis tamu.

Selepas hampir 25 tahun menjadi wartawan hiburan, saya tidak bercadang untuk menggunakan ruang dan peluang ini menjadi satu kesinambungan kepada kerjaya lalu. Wartawan hiburan satu pengalaman indah menjadikan siapa saya pada hari ini. 

Benar saya masih cintakan dunia yang kaya dengan keseniannya dan bukan hiburan kosong seperti mana dinilai banyak orang, tapi terasa sayang sekiranya sebagai penulis, diberikan kebebasan untuk berkarya, namun diri masih lagi mahu berada di lingkungan sama.

Dalam tercari-cari apa topik sesuai untuk dibicarakan dalam ruangan ini dan waktu sama ruang tarikh telah diberikan kepada Editor Gaya Hidup dan Hiburan, Getaran, Shah Shamshiri (juga rakan seperjuangan dalam dunia penulisan lirik), ada isu menarik sedang hangat diperkatakan di kalangan netizen membabitkan penyanyi dan pelakon, baby Shima dan Andi Bernade. 

Mereka didakwa mempersendakan tokoh golongan orang kurang upaya (OKU), Zhariff Affandi dengan memuat naik video parodi di laman sosial milik mereka. 

Menyedari kesalahan yang dilakukan Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, memohon maaf dan memadam video dimuat naik di aplikasi Tik Tok yang menunjukkan dia cuba meniru lagak Zhariff.

Baby Shima dalam kenyataannya menjelaskan dia tidak mengenali Zhariff dan menafikan punya niat mahu menghina atau memperolok aktivis motivasi itu. 

Perkara itu disedari penyanyi dangdut terbabit, selepas netizen membuat teguran di laman sosial miliknya. Sementara Andi menegaskan video dimuat naik di laman Instagram miliknya tiada kaitan dengan mana-mana individu golongan OKU.

Mereka ini mahu menjadi anak seni atau sekadar mahu mencari pengaruh di laman sosial?

Isu mempersenda, memperolok dan mengaibkan individu lain dilaman sosial bukanlah perkara baru.  Cuma dalam hal ini, perhatian lebih diberikan netizen kerana status Baby Shima dan Andi sebagai selebriti yang mempunyai ramai pengikut.

Shima menegaskan parodi dilakukan itu tanpa niat, namun hakikatnya sekarang ini ada sebahagian besar daripada pengguna media sosial, dengan segaja melakukan perkara jelik dan buruk seperti itu dengan harapan ia menjadi tular dan mendapat perhatian umum.

Mereka ini, sekiranya tidak memuat naik video, paling tidak akan meninggalkan komen dengan sengaja menghina dan mengajuk. Ia sebenarnya sebahagian usaha individu terbabit menarik rasa ingin tahu kepada pengunjung lain terhadap dirinya tanpa kita sedari.

Fikir secara logik, tidak mungkin kita sewenang-wenangnya mahu mempersenda orang lain.

Sudahlah berkunjung ke laman sosial yang mana masing-masing tidak mengenali antara satu sama lain dan tiba-tiba meninggalkan komen menyakitkan hati dengan mengata ‘awak gemuk’, ‘muka hodoh’, ‘pasangan buruk’ dan pelbagai lagi kata-kata yang tidak tergamak untuk kita nyatakan andai berdepan muka.   

Di laman sosial, ada penggunanya menjadikan sikap buruk sebagai satu daya tarikan dalam usaha untuk mengumpul sejumlah pengikut dan menarik perhatian umum. Ia sengaja dilakukan supaya mendapat banyak tontonan, tanda suka dan dikongsi sehingga menjadi tular.

Kempen rakaman sikap buruk ini dimuat naik di laman sosial dimulakan oleh beberapa ahli perniagaan produk kecantikan ‘timbang kati’ atas alasan strategi pemasaran. 

Bayangkan ada antara mereka tergamak menayang tubuh, bercumbu secara terbuka, merakam sedang mendera anak sehinggalah kepada perkara-perkara yang  membuatkan tekak meloya apabila kita menyaksikannya.  

Bukankah menjadi selebriti itu datangnya dengan satu tanggungjawab besar?

Pada peringkat awal ia benar-benar meninggalkan impak. Malah ada antara mereka memang berjaya mengumpul sejumlah pengikut. Bagaimanapun lama-kelamaan ramai sudah bijak dan dapat membaca apa yang mereka lakukan itu adalah semata-mata usaha untuk mempromosikan produk.

Menyedari akan kejayaan diraih oleh kebanyakan pengusaha produk kecantikan ‘timbang kati’ ini, strategi memuat naik video rakaman mengaibkan mula diikuti oleh beberapa selebriti tempatan, apabila mereka cuba meraih pengikut dengan menghasilkan rakaman yang kadang-kadang membuatkan kita rasa, ia tidak masuk akal.

Saya sendiri apabila menyaksikan video dihasilkan menjadi tular dan diperkatakan umum, terlintas difikiran, mereka ini mahu menjadi anak seni atau sekadar mahu mencari pengaruh di laman sosial?

Bukankah menjadi selebriti itu datangnya dengan satu tanggungjawab besar? Mereka ini adalah idola dan menjadi ikutan ramai, apatah lagi kebanyakan mereka masih muda dan pastinya yang meminati mereka terdiri dari umur sebaya.

Seharusnya sebagai selebriti mereka menggunakan media sosial milik mereka untuk menguar-uarkan aktiviti yang sedang mereka kerjakan dan jalani.

Perhatian diberikan pengguna media sosial terhadap mereka-mereka yang menggunakan sikap buruk ini sebagai umpan untuk mengumpul peminat dan mendapatkan tanda suka, atau mengambil kata slanga anak muda sekarang ‘gilakan likes’ mula menjadi ikutan.

Buktinya lihat saja berapa ramai mereka yang muncul sebagai influencer (individu berpengaruh di media sosial), dengan berbekalkan rakaman video jelik dan perangai buruk. Menyedihkan apabila sebahagian besar berminat dengan apa yang dipaparkan.

Natijahnya, dalam jangka masa panjang, memaparkan sikap buruk, memperolok, mengata, menghina sesama manusia akan dianggap norma baharu dalam kehidupan harian di dunia siber. Tidak mustahil andai ia menjadi kebiasaan ia turut dilakukan di dunia nyata. 

Rasa malu sudah tidak lagi wujud di kalangan kita dan seterusnya tanpa sedar ia mampu meruntuhkan akhlak sebahagian besar golongan belia.

Mujur bagi mereka yang memperolok dan menghina bentuk tubuh fizikal individu lain, tindakan boleh diambil di bawah akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Mengambil perkembangan positif itu seharusnya penilaian terhadap perundangan membabitkan penyalahgunaan media sosial media ini diperluaskan.

Sudah tiba masanya masalah memperdagangkan sikap buruk dan mengaibkan di laman sosial, diberi perhatian oleh pihak berkuasa, supaya ia dapat dikekang daripada terus menular dan memberi pengaruh tidak sihat kepada generasi akan datang. – Getaran, 11  April 2021

Pernah berkhidmat sebagai wartawan hiburan selama 25 tahun di pelbagai rumah percetakan dan media konvensional, Rudy Imran Shamsudin pemegang sarjana dalam bidang kewartawanan sains dan alam sekitar dari Universiti Sains Malaysia (USM) kini menumpukan perhatian kepada rumah penerbitan, MO Studios yang ditubuhkan tahun lalu. Minatnya dalam dunia penulisan kreatif diteruskan dengan penulisan lirik serta skrip dan dalam waktu sama pemenang Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) ini memberi tumpuan kepada pengajian di peringkat Doktor faslsah (PhD). Rudy boleh dihubungi menerusi e-mel dulang_paku@yahoo.com.

Isu Pada

Maya Karin: Saya Tak Rasa Tergugat

10 Apr 2021

Berita Berkaitan

1

Luar Negara 19 jam yang lalu

Ribuan Pengguna Facebook, Instagram, WhatsApp Di AS Alami Gangguan

2

Semasa 2 minggu yang lalu

Cerita Bulanan KKD Lapor Prestasi Kementerian Setiap Bulan - Fahmi

3

Semasa 2 minggu yang lalu

Media Harus Baiki Penyampaian Maklumat Bagi Generasi Muda - Anwar

4

Semasa 4 minggu yang lalu

Individu Muat Naik Komen Rasis Sudah Didakwa – PDRM

Sorotan

1

BN-PH Pahang Tubuh Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan, Ikrar Selesai Isu Rakyat

2

Beting Patinggi Ali Milik Malaysia, Tidak Iktiraf Sebarang Tuntutan - MINDEF

3

Adakah 3 Tokoh Penting UMNO Antara Senarai Bakal Dipecat?