Sungguhpun kita telah tiba di sisa-sisa bulan Syawal, namun kemeriahan Aidilfitri tahun ini masih terus dirasai.
Kebanyakan warga Malaysia yang beragama Islam seolah-olah 'membalas dendam' dalam menyambut Hari Raya Puasa yang sebelum ini tidak dapat diraikan selama dua tahun gara-gara wabak COVID-19.
Namun yang menjadikan sambutan hari raya tahun ini lebih menarik dan tidak akan dilupakan adalah tarikh jatuhnya hari raya yang diumumkan.
Rakyat Malaysia selama ini sudah terbiasa dengan tarikh perayaan Aidilfitri yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, tahun ini berbeza kisahnya.
Tiba-tiba, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan tarikh jatuhnya satu Syawal sehari lebih awal daripada yang dijangkakan warga Malaysia.
Maka, pelbagai kisah panik, terkejut, lucu dan sebagainya terjadi.
Saya tidak tahu mengapa ramai yang seperti tidak percaya dan tidak boleh menerima pengumuman tersebut. Sedangkan saya tahu bahawa tarikh penetapan bulan puasa, hari raya puasa dan haji semuanya tertakluk kepada anak bulan yang kelihatan.
Dan semua ini dipastikan oleh badan agama pihak kerajaan.
Malah semasa saya kecil kami sentiasa ternanti-nanti di hadapan televisyen untuk mengetahui tarikh Aidilfitri, kerana apa yang tercetak di kalendar sebenarnya adalah jangkaan semata-mata dan tidak mungkin tepat atau mutlak.
Telah dijelaskan di pelbagai laman sesawang tentang cara penetapan tarikh tersebut.
Setelah bertahun-tahun akhirnya tarikh Aidilfitri jatuh sehari lebih awal dari jangkaan dan saya sebenarnya terpegun dengan aneka kisah 'raya terkejut' yang saya dengar daripada ahli keluarga, rakan-rakan terdekat dan juga di media sosial.
Ada yang memesan perabot dengan harapan perabot tiba sehari sebelum raya terpaksa beraya tanpa perabot di hari raya pertama, ada yang terpaksa pulang ke kampung dalam keadaan tergesa-gesa, dan sudah tentu kisah paling banyak didengar adalah tidak sempat menyiapkan sajian tradisional raya seperti rendang dan lemang gara-gara kehabisan bekalan yang dijual.
Alhamdulillah, saya tidak terlalu terkesan kerana ibu saya telah mempunyai segala persiapan dari awal, namun minggu ini saya kongsikan beberapa kisah raya terkejut rakan-rakan saya di Getaran.
Rendang Kerang di Pagi Raya
Panik! Mana nak cari daging, santan, serai dan daun kunyit? Bila Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan sambutan Aidilfitri jatuh pada esok hari (2 Mei) dan bukannya hari Selasa (3 Mei) seperti yang telah ditetapkan sebelum ini, peluh jantan dan betina terus memercik keluar.
Bertalu-talu mesej dan panggilan telefon diterima tentang berita pengumuman tarikh raya mengejut itu. Tapi, otak sedang ligat berputar memikirkan, macamana nak sambut raya kalau tiada rendang? Dan bagaimana pula dengan rendang kerang yang ditempah dengan seorang teman wartawan bernama Syarrizuan. Nampak gayanya, ia hanya akan dapat dijamah waktu raya kedualah gamaknya.
Sedang memikirkan nasib badan yang tidak berapa untung ketika itu, telefon bimbit berbunyi dan pemanggilnya adalah Syarrizuan memberitahu dia mahu menghantar rendang kerangnya itu. Terkejut kita buat kali yang kedua pada malam yang sama. Nasib baik, sistem jantung berada dalam keadaan tahap yang normal.
Kata Syarrizuan, dia tidak sedap hati apabila munculnya khabar angin mengatakan raya mungkin akan disambut pada hari Isnin dan meminta ibu saudaranya memasak sahaja rendang kerang itu pada siang tadi.
Esok pagi pada hari raya Aidilfitri, yang terhidang di meja rumah saya adalah ketupat dan rendang kerang Syarrizuan bersama air Teh O’ Panas. Walaupun sambutan pagi raya agak sendu dan tidak dipenuhi dengan pelbagai juadah raya seperti kebiasaaanya, yang pastinya, rendang tetap ada walaupun hanyalah sekadar rendang kerang sahaja. -Ellyna Ali, Timbalan Editor Gaya Hidup dan Hiburan
Raya Tanpa Takbir Malam Raya
Setiap tahun keluarga mertua saya di Kelana Jaya akan mengadakan kenduri tahlil dan menjemput jemaah masjid untuk bertakbir setiap malam Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Tahun ini, persiapan telah diadakan seperti biasa dengan menempah makanan namun disebabkan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Isnin dan bukan Selasa, maka tempahan makanan tidak sempat disiapkan.
Maka tahun ini, tiadalah kenduri dan takbir di rumahnya. Insya Allah mungkin Hari Raya Aidiladha nanti akan diadakan seperti biasa.
Apa pun, Alhamdulillah semua berjalan lancar meskipun tahun ini `raya mengejut’. – Habibah Omar, Sub-Editor Kanan, Berita
Rumah Bujang Tak Berkemas dan Bersengkang Mata Sampai Awal Pagi
Ketika petang hari sebelum pengumuman tarikh rasmi hari raya Aidilfitri, saya masih berada di rumah bujang yang terletak di Cheras.
Dalam masa yang sama, seperti dalam perancangan hari tersebut saya akan pulang ke rumah ibu bapa saya yang terletak di Rawang, Selangor.
Selepas berbuka puasa pada hari itu, saya bercadang untuk mengemas sebentar rumah bujang tersebut sebelum bertolak pulang sambil menyalakan televisyen untuk mendengar pengumuman raya.
Sejurus mencapai sahaja penyapu, diumumkan tarikh hari raya Aidilfitri awal sehari.
Dengan pantas saya tinggalkan penyapu tersebut, siapkan bag pakaian, kunci rumah seterusnya menghidupkan enjin motosikal lalu bertolak terus menuju ke Rawang.
Sejurus tiba pada jam 9.00 malam, kelihatan ibu saya sedang mengacau rendang ayam tua di dapur untuk hidangan raya. Tanpa melengahkan masa, bersengkanglah mata saya membantu ibu saya membuat persiapan raya sehingga 5.00 pagi. - Izwan Ramlan, Penulis Gaya Hidup
Ketupat Lembik, Brownies Tak Jadi
Malam itu entah macam mana bersemangat betul nak buat Brownies.
Leka menimbang bahan-bahan, konon untuk dibawa pulang beraya ke Melaka, rancangnya esok malam. Suasana rumah tenang, maklumlah, kami tak ada TV. Semua bergantung pada telefon mudah alih.
Tiba-tiba suara Nifail (anak bongsuku) memecah keheningan."Heiii biar betul esok raya!?!
Aku terdiam, kaku. Perlahan-lahan aku menjenguk suami di ruang tamu. Suami tengok aku, aku tengok dia balik sebelum semua bertempiaran mengemas keperluan lima ekor kucing yang terpaksa ditinggalkan kerana gagal menempah asrama.
Baju raya jangan cakaplah, sauk mana yang sempat saja. Pendek cerita malam itu juga kami tiba di Melaka dan aku tak tidur sebab terpaksa jaga ketupat.
Tambah huru-hara ketupat pula lembik sebab api dapur gas perlahan sangat. Nasiblah anak-anak, apa yang penting walau huru-hara macam manapun, raya tetap raya. - Suzan Ahmad, Sub-Editor, Gaya Hidup dan Hiburan.
Semoga kisah-kisah raya mengejut ini menjadi peringatan dan pengajaran buat kita semua supaya bersiap-sedia lebih awal tahun hadapan untuk sambutan Hari Raya!
Selamat Hari Raya sekali lagi dari kami di Getaran! - Getaran, 22 Mei 2022
Gambar Fail