Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Pyu, Tok Dalang Cilik

Siapa sangka Aqfierudzar Rizq atau Pyu sudah bergelar Tok Dalang sejak berusia 4 tahun. Tidak hanya di Malaysia, si cilik ini juga pernah tular di luar negara. Jom baca kisah penuh perjalanan Pyu dalam temu ramah eksklusif ini.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 May 2022 9:18AM

Gambar: Alif Omar

oleh

Wafa Aula

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Ketika Puan Aniza Musa sedang sibuk menguruskan perniagaan baju tradisional di kedai, tiba-tiba matanya menangkap kelibat anak bongsunya, Aqfierudzar Rizq sedang duduk di tepi dinding.

Tangan kecilnya yang baru berusia 3 tahun pada waktu itu mula mengangkat patung wayang kulit dan menggerakkannya ke dinding seolah meniru lagak Tok Dalang di sebuah pementasan.

Puan Aniza terpegun. Namun manalah tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Darah seni suaminya, Sulhie Yusuf mengalir likat ke tubuh anak-anak yang turut mencintai seni warisan budaya seperti wayang kulit, silat dan dikir barat.

Meskipun begitu, pasangan ini tidak menyangka Aqfierudzar Rizq yang senang dipanggil Pyu bakal mengubah takdir mereka sekeluarga.

Seperti namanya, Pyu membuka pintu rezeki seawal umur 3 tahun ketika mereka sekeluarga mewakili Malaysia ke sebuah festival kebudayaan di Guangzhou, China.

Pyu dengan tubuh kecil berkeras mahu memukul gong. Siapa sangka paluannya merdu seperti sudah berlatih lama. Aksinya mencuri tumpuan masyarakat di sana sehingga videonya menjadi tular.

Pada akhir festival, reruai Malaysia menerima empat anugerah termasuklah reruai terbaik, semuanya berkat bakat cilik seperti Pyu.

Ketika bapanya mengikuti kursus pendek kesenian di ASWARA (Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan), dia akan membawa Pyu bersama-sama.

Pyu dibiarkan menonton rancangan ‘Ultraman’ kesukaannya menerusi telefon pintar agar bapanya boleh fokus di dalam kelas.

Namun anehnya, ketika perjalanan pulang di dalam kereta, Pyu boleh menceritakan semula apa yang dikatakan pensyarah di dalam kelas sebentar tadi satu per satu.

Waktu itu Sulhie mengerti bahawa anaknya dikurniakan daya ingatan yang kuat berbanding kanak-kanak lain seusianya. 

 

Persembahan pertama ubah segala

Sulhie kemudian membawa Pyu lebih dekat dengan seni wayang kulit. Tidak hanya memegang watak dan memasang kelir (tirai wayang kulit), Pyu diperkenalkan dengan jalan cerita sebenar sebuah pementasan dan persembahan.

Dia dilatih menjadi peneraju utama dan bintang sebenar wayang kulit iaitu Tok Dalang.

“Saya fikir Pyu ada keistimewaan berbanding kanak-kanak lain di mana dia sangat cepat menghafal cerita yang saya berikan padanya. Misalnya cerita yang saya berikan pada sebelah pagi, dia boleh persembahkan dengan baik pada sebelah petang. Bukan itu sahaja, dia juga boleh mengubah jalan cerita mengikut kreativitinya,” dedah Sulhie.

Ketika menginjak umur empat tahun, Pyu diberi kepercayaan untuk mengendalikan persembahan pertamanya sebagai Tok Dalang dalam sebuah majlis di Kelantan.

Bertubuh kecil, menyarung busana baju Melayu dan bertanjak, Pyu memainkan hampir sepuluh watak lancar tanpa gemuruh. Dia dengan senang mencuri hati hanya dengan berseloroh.

“Waktu itu saya dan suami tawakal sahaja. Tapi sebab orang nak sangat tengok dia jadi Tok Dalang, kami pun berilah peluang kepadanya. Tapi bapanya memang ada di belakang Pyu kalau-kalau dia terlupa jalan cerita. Tapi semuanya berjalan lancar, jika dia terlupa jalan cerita, Pyu sendiri yang akan olah jalan cerita supaya watak yang tertinggal tadi boleh dimainkan di dalam persembahan,” celah Aniza.

Persembahan itu kemudian menjadi tular dan mendapat liputan meluas. Pyu sekeluarga dipelawa mengunjungi pesta kebudayaan di dalam dan luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura. Bakat Pyu luar biasa, Yayasan Hasanah kemudian mencari Tok Dalang cilik ini dan bersetuju menaja kegiatan seni dan persekolahannya seawal umur empat tahun. 

Hari ini Pyu sudah berumur lapan tahun, duduk di hadapan penulis. Memancingnya dengan segelas air coklat dengan krim di atas, Pyu mula bercerita kenangan terbaiknya sepanjang menjadi Tok Dalang. 

“Waktu itu ada persembahan dekat KLIA. Persembahan pertama saya. Saya bawa cerita tiga orang pengasuh. Salah satunya ialah watak bernama Samad. Tapi saya terlupa nak sebut watak Samad,” Pyu tersengih. Menghirup air coklat sekejap kemudian menyambung,

“Saya ubah cerita, saya cakap dia tengah tidur,” senyumnya.

Kerana Pyu seorang kanak-kanak yang menyukai Ultraman, Pyu kemudian mencipta watak Ultraman, raksasa dan dirinya sendiri di dalam jalan cerita. Maka, persembahannya menjadi lebih menarik dan membuat lebih ramai kanak-kanak jatuh cinta.

“Saya suka Ultraman. Rasa seronok bila bawa cerita Ultraman waktu main wayang kulit,” tambahnya.

 

Bukan Tok Dalang biasa

Menurut Aniza, tak ramai Tok Dalang yang mempunyai pendidikan tinggi. Dia mahukan Pyu membesar sebagai anak seni yang berbeza. Maka dia dan suami tidak pernah berkompromi soal pendidikan anak-anak. Mereka hanya mengambil persembahan di luar waktu sekolah. 

“Kebanyakan Tok Dalang sebenarnya sudah tua dan mereka tidaklah memiliki pendidikan tinggi. Jadi, saya harap Pyu buktikan bahawa generasi baru Tok Dalang ini bukan sahaja hebat seni malah juga pendidikannya,” kata Aniza.

Hasil tajaan, Pyu kini ditempatkan di sebuah sekolah swasta. Namun apa yang menariknya, Sekolah Setia Budi di Gombak ini bakal memasukkan seni wayang kulit ke dalam silibus kokurikulum mereka. Siapa lagi gurunya kalau bukan Pyu sendiri.

“Rasa macam gementar pun ada juga. Orang lain pergi sekolah sebab belajar. Kita pergi sekolah sebab nak buat persembahan,” katanya ketawa. 

“Tapi kita boleh buat dua-dua, Pyu,” celah menulis dan dia laju mengangguk. 

Bukan itu sahaja, Pyu juga berkata dia sudah mengumpul peminat seusianya dengan harapan mereka semua akan tertarik untuk belajar wayang kulit.

“Wayang kulit ini seronok sebab ia ada banyak warna, boleh gerak-gerak dan kita boleh buat cerita daripada apa kita suka,” tambahnya.

Ditanya apakah perancangan dan cita-cita Pyu selepas ini, anak kecil itu tersenyum. 

“Saya nak jadi pensyarah di universiti. Saya juga nak ajar orang lain tentang seronoknya permainan wayang kulit,” katanya mengakhiri temu ramah.

Sebelum beredar, penulis sempat mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada ibu dan bapa Pyu. Mata mereka bersinar sepanjang bercerita tentang anak mereka. Bangga melihat Pyu membesar sebagai anak muda yang mencintai seni warisan bangsanya. 

“Setiap seni tradisional memiliki falsafah dan sejarah bangsa yang tidak ternilai mahalnya. Jika tidak diteruskan, seni ini akan hilang dengan sendirinya.

“Sebagai penggiat seni, anak orang lain pun saya sokong. Apatah lagi anak sendiri.

“Saya bersyukur kerana anak saya boleh mewarisi seni ini. Walaupun budak, namun bila berdepan dengan kelir, wataknya sendiri terus berubah menjadi matang. Kita tahu, dia membawa jiwanya di situ,” kata bapanya kepada penulis.

Kami kemudian serentak memandang Pyu dan tersenyum. Semoga dia tumbuh menjadi lelaki yang memakbulkan harapan dan cita-cita orang tuanya.

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Aqfierudzar Rizq (Pyu)

Editor Gaya Hidup & Hiburan : Shah Shamshiri

Teks: Wafa Aula

Suntingan Teks : Ili Farhana

Jurugambar : Alif Omar

Juruvideo : Alif Omar

Suntingan Video : Muharram Kasim

Rekaletak : Abdul Hanif Zahari

Isu Pada

Pyu, Tok Dalang Cilik

14 May 2022

Berita Berkaitan

1

Selera 1 bulan yang lalu

Pewartaan Warisan Negara Buka Jalan Promosi Jeruk Tuhau Ke Seluruh Dunia

2

Budaya 4 bulan yang lalu

Pesta Bola Ngoca Sasar 35,000 Pengunjung, Perkasa Sektor Pelancongan

3

Budaya 5 bulan yang lalu

Galeri Anak-Anak Sidek Dibuka 1 November

4

Budaya 6 bulan yang lalu

Festival Silat Wariskan Seni Berharga, Tinggalan Untuk Generasi Muda

Sorotan

1

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

2

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

3

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright

4

PRK Kuala Kubu Baharu: Kerajaan Perpaduan Ada Kaedah Pastikan Calon Menang

5

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

6

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

7

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA