Berita Terkini

8 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 5 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Syawal Terindah Nur Fazura

Sejak mula berhijab penuh Ramadan tahun lalu, kejayaan demi kejayaan mengiringi perjalanan hidup bintang ternama Nur Fazura Sharifuddin. Kemanisan ini menjadikan Syawal 2022 antara yang terindah buat juita hati rakyat Malaysia ini.

TARA Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 30 Apr 2022 9:26AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tiada wajah yang lebih sesuai untuk kami angkat sebagai penghias muka depan TARA edisi istimewa Syawal ini. Nur Fazura Sharifuddin ialah juita hati rakyat Malaysia kala ini. 

Sering mendapat jolokan aktres tercantik di Malaysia, ternyata wajah jelitanya adalah cerminan keperibadiannya.

Sejak memakai hijab sepenuhnya tahun lalu, hanya cerita yang baik-baik sahaja yang kita baca atau dengar tentang anak kelahiran Pekan, Pahang ini. 

Kisah kejayaan perniagaan tudungnya sering menjadi inspirasi. Setiap kali koleksi tudung terbaharu dilancarkan, pasti licin dalam masa beberapa minit dan mengaut keuntungan berjuta ringgit. 

Selayaknya Fazura diangkat sebagai suri teladan masa kini.

Malah baru-baru ini tular di media sosial, Fazura meraikan para pekerjanya dengan menghadiahkan mereka beg dari jenama mewah Coach sebagai tanda penghargaan di atas usaha keras mereka. 

Sebenarnya agak susah juga untuk merealisasikan sampul hadapan TARA kali ini kerana kepadatan jadualnya menguruskan perniagaan yang semakin rancak berkembang. 

Malah Fazura juga baru selesai sesi jelajah bertemu para peminat dan pengguna setia jenama Fazbulous di seluruh Malaysia.

“Syukur Alhamdulillah, jenama Fazbulous yang dibina pada tahun 2017 masih lagi bertahan walaupun telah melalui pelbagai cabaran seperti pandemik dan sebagainya. 

“Sewaktu pandemik, Fazbulous agak ‘chill’ sekejap. Kemudian kami rombak balik dari segi kakitangan serta arah tuju yang saya mahukan untuk jenama ini. 

“Sekarang ini saya boleh katakan jenama Fazbulous lebih fokus kepada busana Muslimah. Malah kita pelbagaikan lagi produk. 

“Sekarang memang saya agak aktif dalam bidang perniagaan dan berharap dapat kembangkan lagi jenama Fazbulous bersama pasukan yang baharu serta nafas yang baharu,” katanya membuka wawancara.

 

Fenomena Tudung Fazura

Berkongsi kisah kejayaan tudung keluarannya sehingga menjadi fenomena luar biasa, kata Fazura kejayaan ini adalah sesuatu yang tidak diduga. 

“Saya percaya apa sahaja yang kita lakukan bermula dari nawaitu (niat). 

“Tudung Fazura ini sebenarnya sudah lama ada, bukan baru lagi. Ketika itu saya baru sahaja berkahwin dengan Fattah dan kami telah punya jenama Fazbulous. 

“Waktu itu ramai yang minta saya keluarkan koleksi tudung. Tetapi ketika itu saya masih belum bertudung sepenuhnya, saya cuma bertudung sewaktu bulan Ramadan. 

“Jadi saya keluarkan tudung pada waktu itu atas permintaan orang dan kerana saya sendiri nak pakai pada bulan Ramadan sahaja. Jadi pengeluaran tudung pada waktu itu bukan sesuatu yang menjadi fokus saya. 

“Tetapi pada bulan Ramadan tahun lalu, saya telah berniat untuk terus bertudung sepenuhnya. Jadi saya keluarkan Tudung Fazura yang bahru berserta stok yang kita telah sediakan, cuma belum terjual lagi. 

“Niat saya pada waktu itu nak habiskan stok dan nak jual pada harga RM25 supaya semua orang boleh pakai dan bukan nak buat untung pun.

“Alhamdulillah waktu jual tu semua habis dalam masa beberapa minit. Waktu itu kita jual tudung kosong sahaja tanpa corak. Tetapi setiap hari orang asyik bertanya bila nak keluar tudung baru. Jadi Allah gerakkan hati saya untuk terus menghasilkan koleksi terbaharu.

“Dan saya telah mengambil keputusan untuk kekal menjual dengan harga mampu milik supaya semua orang boleh pakai. Memang niat saya supaya ramai orang berpeluang pakai Tudung Fazura. 

“Saya tidak mahu dengar ada yang teringin nak pakai tudung saya tetapi tidak mampu. Mungkin itulah penyebabnya kenapa Tudung Fazura ini berjaya. Mungkin ada hikmah yang baik di sebalik niat saya.

“Ia juga menjadi punca rezeki kepada ramai suri rumah yang terkesan sewaktu pandemik. Ada yang suami kena buang kerja. Hilang sumber pendapatan. Ibu-ibu tunggal serta pelajar kolej yang mahu tambah sumber pendapatan membantu keluarga. Ini adalah rezeki mereka. 

“Alhamdulillah saya dapat bantu ramai orang. Ini rezeki yang Allah berikan kepada mereka melalui saya,” kongsinya. 

Tambah Fazura lagi, apa yang paling penting untuknya adalah setiap wanita mampu memiliki tudungnya dan gembira tatkala menggayakannya. 

“Alhamdulillah ada banyak maklum balas yang saya dapat daripada para pelanggan. Ada yang kata, sebelum ini mereka tidak bertudung, tetapi lepas pakai Tudung Fazura terus rasa macam tak nak tanggal. Semoga niat murni mereka ini hanyalah kerana Allah dan diberkati,” katanya.

 

Fokus Perniagaan, Karier Seni Nanti Dulu

Beberapa tahun kebelakangan ini, Fazura dilihat lebih fokus dalam dunia perniagaan, sehinggakan ramai yang merindui untuk melihatnya beraksi di lapangan seni. Namun kata Fazura, dia kini mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menguruskan kerjayanya sebagai usahawan.

“Saya mempunyai tanggungjawab yang Allah berikan, kerana ramai orang yang menjana pendapatan melalui produk-produk saya sebagai stokis. Saya terpaksa fokus dengan perniagaan. 

“Saya celik mata sahaja, saya akan pastikan semuanya berjalan lancar, kerana di bawah saya terdapat lebih ramai yang mengharapkan saya terus bergerak supaya mereka dapat menjana pendapatan dan mencari rezeki bersama-sama dengan saya. 

“Tidak dinafikan saya memang rindu untuk beraksi di hadapan kamera, shooting filem dan drama malah rindu untuk menyanyi. Tetapi itulah, tawaran lakonan yang datang setakat ini belum berjaya menambat hati saya dan tidak sesuai dengan keadaan kehidupan saya sekarang. 

“Tetapi jangan risau, jika ada watak dan naskhah yang sesuai, saya akan kembali beraksi dan semoga Allah permudahkan dari segi masa supaya saya dapat uruskan waktu di antara perniagaan dan karier seni,” ujarnya.

 

Ramadan Penuh Makna

Ramadan pada tahun ini pasti lebih bermakna buat kita semua kerana dapat menunaikan ibadah puasa dan tarawih dengan lebih mudah tanpa dibelenggu kekangan SOP pandemik COVID-19 yang ketat. 

Tidak terkecuali buat Fazura yang merasai kemanisan menyambut Ramadan bersama anaknya Nur Fatima Aisya. 

“Alhamdulillah, Ramadan kali ini lebih manis dengan adanya kehadiran Fatima. Tahun lalu dia masih bayi, jadi kebanyakan waktu dia tidur. 

“Tahun ini ada kalanya dia akan makan sahur bersama-sama dengan saya. Berbuka memang setiap waktu. Biarpun tahun ini saya agak sibuk dengan perniagaan, ada waktu yang saya tiada di rumah tetapi apa yang saya lakukan ini adalah untuk dia. 

“Walaupun usia Fatima belum masuk dua tahun, tetapi dia faham semua itu, Alhamdulillah,” katanya. 

Berbicara soal persiapan menjelang Aidilfitiri pula, kata Fazura tahun ini dia akan sedikit ‘all out’ kerana sudah dua tahun tidak dapat beraya.

“Alhamdulilah, segala persiapan menyambut raya berjalan dengan lancar. Cuma tahun ini kita sedikit ‘all out’ lah kerana sudah dua tahun tidak beraya. Kalau saya tempah baju pun bukan saya tempah untuk saya seorang tetapi untuk Fatima dan Fattah. Semuanya sedondon.  

“Namun begitu persiapan saya tidaklah keterlaluan, tetap bersederhana cuma lebih sikitlah untuk tahun ini kerana saya mahu anak saya merasai suasana Hari Raya. Malah saya juga ada minta Fattah belikan bunga api yang tidak berbahaya supaya Fatima dapat merasa bagaimana menyambut raya. Jadi bila dia besar nanti dia akan ingatlah kenangan Hari Raya sewaktu kecil,” kongsinya. 

 

Rumah Terbuka Untuk Keluarga

Sebagai pasangan berkahwin, pastinya sistem giliran pulang ke kampung siapa untuk beraya menjadi perbincangan setiap tahun. Bagi pasangan Fattzura pula, tahun ini mereka akan pulang beraya di kampung Fazura di Pekan, Pahang. 

“Kampung Fattah sebenarnya di sini sahaja, tetapi dia juga ada kampung di Bagan Datuk. Namun pada tahun lalu kami kehilangan kedua-dua atuk Fattah. Jadi tahun ini kami tidak pulang ke Bagan Datuk. 

“Tetapi oleh kerana tidak dapat bertemu sanak saudara di Bagan Datuk, saya bercadang untuk menganjurkan rumah terbuka nanti kerana keluarga Fattah sangat besar. Di rumah terbuka itu nanti kami boleh bertemu semua sanak saudara,” katanya yang bercadang untuk melakukan rumah terbuka di sebuah lokasi yang boleh memuatkan ramai orang dan sedikit mewah.

Ditanya apakah makanan kegemarannya setiap kali menyambut Syawal, kata Fazura lemang adalah antara yang wajib tersedia di atas meja setiap kali Aidilfitri. 

“Saya ni suka lemang. Untuk tahun ini saya sudah tempah 30 batang lemang. Dan semuanya akan sampai pada 29 April. Nak bagi kepada siapa itu saya tak tahu lagi. 

“Tetapi sebab saya sangat sukan lemang, jadi saya akan beli lebih, Lemang dan rendang adalah hidangan wajib. Selain itu saya juga sangat sukakan ketupat dan sayur lodeh,” katanya sambil menelan air liur mengenangkan keenakan juadah kegemarannya. 

 

Kenangan Syawal Terindah 

Momen menyambut Syawal adalah antara momen terindah dalam hidup setiap yang bergelar umat Islam di Malaysia. Bagi Fazura pula, kenangan menyambut Aidilfitri bersama arwah bapanya adalah momen Syawalnya yang terindah. 

“Kenangan terindah saya adalah menyambut Syawal bersama arwah bapa saya. Juga bersama arwah atuk dan saudara-mara yang sudah tiada. Ramai dalam keluarga saya yang sudah kembali ke rahmatullah. 

“Kebanyakan mereka adalah tunjang kepada keluarga seperti bapa, atuk, dan pak cik. Kenangan-kenangan bersama mereka itulah yang susah saya nak lupakan. 

“Setiap tahun menjelang raya, pasti saya akan teringat-ingat. Saya berharap mereka semua ada lagi bersama saya. 

“Saya juga rindukan suasana beraya sebelum pandemik di mana tiada SOP yang perlu dipatuhi, dapat berkumpul sanak saudara bersalaman dan berpelukan di antara satu sama lain. 

“Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana masih ada mama, Fattah, Fatima, keluarga serta teman-teman yang saya kasihi sehingga hari ini.

“Dalam kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua saudara kita yang meraikan. 

“Saya ingin memohon ampun maaf, sebagai manusia biasa kadang-kadang kita tak sedar kita ada melakukan kesilapan dari segi percakapan atau perbuatan. Dan saya berharap kita bukan sahaja memohon maaf sewaktu Hari Raya sahaja, selepas Hari Raya pun kita tetap bermaafan. 

“Mudah-mudahan kita buang yang keruh dan ambil yang jernih, kosong kosong. Saya mendoakan semoga kita semua kembali seperti dulu lagi, diberikan kesihatan dan reda dengan segala apa yang telah ditakdirkan Allah buat kita. 

“Sentiasa tenang bersangka baik dengan Allah,” katanya mengakhiri perbualan. 

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Nur Fazura

Editor Gaya Hidup & Hiburan : Shah Shamshiri

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks : Helmi Anuar

Suntingan Teks : Ili Farhana

Jurugambar : Taufiq Nadzri

Jurusolek : Rozlan Nassir

Penata Gaya : Yana Baharudin

Tudung : ‘Kamaliyah’ dari Koleksi Raya Milik Semua oleh Tudung Fazura

Pakaian : Milik Fazura

Rekaletak : Abdul Hanif Zahari

(Sekalung penghargaan buat Encik Muzammil dan pihak pengurusan Nur Fazura )

Isu Pada

Syawal Terindah Nur Fazura

30 Apr 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Malaysia Kutuk Serangan Rejim Israel Ke Atas Gaza Ketika Aidilfitri 

2

Video & Galeri 1 minggu yang lalu

Sambut Raya Gaya Kampung Sungai Tiram

3

Semasa 2 minggu yang lalu

Aliran Trafik Mula Perlahan Di Beberapa Lebuh Raya Utama

4

Semasa 2 minggu yang lalu

Puluhan Ribu Penumpang Dijangka Banjiri Lapangan Terbang Mulai Hari Ini

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut