Berita Terkini

8 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 5 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Kunming Tidak Popular, Tapi Mengasyikan

Gara-gara COVID-19, sudah lebih dua tahun Rahayu MN tidak berpeluang ke luar negara. Namun hari ini, dia membawa kita berkenalan dengan satu destinasi yang menggamit memorinya iaitu Kunming di China.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 13 Mar 2022 3:24PM

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Gara-gara COVID-19, sudah lebih dua tahun penulis tidak berpeluang ke luar negara. Alangkah rindunya hati menikmati suasana serba baharu, makanan yang enak-enak serta pemandangan alam luar biasa, yang tidak mungkin boleh dinikmati di tanah air sendiri. 

Membelek foto-foto lama saat bercuti ke sana-sini membawa fikiran penulis terbang melayang seketika. 

Salah satu destinasi yang menggamit memori ialah percutian ke Kunming, China pada tahun 2015 dahulu. 

Destinasi yang tidak pernah timbul di akal fikiran ini dijejaki setelah mendapat undangan daripada Air Asia.

Tak kenal, maka tak cinta. Tak sangka destinasi kurang popular ini punya tarikan dan keunikan sendiri. 

Mengambil masa penerbangan selama empat jam (ketika itu Air Asia menawarkan penerbangan terus ke sana), Kunming menjanjikan suasana percutian mengasyikkan. 

Wanita berpakaian tradisional etnik Sani di kawasan Stone Forest. Gambar: Vince Russell, Unsplash
Wanita berpakaian tradisional etnik Sani di kawasan Stone Forest. Gambar: Vince Russell, Unsplash

Dengan suhu purata 15°C ke 23.1°C  sepanjang tahun, ibu kota wilayah Yunnan ini digelar sebagai ‘The City The Eternal Spring’. Kota yang terletak pada ketinggian 1,900 meter dari paras laut ini dipenuhi dengan pelbagai jenis bunga-bungaan sehingga memberi landskap alam mempesona.

Sepanjang enam hari, lima malam berada di Kunming, penulis berjaya menjejaki beberapa tarikan yang mesti dilawati apabila berada di wilayah ini.

Ada yang dekat dekat dengan ibu kota, ada juga yang mengambil masa sehingga empat jam perjalanan dengan menaiki bas.

Sesungguhnya kota Kunming pesat membangun. Penulis kagum dengan pembangunan ibu kota wilayah Yunnan ini. Banyak bangunan pencakar langit yang megah berdiri.  Arus trafik di ibu kota ini juga sangat sibuk. 

Selain dipenuhi dengan motosikal dan kenderaan lain, jalan raya di sini juga dipenuhi dengan pejalan-pejalan kaki. Bahkan ketika itu, jalan raya di sini diselimuti dengan debu-debu merah yang datang entah dari mana. Mungkin hari ini lain situasinya. 

 

Nikmati keindahan alam, keunikan budaya

Memandangkan wilayah Yunnan cukup luas untuk diteroka, kunjungan kurang dari seminggu tidak memungkinkan penulis dan rakan-rakan media yang lain menjengah ke semua tempat menarik. Ini kerana perjalanan dari satu tempat ke satu tempat mengambil masa yang agak panjang. 

Andai dunia ‘sembuh’ suatu hari nanti dan anda ingin mengembara ke sini, berikut adalah tarikan yang ingin penulis cadangkan kepada pengembara kali pertama.

Tarikan yang tersenarai ini memberi peluang kepada anda untuk nikmati keindahan alam dan pelajari keunikkan budaya masyarakat di Kunming.

1) Pementasan Dynamic Yunnan

Pementasan seni Dynamic Yunnan ini jangan sesekali dilempar jauh dari senarai ‘mesti buat’ di Kunming. Di sinilah anda boleh mendekati sejarah Kunming.

Gambar : gokunming.com
Gambar : gokunming.com

Kunming adalah 'rumah' kepada banyak kumpulan etnik minoriti dan merupakan titik tumpuan budaya minoriti Yunnan. Antara 26 kumpulan minoriti yang ada di kawasan itu, Yi, Bai, Dai, Naxi dan Zang (Tibet), adalah yang paling terkenal. 

Pementasan muzikal ini dihasilkan, diarahkan dan dikoreografi oleh penari terkenal China, Yang Liping. Ia merupakan sebuah persembahan yang menampilkan kekayaan dan kepelbagaian budaya Yunnan.

Mengambil masa kira-kira dua jam, penonton pasti terpukau dengan kehebatan produksi yang berjaya menggabungkan teknik tradisional dan moden dengan menakjubkan.

Kemuncak persembahan adalah Tarian Burung Merak atau Peacock Dance. Liuk-lentok tubuh Sang Penari cukup memukau. Pementasan bermula jam 8.30 malam pada setiap Isnin hingga Sabtu. Tiket-tiket pula berharga di antara RMB220 ke RMB520.

2)  Yunnan Nationalities Village

Ketika berada di sini, penulis tidak henti-henti membidik kamera DSLR yang dibawa. Bagaikan mengembara menerusi terowong masa, Yunnan Nationalities Village yang terletak di pantai timur Tasik Dianchi dan ia adalah tempat terbaik untuk pelancong mengenali budaya dan tradisi pelbagai kumpulan etnik di wilayah Yunnan. 

Berlatarbelakangkan bukit-bukau, kolam yang indah, rumah tradisional unik dan tumbuh-tumbuhan yang jarang ditemui, Yunnan Nationalities Village atau Perkampungan Etnik Yunnan, mempamerkan keindahan dan keunikan gaya seni bina, kepercayaan agama dan adat resam 26 kumpulan etnik yang ada di Yunnan.

Terletak 10 kilometer dari pusat bandar Kunming, tarikan ini meliputi kawasan seluas 840,000 meter persegi, termasuk 310,000 meter persegi kawasan air.

Antara perkampungan yang boleh anda lawati di sini ialah Perkampungan Yi, Perkampungan Bai, Perkampungan Dai, Perkampungan Hani dan Perkampungan Shui.

Selain daripada dapat melihat seni bina rumah, pelancong juga berkesempatan melihat beberapa persembahan tarian tradisonal atau majlis-majlis adat yang dipersembahkan dari masa ke semasa.

Perkampungan ini dibuka dari jam 8.00 pagi hingga jam 6.00 petang. Jika tidak menggunakan perkhidmatan pemandu, boleh naik bas atau teksi untuk ke sini. 

Tambangnya tidak mahal kerana ia terletak 10 kilometer sahaja daripada pusat bandar. Untuk masuk, anda perlu bayar RMB90.

3) Stone Forest

Hutan batu ini terletak 90 kilometer dari kota Kunming dan ia merupakan salah satu tarikan popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara. 

Menawarkan landskap alam mempesona, hutan batu ini mempunyai keluasan 500 kilometer persegi dan terbahagi kepada tujuh bahagian iaitu Lizijing Stone Forest,  Naigu Stone Forest, Zhiyun Cave,  Lake Chang, Lake Yue, Dadie Waterfall dan Qifeng Cave.

Naigu Stone Forest telah digazetkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2007.

Sarunglah pakaian dan kasut yang sesuai jika mahu meneroka kawasan berbatu ini. Lupakan sepatu tumit tinggi atau jeans ketat kerana ia hanya menyukarkan pergerakan. 

Selain itu, pastikan juga anda datang awal pagi untuk mengelakkan kesesakan. Paling penting, jangan lupa bawa minuman mencukupi serta kamera atau telefon pintar untuk merakam memori. 

4) Western Hills

19 kilometer dari Kunming, terletaknya Western Hills yang menjadi sebahagian daripada rentetan pergunungan yang indah.  Menjanjikan pemandangan mengasyikkan, Western Hills popular di kalangan penduduk tempatan yang gemar beriadah.  

Jika anda tidak cukup fit, tidak perlu susahkan diri. Ambil sahaja jalan mudah. Naik sahaja bas yang disediakan, kemudian naik van dan teruskan perjalanan ke puncak dengan menaiki buaian kabel.  

Memang menyeronokkan. Dengan udara sejuk dan nyaman, percutian di sini bukan kepalang nikmatnya. Rasa tidak puas berada di buaian kabel kerana terlalu leka.

Penduduk setempat menggelarkan pemandangan ini sebagai ‘The Sleeping Beauty’ kerana dari jauh ia kelihatan seperti perempuan cantik yang sedang berbaring dengan rambut menggurai ke tepian Tasik Dianchi.

Caj yang dikenakan untuk melihat-lihat kawasan ini ialah berbeza-beza mengikut servis yang ingin dinikmati. Bagaimanapun, terdapat tiket kombo yang berharga RMB75 untuk tiket masuk, ke kawasan ‘Dragon Gate Scenic Sports, menaiki buaian kabel, menggunakan kereta kabel dan menaiki bas pelancong untuk naik dan menuruni bukit.

5) Haigeng Park

Dari Western Hills, anda boleh singgah ke tarikan yang terletak di persisiran Tasik Dianchi. Haigeng Park menawarkan pemandangan semula jadi dan 'pantai' tepian tasik dengan pepohon dan bunga-bungaan mekar.

Perkampungan nelayan yang terletak berhampiran bersatu dengan harmoni menjadi satu. 

Pada hari-hari cerah yang cerah, air terbentang dalam keluasan yang tidak terbatas, awan putih terapung malas merentasi langit biru manakala ombak lembut beralun dan burung camar bebas meluncur di atas air. Damai dan indah. 

Menurut penduduk setempat, jika bulan terang bercahaya, pantulan malap Western Hills dapat dilihat berkelip-kelip di tasik.

Haigeng ialah taman tepi tasik semula jadi di mana anda boleh menikmati keindahan alam semula jadi yang mempesonakan, berenang pada musim panas dan memancing dalam empat musim.

Jika anda berkunjung ke sini sekitar September ke Januari, anda akan melihat tasik di sini dipenuhi dengan burung-burung camar yang berhijrah dari Siberia.

Kalau mahu dapat shot terbaik bersama burung-burung camar, jangan lupa bawa makanan untuk mengumpan burung menghampiri anda. Hati-hati jangan sampai ‘dibom’ dengan najis burung!

Boleh dikunjungi dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang dan tiada caj masuk dikenakan.

 

Mencari makanan halal tidak sukar

Benar, mencari makanan halal bukan satu isu rumit jika bermalam di kota Kunming. Di sini terdapat komuniti Islam yang berniaga makanan, sama ada di restoran mahal, mahupun di warung-warung tepi jalan.

Cara yang paling mudah untuk mencari makanan halal ialah berhampiran masjid. 

Penulis sendiri beberapa kali ke Masjid Ning Ching Zhen Shi (Masjid Yong Ning) yang terletak di tengah-tengah pusat bandar Kunming untuk menikmati beberapa makanan tempatan, termasuklah ‘Crossing Bridge Noodle’ yang merupakan menu popular di wilayah Yunnan.

Restoran dan gerai di perkarangan masjid ini dibuka untuk sarapan pagi hinggalah makan malam. 

Nak tahu bagaimana rupa dan rasa ‘Crossing Bridge Noodle’? Hidangan ini disajikan dengan semangkuk besar sup panas mendidih yang mana bahan-bahannya telah diasingkan.

'Crossing bridge noodle'. Gambar: wildchina.com
'Crossing bridge noodle'. Gambar: wildchina.com


Bahan-bahan sup ini selain daripada mi beras, terdapat juga sayuran, kepingan nipis daging dan ayam dan juga kepingan tauhu. Untuk menikmatinya, kesemua bahan ini perlu dicampurkan sekali.

Rasanya memang enak, lebih-lebih lagi jika dicampur dengan pes yang disediakan! 

Mahu tahu kenapa hidangan ini dipanggil ‘Crossing Bridge Noodle’? Mengikut cerita rakyat, hidangan ini mendapat nama berdasarkan kisah isteri seorang penjawat awam China yang gemar membawa makanan untuk suaminya yang tekun belajar bagi menghadapi peperiksaan kerajaan. 

Setiap kali dia mahu menghantar makanan kepada suaminya itu, si isteri perlu menyeberangi jambatan. 

Jadi apa pendapat anda? Mungkin Kunming boleh dimasukkan ke dalam travel bucket list. Jauh perjalanan luas pemandangan. - Getaran, 13 Mac 2022

Gambar : Rahayu Mat Nah, kecuali tertera

Isu Pada

NFT, Seni Atau ‘Scam’? Bersama Ghazi Maslan

12 Mar 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 minggu yang lalu

Tourism Malaysia Yakin Sasaran 5 Juta Pelancong Dari China Dapat Dicapai

2

Semasa 1 bulan yang lalu

Malaysia Tidak Sebelahi Mana-Mana Negara, Sambut Baik Pelaburan Beri Manfaat - PM

3

Selera 1 bulan yang lalu

Tangkak Beef Noodle House Kini Sah Halal, Buka Cawangan Kedua Di Berjaya Times Square

4

Rencana 1 bulan yang lalu

Durian, Ejen Diplomasi Malaysia - China

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut