Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Kaka Azraff - Selebriti Pun Ada Yang 'GILA'

Menyambut tahun baharu dengan perasaan penuh positif, berbicara tentang perjalanan karier muzik, cabaran menjadi ibu muda di saat pandemik dan 'Gila'. Kenapa, 'Gila'? Baca sorotan kisah eksklusif kami bersama Kaka Azraff!

TARA Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Jan 2021 10:58AM

oleh

Zaidi Che

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Laksana lukisan. Kaka Azraff terawang-awangan. Seolah-olah bergentayangan di udara semasa sesi fotografi untuk isu pertama TARA – Tanda Aras Anda – ini. Dia bak dewi kayangan yang turun dalam persalinan busana perak Khoon Hooi. Tak kalah dalam gemerlapan kristal Swarovski yang memancar-mancar seluruh 101 Style Garage Studio di Setia Alam ini.

Sosok ini terlihat sangat berkarisma. Elegan. Saat dia melirik lensa kamera dengan mata redup yang berkaca, sudah nampak aura yang bakal terpotretkan. Segala lukisan, segala perhiasan yang ada, sepertinya sudah tiada erti. Dia sebati menjadi seni. Yang utamanya adalah dia. Dia dan dia sahaja.

Namun bayangannya sempurna benar. Berdiri di hujung waktu. Dengan dada yang dihiasi permata. Senyum yang menanda kasih sayang. Aromanya harum menitis pada angin. Menembus ruang waktu. Raut wajah yang tenang, menyantuni segala persoalan, yang hadir dalam minda. Menangkapi potretnya bukanlah suatu perkara yang renyah.

“Saya hanya menjadi diri saya” – Kaka Azraff

Cinta akan muzik telah tiba. Telah menjadi kita dan kata. Muzik adalah roh yang menyentuh rohani Kaka. Lahir dalam keluarga seni, Kaka Azraff atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff mengakui dia suka dan mahir memainkan alatan muzik seperti gitar dan gendang. Perlahan-lahan, muzik meresapi dirinya dan membuat Kaka jatuh cinta.

“Bermula dari ibu saudara dan ayah. Ayah seorang pencinta muzik. Dia suka dan mahir memainkan alatan muzik. Dari kecil, saya suka menyanyi,” ujar dia yang senang disapa dengan panggilan Kaka ini. 

“Sejak usia sembilan tahun saya pendam minat terhadap muzik, sehingga usia 17 tahun (selepas SPM), barulah saya berani berkata mahu menjadi seorang penyanyi. Sampai saya sanggup menjadi penyanyi latar, asalkan boleh menyanyi,” tawanya.

“Bagaimana saya menjadi penyanyi? Segalanya bermula apabila saya bertemu dengan Zizan Razak untuk lagu pertama, ‘Bawaku Pergi’. Lagu inilah sebenarnya yang mencetuskan inspirasi dan mengembangkan sayap saya terbang ke bidang nyanyian.”

Tak berhenti ketawa, Kaka bercerita pula tentang pengalaman yang paling tidak pernah dilupakannya, ketika dia memasuki pertandingan menyanyi di sekolah rendah, menyanyikan lagu patriotik, “Bayangkan semua murid lain menyampaikan lagu berbahasa Melayu, saya seorang sahaja yang menyampaikan lagu Bahasa Inggeris.”

“Masih segar di ingatan, saya nyanyikan lagu ibu saudara saya sendiri, Ella Aminuddin yang bertajuk, ‘Standing in the Eyes of the World’. Saya sedar sejak itu ramai rakan-rakan, juga guru-guru menyokong penuh minat nyanyian saya ini,” senyum dia puas.

“Kalau peminat-peminat nak gelarkan Kaka sebagai Ratu Urban pun, okey... why not?” – Kaka Azraff

Oh, alang-alang berbicara tentang Ella, sengaja kami selitkan satu soalan cepumas, siapalah yang tidak mengenali Ratu Rock Malaysia, Ella; yang kebetulan adalah ibu saudara Kaka. Bagaimana Kaka dapat menghindari bayang-bayang yang cukup gah dan besar itu supaya ia tidak melindungi identiti anda sendiri sebagai seorang penyanyi?

Pantas Kaka menjawab, “Saya hanya menjadi diri saya, meskipun itu, kerana pertalian darah, saya tidak boleh lari dari beberapa perkara seperti raut wajah, cara dan suara. Seperti yang dikatakan tadi, saya hanya menjadi diri saya.”

“Memang saya membesar dengan muzik rock tetapi lebih cenderung kepada muzik urban seperti r&b dan hip hop. Namun begitu, saya sedar suara saya tetap berpaksikan rock.”

“Pendengar biasa dengar lagu-lagu saya seperti EDM, hip hop dan pop yang lebih menjurus kepada muzik urban, kalau peminat-peminat nak gelarkan Kaka sebagai Ratu Urban pun, okey, why not?,” tawanya memecah keheningan studio. 

Dalam kesibukan membina kerjayanya sebagai seorang penghibur, Kaka juga seorang isteri dan ibu setelah dianugerahkan seorang anak lelaki yang kini berusia lebih setahun. 

 

CABARAN MENJADI IBU MUDA DI USIA PANDEMIK

“Kehidupan saya setelah bergelar ibu muda mengalami perubahan 180 darjah. Saya menjadi lebih berdisiplin dan teratur. Saya menjadi saya dalam versi yang terbaik.”

“Kerjaya masih menjadi keutamaan, tetapi anak tetap berada di tangga pertama. Sebagai ibu, saya mengutamakan Aslan Adam terlebih dahulu, lebih daripada segalanya. Menjadi ibu yang bergelar selebriti ini adalah satu anugerah. Ia lebih baik berbanding kehidupan saya sebelumnya. Saya suka. Ia menjadikan saya seorang yang lebih cakna.”

“Saya menjadi saya dalam versi yang terbaik” - Kaka Azraff

“Bercakap soal cabaran? Saya rasa tiada. It's a blessing in disguise, actually. Ia satu anugerah buat ibu-ibu kerana kita dapat meluangkan masa lebih dengan anak-anak. Mereka dapat lebih perhatian. Kita dapat melihat mereka membesar di hadapan mata dengan lebih dekat.”

“Makanya, saya merasa tidak banyak cabaran. Mungkin ada, cabaran-cabaran kecil seperti tidak dapat menghantar anak ke sekolah tadika, anak-anak tidak merasa pengalaman berinteraksi dengan kawan. Itu sahaja, saya rasa. Tetapi untuk bayi dalam usia setahun pertamanya seperti Aslan, bagi saya agak mudah.”

“Cumanya, saya cuba sedaya upaya untuk mengelakkan orang lain menyentuh Aslan. Sebelum wabak ini terjadi pun, saya memang seorang yang paranoid. Bayi mudah terjangkiti. Badannya tidak kuat lagi seperti kita. Jadi sebelum Aslan lahir pun, saya amat berjaga-jaga. Kita sebagai ibu bapa harus waspada.”

“Bukanlah saya ‘kedekut’ anak, tidak memberi kamu sentuh anak saya, tetapi bukankah mencegah, lebih baik daripada merawat? Jangan sampai sudah terhantuk baru terngadah. Sesal kemudian tiada gunanya. Boleh untuk melihatnya, tetapi pastikan penjarakan sosial dan selalu menggunakan pensanitasi tangan.”

“Sabar adalah kata kuncinya” – Kaka Azraff

“Nasihat saya untuk semua yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, ‘Sabar’ adalah kata kuncinya. Terutamanya bagi pihak wanita. Kamu harus banyak bersabar, harus selalu kuat. Dalam lima tahun perkahwinan amat penting. Bila berkahwin, barulah kamu kenal ‘perangai’ luar dan dalam pasangan masing-masing. Pendirian harus tetap.”

“Pabila ada masalah yang terjadi di dalam perkahwinan kamu, kamu tahu apa tindakan yang perlu. Selalu mengingatkan diri sendiri. Kamu harus kawal diri kamu. Jaga pemikiran kamu supaya sentiasa positif.”

“Juga untuk ibu-ibu dan keluarga baharu yang dianugerahi cahaya mata pada waktu wabak ini, sebenarnya kamu jangan terlalu khuatir tentangnya. Jangan stres. Pandanglah sudut positif. Ia sebenarnya rahmat buat kamu, anak-anak dan keluarga. Inilah masanya untuk kamu meluangkan masa bersama mereka.”

“Ya, benar. Kita risau. Tapi risau sahaja boleh bawa kamu ke mana? Bohonglah jika saya bilang saya tidak risau. Jadi, apa yang boleh kita buat, yang boleh kita lakukan, berdoalah. Berdoalah kepada yang Maha Esa supaya dijauhkan seisi keluarga daripada ancaman wabak-wabak yang mencelakakan ini semua.”

Di samping menjaga keperluan suami dan anaknya, Kaka juga sedang sibuk mempromosikan lagu terbaharunya yang berjudul ‘Gila’.

‘GILA’ UNTUK ANUGERAH JUARA LAGU 35

"Nandung-nandung lagu kampung,

Angin sayu awan mendung.

Tenang-tenang oh termenung,

Namun jiwanya terkurung.

Gila, gila, gila, gila, gila..."

Itu dia bait lirik dalam lagu 'Gila' dendangan Kaka Azraff bersama Loca B dan Noki. Pertama kali mendengar lagu ini, hati menjadi tak pasti. Tenang namun membelah jiwa. Menghantui sanubari. Ia syahdu dalam masa sama membunuh. Sepertinya lagu ini merasuki rohani untuk kekal tenang pada saat wabak yang ‘menggila’ ini. 

Bertambah senang hati melihat lagu 'Gila' ini berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35). Masakan tidak, melodi dan liriknya sangat membekas. Mungkin akan terjadi satu kontroversi jika lagu ciptaan dan susunan Ezra Kong ini tidak berjaya mara ke peringkat akhir AJL35. Malahan, Kaka juga turut terkejut, tetapi dalam konteks positif.

“Saya tak sangka dan sangat terkejut. 'Gila' mara ke peringkat akhir AJL30. Saya sangat bersyukur. Ini semua berkat rezeki anak. Rezeki Loca dan Noki,” ucapnya teruja. 

Bila ditanya kenapa dia memilih dua penyanyi muda itu, Kaka seraya menjawab, “Saya suka penampilan dan gaya Loca B dan Noki. Cara rap mereka sangat berkesan. Ada rentak tersendiri. Bagi saya, mereka berdua unik. Muzik mereka segar. Itulah antara alasan kenapa saya memilih untuk berduet dengan Loca B dan Noki,” katanya. 

Why 'Gila'? Kenapa 'Gila'?”, tanya kami lagi. 

Dalam senyuman dia berkata, 'Gila' tercipta awal bulan tiga semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Memang lagu ini berkisarkan tentang permasalah mental. Kita semua terpaksa duduk di rumah, bukan?” 

“Dengan pelbagai masalah dan halangan yang terjadi pada saat pandemik. Negara sana macam itu, negara kita macam ini. Huru-hara. Ramai yang kehilangan kerja dan tidak lupa juga mereka yang terputus pendapatan secara tiba-tiba.”

“Semua orang bersusah-payah. Jual apa yang boleh jual. Menjual secara atas talian dan sebagainya untuk teruskan kehidupan. Kita semua dihentam dengan rasa keresahan yang tak henti-henti. Sampai bila kita mampu bertahan?”

“Apa yang ada di dalam minda kita, kadang-kadang menjadi punca dan faktor yang melawan untuk kita maju ke hadapan. Jadi 'Gila' berkaitan dengan situasi kita sekarang,” jelasnya tak berhenti kalimah.

Tambah Kaka, “Muzik video 'Gila' pula berkisahkan tentang tiga elemen dunia. Tanah, api dan langit. Sepertinya kita berada di dimensi yang lain. Ia interpretasi kita berada di dalam minda. Kita seperti menyelam di dalam minda kita sendiri. Dalam banyak kecelaruan, tidak tahu apa yang bakal terjadi. Minda kita bercapuk antara positif dan negatif.”

“Gila adalah apa yang ada di dalam minda kita” – Kaka Azraff

“Malah, orang yang mempunyai permasalahan mental juga berasa mereka tidak berpijak di bumi nyata, tetapi berada di dimensi yang lain,” ujarnya. 

Alang-alang sudah berbicara tentang permasalahan mental, kami cuba memancing tentang apa pandangan Kaka tentang isu ini. Isu permasalahan mental ini bukanlah suatu isu yang baharu, tetapi ia tetap menjadi salah satu isu yang tidak ramai orang tahu. Kami ingin tahu, pernahkah Kaka berhadapan dengan permasalahan mental ini di dunia yang nyata? 

Jawab Kaka, “Alhamdullilah, saya tiada. Yang ada pun mungkin masalah ketidakyakinan. Dan saya rasa semua orang pun ada masalah ini. Namun suami, Adam Azriff memang menghidapi keresahan (anxiety), kemurungan (depression) dan ADHD.”

“Sebelum berkahwin dengan Adam, memang saya tiada pengetahuan langsung tentang permasalahan ini. Mereka tidak memperlihatkannya, malah lebih suka memendam rasa.”

“... Keresahan, kemurungan & ADHD” – Kaka Azraff

“Sehinggalah saya berkahwin dengan Adam, barulah saya nampak dengan jelas. Adam sukar tidur. Adakalanya, dia menangis secara tiba-tiba. Saya faham kerana mereka ‘berlawan’ dengan minda mereka. Mereka ‘berlawan’ dengan diri mereka sendiri. Ia satu isu yang berat yang sering dipandang sepi oleh masyarakat.”

“Mereka merasa kehilangan dan tiada tempat untuk mereka mengurangkan beban. Mereka sendiri tidak tahu bagaimana caranya untuk meluahkan perasaan yang kian lama terpendam. Kerana mereka rasa, orang sekeliling tidak akan faham. Tidak akan mengerti kerana semua yang terjadi, terjadi di dalam minda mereka sendiri.”

“Jadi, bila saya berkahwin dengannya, barulah saya faham dan mengerti. Saya memang semula jadinya mempunyai sifat yang mengambil berat tentang perasaan seseorang. Lagi pula, yang memerlukan sokongan emosi itu adalah suami saya sendiri. Sudah tentu saya akan membantunya. Maka, saya banyak belajar tentang semua ini melalui suami, Adam,” luah Kaka seikhlas hati.”

“Sampai bila kita mampu bertahan?” – Kaka Azraff

Kagum kami mendengar bicara hati dan luahan jujur Kaka. Sebagai artis, tiada salahnya untuk Kaka membuka mulut tentang isu yang sering dianggap taboo oleh masyarakat ini. 

“Bagi saya, jika kamu menghidapi permasalahan mental ini. Perkara pertama yang harus kamu lakukan adalah jaga makan dan tidur kamu. Itu paling penting. Makanan dan tidur yang secukupnya mempengaruhi mood dan perasaan kamu sepanjang hari.”

“Kedua, jangan berfikir dengan negatif. Kamu harus yakin dengan diri sendiri. Saring apa yang keluar dan apa yang masuk ke dalam minda kamu. Apa yang orang cakap, apa pendapat negatif mereka terhadapmu. Nyahkan!  Kita kena redah untuk hidup!”

“Ketiga, kamu perlu sokongan hubungan. Jaga hubungan dengan keluarga. Hubungan dengan suami atau isteri. Kamu jaga dia, nescaya dia juga akan menjaga kamu semula. Rancang kehidupan, rancang pemakanan dan elakkan aktiviti tidak sihat,” bingkasnya. 

Pun begitu, isu permasalahan mental di Malaysia masih tidak diambil berat. Seakan-akan tidak dipedulikan. Kurangnya pendedahan terhadap masyarakat membuatnya bertambah parah. Kami harap dengan temubual bersama Kaka ini, dapatlah kita bersama-sama mempelajari sedikit sebanyak tentang permasalahan mental. Ada halangan yang harus dihadapi. Ada perjuangan yang harus dimenangi. Itulah kehidupan.

“Selebriti juga manusia” – Kaka Azraff

Sebelum kami menamatkan sesi bicara, Kaka menambah, “Inilah sebabnya, 'Gila' terhasil. Saya rasa kerana lagu ini jugalah minda masyarakat semakin terbuka untuk bercakap tentang perkara ini. Sebagai artis, saya sampaikan dalam bentuk lagu.”

“Dengan lagu, saya harapkan orang ramai boleh faham dan boleh kaitkan dengan diri. Jujurnya, ini cara yang terpantas untuk sampai ke golongan muda. Generasi mereka sudah tidak mahu lagi mendengar ceramah, bual bicara atau apa sahaja forum yang panjang berjela-jela. Dengan lagu, saya harap mereka dapat menerima mesej yang ingin dibawa. Gila atau permasalahan mental bukan lagi satu stigma negatif dalam kalangan masyarakat.” 

“Selain lagu, saya  juga melihat ramai selebriti yang mula bercakap secara terbuka tentang isu permasalahan mental ini. Selebriti pun ada yang ‘gila’. Di media sosial, mereka mengakui dan bercerita tentang pengalaman masing-masing. Ada yang menghidapi serangan panik, keresahan, bipolar, autism dan sebagainya. Kalau tidak mereka, orang-orang yang terdekat dengan mereka.”

“Bagi saya, ia satu trend yang bagus. Ingat, selebriti juga manusia. Kadang-kadang, orang yang duduk di sebelah kita menghidapi permasalahan mental ini tanpa kita sedari. Jadi penting untuk kita untuk sentiasa berbuat baik sesama manusia, kerana kita tidak tahu apa pancaroba yang dilalui batin mereka,” pungkasnya. - Getaran, 29 Januari 2021  

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA - GETARAN

Wajah TARA : Kaka Azraff

Editor GETARAN.MY : M.Zulkifli Abdul Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks : Zaidi Che

Penyunting : Ili Farhana

Penata Gaya : Ardi Idewani

Busana : Khoon Hooi

Aksesori : Swarovski

Solekan: Emmy Agung

Penutup Muka khas : Emmy Agung

Dandanan: Yuyu

Jurugambar : Azim Rahman

Suntingan dan Video : Nur Muharram 'Bob' Kasim

Lokasi : 1o1 style garage, Setia Alam

Terima kasih Warner Music Malaysia

Isu Pada

Kaka Azraff

29 Jan 2021

Berita Berkaitan

1

Seni & Hiburan 1 minggu yang lalu

"Saya Dah Jumpa Pilihan Yang Paling Tepat, Ibu Saya Sayang Dan Anggap Dia Seperti Anak" - Zul Ariffin

2

Selebriti 1 minggu yang lalu

Datuk Red Sedang Usaha Untuk Langsaikan Hutang Sebanyak RM7 Juta, Akui Pernah Jadi ‘Scammer’

3

Selebriti 1 minggu yang lalu

Muatnaik Foto Raya Bersama, Netizen 'Approved' Syed Saddiq Dan Bella Astillah

4

Muzik 2 minggu yang lalu

'Cinta Tak Mungkin' Hadiah Raya Siti Nurhaliza

Sorotan

1

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

2

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

3

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

4

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

5

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

6

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

7

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu