Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Adli Hafidz Bawa Tinju Ke Gelanggang Dunia

Ada apa di balik dunia sukan tinju? Peninju negara Adli Hafidz berkongsi dengan TARA tentang segala yang mungkin anda ingin tahu berkenaan dirinya dan sukan tersebut.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 04 Dec 2021 9:19AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Tanpa kami sedari, masa begitu pantas berlalu. Sisipan hujung minggu TARA kini sudah tiba di keluaran yang ke-45! Dan buat yang tidak tahu, kami menandakan setiap 15 keluaran dengan sampul digital berwarna hitam dan putih.

Gambar hitam putih kami bermula dengan potret wajah TARA yang pertama iaitu Kaka Azraff dengan pelitup muka berwarna emasnya rekaan jurusolek terkenal Allahyarham Emmy Agung. 

Ini diikuti dengan keluaran yang ke-15 menampilkan Faizal Tahir bersama kuda hitamnya Merida dan isu yang ke-30 memaparkan si jelita Che Puan Juliana Evans dengan jenama barang kemasnya sendiri.

Kini untuk keluaran yang ke-45, kami persembahkan seorang lagi wajah TARA yang kami abadikan dalam rona hitam dan putih. Namun bintang kali ini bukanlah seorang seniman tetapi seorang ahli sukan. 

Sepanjang kami beroperasi sekitar 10 bulan, kami hanya sempat mengabadikan tiga orang atlet sebagai wajah TARA iaitu pemain sepak takraw Syahir Rosdi, serta pelumba kereta antarabangsa Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas. 

Hari ini kami perkenalkan kepada anda Adli Hafidz Mohd Pauzi. Salah seorang peninju profesional yang pernah mewakili dan membanggakan Malaysia di beberapa gelanggang antarabangsa seperti Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA), kejohanan Universal Boxing Organisation (UBO) Intercontinental dan juga Asian Boxing Council.

Kami memilih Adli kerana sukan yang diceburinya bukanlah sukan yang kerap diberi perhatian oleh penduduk Malaysia. Lantas, kami yakin banyak yang boleh dia kongsikan dengan para pembaca.

Petang itu untuk sesi fotografi ini, Adli datang ditemani dua orang pengurusnya iaitu pengurus peribadinya yang kebetulan bernama Hafidz juga, serta pengurus komersialnya Kubrina yang membantu menyelaraskan pertemuan kami. 

Sebelum ini saya pernah terlihat wajah Adli di laman media sosialnya sahaja. Tidak secara langsung. Jadi saya agak terkejut kerana ternyata, orangnya tinggi lampai. Segak sudah pasti. Berbadan sasa selayaknya seorang atlet tinju dan murah dengan senyuman.

Beraksi di depan kamera dalam persalinan jenama tempatan baharu OutDwell rekaan Oscar Lee, Adli sama sekali tidak kelihatan kekok menyambut setiap kerlipan cahaya yang muncul dari kamera jurugambar kami Azim Rahman.

Seperti di gelanggang meninju, Adli memberikan gerakan terbaik. Ternyata setiap ‘serangannya’ di depan layar menjadi dan kami semua sangat berpuas hati dengan hasilnya.

Selesai sesi penggambaran saya tidak membuang masa dan terus membuka wawancara bertanya bagaimana dia terjebak ke dalam dunia sukan tinju.

“Sebenarnya saya memang aktif bersukan sejak di bangku sekolah lagi. Saya sudah mewakili sekolah dalam sukan bola sepak dan juga menyertai acara lain seperti olahraga serta lompat tinggi. Namun saya mula tertarik dengan sukan tinju semasa melihat kelab tinju di sekolah sewaktu berumur 16 tahun. 

“Saya sangat tertarik melihat latihan yang dilakukan oleh para peninju. Lantas saya pun menyertai kelab itu dan mencuba. Saya teruskan di luar sekolah juga dengan menyertai kelab tinju swasta di luar. Jurulatih saya pada waktu itu memberitahu bahawa saya ada pakej untuk menjadi peninju. 

“Dia menyuruh saya ambil bahagian dan sertai perlawanan bagi kategori berat badan saya, iaitu 75 kg. Pada mulanya saya takut kerana tidak pernah mencuba, namun semasa perlawanan itu, saya berjaya mengalahkan lawan.

“Saya tidak sangka yang saya telah menumbuk lawan saya sehingga dia berdarah. Sehingga pengadil menyuruh saya berhenti. Itu membuat saya sedar bahawa saya ada semangat dan sukakan kemenangan itu,” jelas Adli bermukadimah.

Sejak itu, dia tekad untuk serius dalam sukan tinju kerana menyedari bahawa sukan lain yang diceburinya mungkin tidak akan dapat membawa dia terlalu jauh. Namun Adli percaya bahawa sukan tinju adalah sesuatu yang berbeza dan ia boleh membuka peluang-peluang baharu.

“Saya benar-benar serius selepas itu dan mengambil inisiatif sendiri untuk berlatih. Jurulatih tidak dapat fokus kepada seorang peninju sahaja kerana ada ramai peninju lain. Jadi, selepas latihan bersama coach, saya ke gimnasium sendiri untuk bersenam.

“Sukan ini mengajar saya tentang disiplin. Untuk mempertahankan kejuaraan dalam kategori berat badan saya, saya perlu terus berlatih dan mengikut waktu makan, tidur dan bersenam yang konsisten. Ia sukan individu. Hanya diri sendiri yang mampu membentuk kejayaan dalam dunia tinju.

“Saya bangun seawal jam 4.30 atau 5.00 pagi untuk berlatih sendiri. Ternyata ia membuahkan hasil. Sukan tinju mengubah perwatakan dan keperibadian saya. Jika waktu kecil dahulu saya pernah dibuli saya kini menjadi orang yang dihormati. 

“Saya tunjukkan kepada guru-guru dan rakan-rakan saya bahawa saya mampu berjaya. Membawa pulang pingat di acara Sukan Malaysia dan Sukan SEA. 

“Lebih membanggakan buat diri saya adalah saya dapat menyara diri sendiri tanpa menyusahkan ibu bapa saya semasa menjadi wakil negeri dan negara berkat elaun yang saya terima. 

“Malah ‘jenama’ saya sebagai peninju bermula dari zaman sekolah. Nama saya sejak itu pasti dikaitkan dengan sukan tinju. Dan saya ingin itu berterusan,” tambahnya lagi.

Sungguhpun sukan tinju kini menjadi fokus utamanya, ia kurang mendapat liputan seranta di Malaysia. Jadi saya bertanya mengapa sedemikian?

“Kita sebenarnya sudah ada peninju profesional sejak tahun 1930-an lagi. Biasanya dalam kalangan polis dan tentera. Malah datuk saya dahulu seorang peninju juga sewaktu berkhidmat sebagai tentera.

“Tapi sayang kerana ia jarang diberi pendedahan gara-gara kurangnya penganjuran. Berbanding sukan lain, sukan tinju memerlukan sokongan banyak pihak. Penaja dan penganjur harus sama-sama memainkan peranan. 

“Pihak tertentu seharusnya melihat potensi sukan ini. Di negara lain di Asia Tenggara seperti Filipina, Vietnam dan Thailand, sukan ini menjadi tarikan pelancong. Setiap kali dianjurkan, penonton sanggup datang dan membayar untuk menonton perlawanan,” ujar Adli penuh semangat.

Adli sangat berharap sukan ini akan diberikan lebih banyak pendedahan media supaya dapat menimbulkan minat serta kesedaran dalam kalangan pihak awam.

Kini ayah muda yang sudahpun mempunyai seorang cahaya mata itu tidak menafikan bahawa sudah ada banyak perubahan dalam pendedahan media sukan tinju. 

Malah Adli yang kini berusia 32 tahun itu sudah mempunyai seorang promoter yang membantu dengan penganjuran acara rasmi berlesen di bawah persatuan tinju dunia.

“Biarpun penganjuran tidak mudah dan memerlukan banyak kelulusan namun saya yakin dengan usaha dan Kerjasama ia boleh dilakukan.

“Januari nanti akan ada pertandingan bertaraf dunia anjuran persatuan tinju di Malaysia dan saya akan menjadi peninju pertama di Malaysia yang bersaing untuk gelaran juara dunia di negara sendiri.

“Saya mahu orang tahu ada juara dunia di Malaysia. Saya mahu senario tinju Malaysia menjadi seperti di Amerika dan Eropah dengan jumlah ribuan penonton yang mampu memberi pendapatan lumayan dalam satu perlawanan.

“Kadang-kadang saya perlu meminta bantuan sekecil dua atau tiga ratus ringgit dari pelbagai pihak untuk bertanding di luar negara dan mendapat penaja. Saya mahu ubah semua itu. Saya harapkan sokongan yang lebih jitu dari semua pihak.

“Saya juga mahu pengorbanan saya menghabiskan wang sendiri untuk ke luar negara bertanding sambil meninggalkan isteri dan anak untuk berminggu-minggu menjadi sesuatu yang benar-benar berbaloi.

“Alhamdulillah, saya sudah buktikan. Saya sudah menjuarai tiga kejuaraan Asia dan saya bercita-cita menjadi juara dunia,” katanya penuh semangat.

Kini, Adli baru sahaja memulakan akademi pertinjuannya sendiri di Johor Bahru. Dia ingin membantu mereka yang kurang bernasib baik namun mempunyai minat yang sama.

“Dahulu saya kurang bernasib baik namun berkat sokongan dan bantuan saya mampu sampai ke tahap ini. Jadi sekarang saya mahu bantu orang lain pula untuk penuhi impian mereka seperti saya melalui akademi ini.

“Sambutannya menggalakkan. Sudah ada yang berminat dan menyertai walaupun akademi saya baru dua bulan sahaja dibangunkan. 

“Saya harap orang lain dapat lihat bahawa sukan tinju ini mendatangkan pulangan yang lumayan. Saya sudah membuktikannya dan semoga orang lain dapat menyedari hakikat itu juga,” katanya lagi.

Bakal bertarung pada 29 Januari 2022 nanti, Adli menyatakan acara tinju yang dianjurkan nanti juga akan menyaksikan kelainan.

“Selain menjadi acara dunia dengan peninju antarabangsa, kami bakal menjemput rakan artis yang berminat untuk mengadakan pertunjukan sebelum saya bertarung dengan lawan.

“Ini sebagai satu kelainan untuk menarik minat penonton Malaysia menyaksikan sukan tinju,” bingkasnya menutup bicara.

Semoga usaha Adli akan terus membuahkan hasil dan sukan kesayangannya ini akan mendapat pendedahan sewajar yang dia impikan! - Getaran, 4 Disember 2021

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Adli Hafidz

Pengarang Urusan: M. Zulkifli Abd Jalil 

Penyelaras & Teks: Shah Shamshiri 

Suntingan Teks: Ili Farhana

Penata Gaya dan Arahan Seni : Shah Shamshiri

Solekan & Dandanan: Syamiel Idid

Busana: OutDwell oleh Oscar Lee

Jurugambar: Azim Rahman

Juruvideo : Syeda Imran 

Penyunting Video: Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi: Pejabat Petra News, Bangsar Kuala Lumpur

(Terima Kasih Puan Kubrina Dass dari Dass Sports atas kerjasama)

Isu Pada

Adli Hafidz Bawa Tinju Ke Gelanggang Dunia

04 Dec 2021

Berita Berkaitan

1

Muzik 1 minggu yang lalu

Fenomena ‘Swiftonomic’ Bantu Promosi Johor

2

Video & Galeri 2 minggu yang lalu

Sambut Raya Gaya Kampung Sungai Tiram

3

Semasa 2 bulan yang lalu

Pemuda Benar Kereta Dipandu Budak Bawah Umur Boleh Didenda RM50,000

4

Semasa 2 bulan yang lalu

3 Premis Kerajaan Di JB Terima E-mel Ancaman Bom - Polis

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi