Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


5 Rancangan Menarik Mesti Tonton Minggu Ini

Buntu mahu tonton apa minggu ini? Kami di Getaran ada cadangan. Setiap minggu, kami akan kongsikan lima tajuk yang boleh anda tonton lewat platform-platform penstriman yang ada di negara kita. Semoga terhibur!

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 10 Oct 2021 6:31PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

'The Good Doctor' (Netflix)

Sebuah drama televisyen perubatan dari Amerika Syarikat yang diadaptasi dari drama televisyen Korea Selatan dengan tajuk yang sama.

Drama ini berkisahkan tentang Shaun Murphy (Freddie Highmore), seorang ahli bedah pelatih autisme dengan keupayaan istimewa.

Membesar di bandar terpencil di Wyoming, Shaun menjalani zaman kecil yang sukar kerana sindrom autisme ini yang masih belum diketahui secara meluas dalam kalangan masyarakat.

Shaun kemudiannya diambil sebagai anak angkat oleh Dr Aaron Glassman (Richard Schiff) sehinggalah dia membesar menjadi seorang pakar bedah yang berjaya Hospital St. Bonaventure.

'The Good Doctor' bercerita secara mendalam tentang cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi oleh individu autisme dalam menempuhi alam pekerjaan, percintaan dan kehidupan. - Zaidi Che

 

'Mana Lagi Sedap' (YouTube)

Pasti ramai sebenarnya yang tidak tahu bahawa penyampai radio Suria FM Fizi Ali, seorang yang pakar memasak. Dan dia sebenarnya sudah mengacara banyak rancangan berkonsep masakan.

‘Mana Lagi Sedap’ merupakan salah satu daripada program yang dimaksudkan. Rancangan itu memberi peluang kepada Fizi untuk cuba menghasilkan menu-menu popular daripada pelbagai restoran pilihan dengan versi Fizi sendiri.

Di penghujung rancangan, pemilik restoran akan memberi penilaian dan jumlah bintang terhadap resipi yang telah Fizi hasilkan.

Kami yakin anda akan terhibur dan ingin mencuba setiap hidangan yang dibikin dalam setiap rancangan. Program ini boleh ditonton di saluran Hyppsensasi di HyppTV dan juga si saluran YouTube Inspirasi Hypp TV - Shah Shamshiri 

 

'Darli and the Cocky Prince' (Viu)

Sekiranya anda pencinta drama komedi romantik, 'Darli and the Cocky Prince' mungkin pilihan sesuai. Mempertaruhkan Kim Min Jae dan Park Gyu Young sebagai teraju utama, mereka tampil serasi dalam drama terbaharu dari Korea Selatan ini.

Kim Min Jae tampil sebagai Jin Moo Hak, anak kedua keluarga kaya raya yang mengusahakan rangkaian restoran ternama Dondon F&B. Meski tidak berpelajaran dan angkuh, dia bijak menguruskan perniagaan kerana obses dengan duit serta pandai memasak.

Manakala Kim Da Li (Park Gyu Young) pula gadis yang bijak malah mahir mengenai dunia seni dan mampu bertutur dalam tujuh bahasa dengan fasih. Meski membesar dalam keluarga berprestij dia sentiasa merendah diri dan selesa berdikari.

Memaparkan personaliti jauh berbeza, drama ini akan membuatkan anda ternanti-nanti perkembangan dua watak utama ini yang bertemu tanpa sengaja di lapangan terbang.

Insiden kematian bapa Da Li mengubah hidupnya apabila jatuh miskin dan terkejut apabila mendapati galeri seni kebangaan keluarganya berhutang dengan keluarga Moo Hak.

Ikuti konflik yang dilalui si pemiutang dan penghutang ini di Viu. Selamat berhibur!

 

Perempuan Dari Masa Lalu (YouTube) 

Hanya kerana sebuah lagu, adakalanya kita mampu terperangkap dengan kisah dan hubungan lalu yang tiba-tiba menghantui diri dan segala yang berlaku di sekeliling ketika itu bagaikan sebuah deja vu.

Filem pendek Perempuan Dari Masa Lalu arahan Helmie Yusoh berjaya menggambarkan segala emosi ini dengan naratif cerita yang bergerak selari dan senada dengan bait-bait puisi Wafa Awla yang dilontarkan penuh rasa syahdu dan romantis.

Diangkat dari salah sebuah puisi dalam buku puisi Wafa Awla dengan tajuk yang sama, filem pendek terbitan Think Media My ini turut menampilkan Hisham Doden dan Wafa Awla sebagai teraju utama.

Menonton filem pendek ini membuatkan kita teringat kembali dengan sebuah babak dalam filem Indonesia, Ada Apa Dengan Cinta iaitu kala Dian Sastrowardoyo melontarkan bait-bait puisi cinta kepada Nicholas Saputra. 

Semoga banyak lagi karya sebegini akan terhasil! - Ellyna Ali

 

'Maid' – Netflix

Drama mini 10 episod ini merupakan terbitan Warner Bros Television Production dan ia diinspirasikan dari memoir terlaris New York Times, ‘Maid: Hard Work, Low Pay, and a Mother's Will to Survive’, tulisan Stephanie Land.

Diterajui oleh Margaret Qualley sebagai Alex, drama ini mempamerkan tentang perjuangan seorang ibu muda yang melarikan diri daripada seorang lelaki yang pernah dicintai, Sean (Nick Robinson).

Mengapa dia melarikan diri?  Kerana dirinya tidak lagi mampu menerima penderaan daripada lelaki yang ketagihan arak serta panas baran. Benar, Sean tidak pernah ‘naik tangan’, namun emosi dan fikiran Alex yang tersiksa.

Sebaik melangkah pergi, Alex bergelut dengan pelbagai isu. Dia tiada keluarga yang boleh diharapkan, tiada wang, tidak tempat tinggal, malah dia juga tidak mempunyai pekerjaaan.

Dalam sekelip mata hidupnya menjadi kucar-kacir. Demi survival, Alex bekerja sebagai pengemas rumah. 

Plot drama ini selain mengheret perasaan simpati terhadap Alex dan anak perempuannya Maddy, dalam masa yang sama hati berasa geram dan marah dengan Alex.

Sebabnya, Alex suka bertindak mengikut perasaan, tidak matang dan enggan menerima bantuan orang. 

Dia cuba menjadi wanita kuat, kononnya boleh melakukan segalanya dengan sendiri, tetapi dia lupa hidup ini memerlukan sokongan orang di sekeliling.

Dia lupa setiap individu punya kemampuan yang berbeza-beza dan tidak salah sebenarnya meminta bantuan.

Bagaimanapun, Alex juga layak dijadikan contoh kerana dia berani mengambil keputusan biarpun hidupnya tidak sempurna.

Dia nekad demi membina sebuah kehidupan yang lebih baik. Drama yang ini sarat dengan mesej tentang kasih sayang dan kekeluargaan. 

Untuk berubah, setiap individu harus berani mengambil langkah pertama. Jangan takut atau teragak-agak.

Selain itu, belajar untuk bersyukur dan jangan suka membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Bukan semua yang terlihat itu indah. - Rahayu MN - Getaran, 10 Oktober 2021

Isu Pada

Ummi Nazeera: Tak Pernah Berhenti

09 Oct 2021

Sorotan

1

Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Joseph Kurup

2

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

3

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

4

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

5

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

6

Misi Hantar Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza Dengan Kapal Tetap Diteruskan - Ann Wright