Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Inovasi Karya Piet Mondrian

Nama Mondrian cukup tersohor dalam dunia seni. Salah satu karyanya,'Composition with Large Red Plane, Yellow, Black, Gray, and Blue' telah menjadi inspirasi kepada ramai pereka. Mari kenali senimannya.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 Sep 2021 9:37AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Piet Mondrian adalah seorang pelukis termasyhur kelahiran Belanda. Beliau lahir pada tanggal 7 Mac 1872 di Amersfoort. Mondrian juga merupakan salah seorang pengasas gerakan seni lukis moden Belanda yang dikenali sebagai De Stijl yang bermaksud ‘The Style’.

Mondrian diperkenalkan kepada dunia seni pada usia yang sangat muda. Bapanya adalah seorang guru lukisan yang bertauliah dan bapa saudaranya juga seorang pelukis. Pada usia semuda itu, Mondrian sering menghabiskan masanya melukis di sepanjang sungai Gein. 

Seterusnya beliau mengasah bakatnya dengan memasuki  Rijksakademie van Beeldende Kunsten atau Akademi Diraja Seni Visual di Amsterdam. 

Sumbangan Mondrian dalam perkembangan seni lukis dunia adalah amat besar. Beliau mempermudahkan elemen lukisan dengan mengurangkan bentuk kepada garisan dan segi empat tepat. 

Susunan komposisi visual juga disederhanakan menjadi ruang dan garisan pada kedudukan horizontal dan vertikal. Warna pilihannya pula adalah  warna primer seperti merah, biru, dan kuning di samping warna hitam dan putih. 

Menyorot karya yang berjudul ‘The Gray Tree’ (1912), ia merupakan contoh peralihan awal Mondrian daripada lukisan landskap ke arah abstrak. 

Pokok yang mempunyai sifat tiga dimensi telah dikurangkan kepada garisan-garisan yang terdiri daripada pelbagai ketebalan. Satah dan ruang mengambil alih bentuk rimbunan daun dan karya ini menggunakan warna yang terhad iaitu kelabu dan hitam. 

Lukisan ini adalah satu dalam siri kerja-kerja awal Mondrian di mana pokok yang pada asalnya dilukis semula jadi kemudiannya bertukar perlahan-lahan menjadi semakin abstrak.

Seterusnya, garisan pokok itu dikurangkan sehingga bentuk pokok itu hampir tidak dapat dibezakan dan menjadi komposisi bagi garisan menegak dan melintang. 

Sungguhpun demikian, citra pokok tersebut secara semula jadi masih ada tetapi telah diolah dalam bentuk yang berorganisasi dan berstruktur.

Ini adalah satu langkah yang sangat hebat dalam pembentukan ke arah gaya yang kemudiannya disebut sebagai gaya Mondrian. 

Karya yang berjudul ‘Pier and Ocean (Composition No. 10)’ (1915) menandakan satu lagi langkah muktamad dalam laluan Mondrian ke arah abstrak yang tulen.

Di sini beliau telah menghapuskan sifat yang berbentuk pepenjuru dan garisan melengkung serta warna.

Apa yang tinggal adalah garisan mendatar yang menggambarkan ufuk dan garisan menegak yang merujuk kepada cerucuk dermaga. Irama dicipta oleh garisan yang berselang-seli serta panjang dan berbeza-beza menjadikan komposisinya lebih dinamik serta matang. 

Ia adalah gambaran keseimbangan simetri yang berpaksikan kepada olahan gelora ombak laut. Menurut Theo van Doesburg, "Secara rohani, karya ini lebih penting daripada yang lain. Ia menyampaikan gambaran kesejahteraan dan kesunyian jiwa."

‘Composition with Color Planes’ (1917) adalah karya yang dihasilkan ketika Perang Dunia Pertama. Ketika inilah Mondrian mula meneroka ke arah lukisan abstrak yang lebih matang dan berpandangan jauh. 

Mondrian telah beralih kepada warna yang berbaur kusam dan pudar seperti merah, kuning dan kelabu. 

Satah dan kiub menjadi tumpuan utama dalam komposisi. Blok-blok yang berwarna kusam ini terapung-apung di permukaan latar kanvas yang berwarna putih dan tidak lagi dirujuk sebagai bersifat fizikal semula jadi seperti pokok dan bangunan.

Kesemua bentuk ilusi tersebut telah hilang dan dibebaskan. Apa yang tinggal adalah komposisi warna yang seimbang di seluruh permukaan karya.

Pada 1920, Mondrian mula mencipta lukisan abstrak yang meletakkan namanya ke persada lebih tinggi, sebaris dengan pelukis yang termasyhur sebelumnya.

Lukisan berjudul ‘Composition with Large Red Plane, Yellow, Black, Gray, and Blue’ dihasilkan pada tahun 1921. Karya ini terhad kepada tiga warna utama iaitu merah, biru, kuning di samping warna hitam dan putih. 

Komposisi karya ditandai oleh pelbagai bentuk segi empat dengan dibarisi garisan tebal pada posisi melintang dan menegak.  

Elemen yang telah dipermudahkan ini adalah sangat penting dalam perkembangan seni lukis dunia kerana ia adalah rekaan terbaharu dan tidak pernah dihasilkan oleh sesiapa pun sebelum ini.

Ia adalah seni abstrak yang berbeza daripada aliran Cubism dan Futurism. 

Ragam blok warna dan garisan menghasilkan ruang yang beritma dan seolah-olah bergema seluruh permukaan kanvas sesuai dengan kehidupan yang sudah moden.

Komposisi karya tetap sama iaitu simetri dengan blok lebih besar yang diwarnai dengan warna merah. Warna kuning pula berada pada blok yang lebih kecil. Pengagihan blok dan warna-warna yang lain seterusnya digubah bagi mengimbangi  komposisi keseluruhan karya.

Gaya atau hasil ciptaan baharu ini kemudiannya menjadi ikutan ramai artis dan pereka dalam semua aspek budaya di seluruh dunia pada tahun-tahun berikutnya. Karya ini menjadi inspirasi buat pereka fesyen, pereka perabot, arkitek dan artis grafik.

Seterusnya, Mondrian mula menyuntik nada yang lebih dinamik dalam karya abstraknya. ‘Tableau I: Lozenge with Four Lines and Gray’ (1926) adalah jawapan kepada pencarian tersebut. 

‘Lozenge’  adalah lukisan yang dihasilkan sebagai usaha untuk mewujudkan ketegangan yang lebih jitu pada satah gambar. 

'Lozenge' dinamakan sedemikian kerana berinspirasikan bentuk berlian yang terhasil daripada orientasi kedudukan tidak konvensional persegi kanvasnya. Ini menjadikan kedudukan penjuru berada di sudut empat puluh lima darjah dan kelihatan seperti sebutir berlian.

Inovasi ini memperkenalkan garisan condong tepi kanvas ke garisan grid vertikal dan horizontal. Dalam komposisi ini, garisan kelihatan seperti melepasi sudut kanvas umpama ianya seolah-olah telah bersilang  dengan garisan yang lain. 

Karya ini hanya bergantung kepada empat baris garisan yang mempunyai ketebalan berbeza-beza. Dengan mengubah orientasi kedudukan kanvas, Mondrian berjaya memberi gambaran penting bagi bentuk-bentuk kanvas bagi aliran minimalis pada era 60-an. 

Selain itu dengan ketiadaan warna dalam lukisan ini, Mondrian dianggap sebagai artis pra-awal buat aliran minimalis yang begitu gemarkan warna hitam, putih dan berona pudar. 

‘Broadway Boogie-Woogie’ (1942-1943) adalah karya kemuncak bagi Mondrian dalam penerokaan dunia seninya yang panjang. 

Karya ini memperluaskan tata bahasa visual seperti garisan, segi serta warna asas di mana ia telah digantikan dengan garisan-garisan warna berselang-seli dengan blok-blok warna. 

Karya-karya abstraknya pada waktu ini menunjukkan pembaharuan, bertenaga, cergas  dan diilhamkan secara langsung dengan gaya hidup warga kota New York serta kemeriahan muzik irama jazz. 

Pengagihan blok-blok warna terang dalam lingkungan garisan-garisan warna kuning adalah terjemahan kepada kepelbagaian  hidup warga kota metropolis yang sentiasa sibuk. Sepertinya ada orang yang berjalan di kaki lima, dengan hiruk pikuk teksi dari satu lampu isyarat ke lampu isyarat yang lain. 

Karya ‘Broadway Boogie Woogie’, bukan sahaja merujuk kepada kehidupan dalam bandar, tetapi juga menandakan bermulanya peranan New York sebagai pusat baharu seni moden selepas Perang Dunia Kedua.

Lukisan lengkap terakhir Piet Mondrian ini, menunjukkan kemuncak inovasi penggayaan beliau dalam dunia seni lukis. - Getaran, 26 September 2021  

---

Penulis merupakan Dekan Fakulti Animasi & Multimedia di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).   

Semua gambar: Pelbagai sumber internet

Isu Pada

Sisi Tersembunyi Daiyan Trisha

25 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Filem & TV 8 bulan yang lalu

Pameran 100 Tahun Sinema Malaysia Singkap Sejarah Perfileman Negara

2

TARA 9 bulan yang lalu

Pameran ArtScience Prize Jadi Platform Tingkat Pemahaman Gabungan Seni Dan Sains

3

Semasa 9 bulan yang lalu

Pokok Getah Tertua Di Malaysia Bernilai Hampir RM200,000 Perlu Jagaan Rapi

4

Semasa 9 bulan yang lalu

Perkasa Jaringan Infrastruktur Pengangkutan, Perhubungan Di Kedah - Sultan Sallehuddin

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok