Berita Terkini

6 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 5 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Coretan Sarjana Dari Kota Istanbul : Bahagian 6

Minggu ini, Ashiqin bercerita tentang mengharungi cabaran hidup di Turki, terutamanya cabaran yang berhubung kait dengan rasisme. Anda mesti baca!

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 26 Sep 2021 9:17AM

Gambar: Unsplash

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Apabila kita ke sesebuah negara baru sudah semestinya kita akan melihat banyak perbezaan. 

Daripada sebesar perkara hingga ke sekecil-kecil benda yang ada kalanya kita faham tapi selalunya kita tidak mempunyai secalit informasi pun mengenai apa yang berlaku. 

Sama juga seperti kebanyakan pelajar Malaysia yang menuntut di luar negara. Saya tahu saya sering mengulangi ayat ini dan sekali lagi saya ingin nyatakan bahawa kehidupan di luar negara bukan semuanya indah. Pahit manis semuanya perlu ditelan sendiri, bak kata ibu saya, ‘baru tahu langit tinggi rendah’.  

Tiada keluarga terdekat untuk membantu dan selalunya rakan-rakan seperjuanganlah yang menjadi tonggak utama dan keluarga buat sementara waktu. 

Maka kali ini saya ingin bercerita mengenai pengalaman dan cabaran dalam melalui hari-hari di sini sebagai orang Asia di Turki. 

Seperti yang saya singkapkan pada bahagian sebelum ini, masyarakat Turki sangat bangga dengan identiti mereka. Daripada aspek makanan hingga ke keindahan alam semula jadi yang dimiliki mereka, segalanya menjadi kebanggaan mereka. 

Pada awalnya dan secara peribadi saya mengagumi kebanggaan mereka dengan negara mereka dan pada saya ia melambangkan rasa sayang yang telah disemat dalam diri mereka sejak kecil. 

Sepanjang saya berada di Turki, banyak yang saya pelajari daripada masyarakat di sini. Banyak yang saya pelajari daripada mereka dan banyak juga yang mereka pelajari daripada saya. 

Sudah tentunya apabila ke negara orang, kita dikira minoriti, terutamanya dengan perbezaan fizikal yang ketara pada diri saya.

Setapak saya melangkah, semua orang di keliling tahu yang saya bukan orang Turki dan dari situ kita boleh mengagak, akan ada yang akan melayan saya berlainan daripada orang lain. 

Sama ada baik atau buruk, itu semua terletak kepada diri saya sendiri untuk menginterpretasi. 

Sejujurnya, sebelum saya ke Turki saya sering mendengar dan membaca khabar mengenai pemimpin Turki yang sangat baik hati dengan membawa masuk pelarian perang Syria. 

Saya masih ingat rakan sekerja saya di bank tempatan ada berkata pada saya sangat bertuah kerana dapat ke sana dan belajar dan pada masa yang sama saya akan dapat melihat sendiri hasil pimpinan yang disebut-sebut ini, dalam hati saya berkata jika pemimpinnya baik hati tidak mustahil rakyatnya juga semua baik hati. 

Walaupun saya cuba untuk tidak terlampau obses dalam membuat sebarang spekulasi dan jangkaan, saya akui pandangan saya terhadap Turki melalui pembacaan saya dan apa yang orang lain bicarakan, sedikit sebanyak ke arah positif. 

Nak dijadikan cerita pada hari pertama saya di Istanbul, seusai proses pendaftaran, saya dan rakan-rakan yang lain dihantar ke asrama kami yang berada di bahagian Asia. 

Ini mungkin sesuatu yang pembaca tidak tahu jika anda belum pernah ke Istanbul, kota ini terkenal dengan kesesakan lalu lintas yang boleh memakan masa yang sangat lama pada waktu kemuncak. Saya syak ia sama dengan kesesakan lalu lintas yang kita alami di kota raya Kuala Lumpur. 

Namun, di sini kesesakan agak melampau kerana, contohnya tempat yang dituju  mengambil masa perjalanan 15 minit sahaja namun boleh menjadi tiga kali ganda jika anda menaiki bas. 

Anda boleh merasa dan melihat ketegangan setiap orang yang berada di dalam bas termasuk pemandu bas. Malah jika anda melihat ke luar tingkap, tiada sebarang senyuman pun di muka pemandu kenderaan yang lain.

Ketika dalam perjalanan ke asrama, lebih kurang 10 minit selepas bas bergerak, saya sedar yang bas sudah terhenti. Dalam sesaat selepas itu, saya mendengar jeritan pemandu bas. 

Apabila saya melihat ke luar tingkap, terdapat satu lagi kereta yang berhenti di sebelah bas dan seorang wanita lantas keluar daripada kereta tersebut dan terus menjerit dalam penuh amarah ke pemandu bas kami. 

Saya fikir, “Ini mesti jarang berlaku dan mesti salah daripada mereka telah melakukan kesalahan yang agak besar.” Sesaat lagi, saya melihat pemandu bas saya meludah kepada wanita yang sedang berkonfrontasinya. 

Terbeliak mata saya apatah lagi selepas saya mendapat tahu puncanya tidaklah sebesar mana. 

Bila saya berkongsi dengan pelajar senior yang lain, mereka hanya tertawa kecil dan memberitahu saya yang itu semua normal dan saya perlu mempersiapkan mental untuk menyaksikan banyak lagi pergaduhan di mana-mana sahaja. 

Ternyata mereka benar, masyarakat Turki tidak takut untuk berkonfrontasi walaupun atas hal yang sangat kecil. Secara peribadi dan ia berbeza pada setiap orang, proses ini mengambil sedikit masa untuk saya menyesuaikan diri.

Saya terbiasa dengan situasi di Malaysia di mana kita selalunya mendiamkan diri dan tidak memperbesarkan sesuatu hal dan segalanya boleh diselesaikan jika kita berbicara antara satu sama lain dengan baik. 

Tiada salah atau benar, itu cara mereka. Ia mengajar saya untuk lebih terbuka dan pada masa yang sama ia mengajar saya untuk tidak berdiam diri dan mengenal pasti waktu untuk saya bersuara dan melindungi diri sendiri. 

Seperti yang saya katakan, kemana sahaja saya pergi mereka akan tahu saya bukan daripada sini. Ada yang memandang dan merenung saya tanpa sebarang bicara dan ada juga yang betah bertanya kepada saya, seperti yang saya kongsikan dalam bahagian 3.

Disebabkan saban tahun penguasaan Bahasa Turki saya semakin baik, mereka sangat gembira melihat saya berkomunikasi dalam bahasa mereka. 

Namun bukan semuanya gembira dengan kehadiran saya. Kadangkala, ada juga sangat negatif. Tidak semua, tetapi ada segelintir orang di sini yang bersemangat nasionalistik secara ekstrim dan tidak tahu mengenai dunia luar selain daripada Turki. 

Tidak dinafikan ramai orang yang tidak tahu di mana Malaysia dan selalunya mereka tidak menolak untuk belajar benda baharu dan kitalah orang yang bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada mereka dan berkongsikan mengenai hal negara kita. 

Tetapi selalunya orang yang penuh ego, akan terus memintas bicara saya dan mengatakan saya datang ke sini kerana sistem pelajaran di Malaysia tidak bagus.

Pada mulanya saya diam sahaja, lama-kelamaan saya jadi kebosanan apabila berhadapan dengan manusia seperti ini dan saya membidas dengan mengatakan saya boleh berbicara dalam tiga bahasa, anda?

Malah muka Asia Tenggara dan hidung pesek saya ini tidak cukup Asia bagi segelintir orang di sini dan mereka terus bertanyakan jika saya dari Syria. Sebahagian daripada masyarakat Turki tidak suka akan kehadiran pelarian Turki dan selalunya daripada mereka yang sekular.

Jika mahu melihat dari sudut politik di sini, mereka agak lantang sehinggakan ada parti politik mereka yang berkempen dengan menggunakan sentimen pelarian telah mengambil pekerjaan dan wang masyarakat Turki dan sebab itu pelarian ini perlu beredar dari negara mereka.

Ada kenyataan mereka mendiskriminasi pelarian Turki yang dinyatakan secara terang-terangan. Contohnya, ramai pelarian Syria bermastautin di kawasan Fatih dan saya pernah melihat sendiri kain rentang daripada parti ini yang menyatakan “Saya tidak akan menyerahkan Kawasan Fatih kepada orang Syria”. 

Pernah juga saya mendengar kata-kata yang agak kasar berkenaan dengan pemakaian tudung saya. Mungkin mereka fikir saya tidak boleh berbahasa Turki, maka mereka bebas berbicara mengenai apa sahaja termasuk saya. 

Antara yang tidak boleh dilupakan apabila saya berjalan di tempat yang agak sekular dan ada seorang lelaki berkata, “Perempuan yang memakai tudung ini mindanya tertutup seperti kepala mereka.”  

Memang sakit hati, tetapi saya tahu saat itu beliau bukan mengomel mengenai kulit dan negara asal saya tetapi hak asasi saya untuk beragama serta memilih untuk bertudung. 

Saya rasa kata-kata itu bukan sahaja ditujukan kepada diri saya malah kepada wanita Turki yang bertudung. 

Anda perlu tahu bahawa Turki baru sahaja membenarkan wanita beruniform untuk memakai tudung dan para wanita di sini juga boleh memakai tudung untuk ke tempat rasmi sejak tahun 2013. 

Sebelum itu, ramai wanita yang memilih untuk bertudung perlu menanggal tudung mereka, memakai rambut palsu atau topi apabila memasuki kawasan rasmi antaranya adalah kampus universiti. 

Jadi tidak hairanlah jika komen seperti yang saya terima dan agresi mikro sering terjadi di sekeliling.

Itu semua pengalaman dan segalanya membuatkan saya bersyukur saya berpeluang untuk melaluinya dan paling penting, ia membuat saya bersyukur menjadi rakyat Malaysia. 

Kita sentiasa dikelilingi dengan perbezaan, walaupun kedengaran klise tetapi itulah hakikatnya yang membuatkan orang Malaysia terbuka kepada perubahan dan perbezaan yang menjadi kekuatan identiti kita. 

Tidak dinafikan, orang yang rasis dan berdiskriminasi ada di mana-mana sahaja, bukan sahaja di Turki namun yang paling penting, kita perlu kuat semangat. - Getaran, 26 September 2021




Semua gambar: Ashiqin Ariffin, kecuali tertera

Isu Pada

Sisi Tersembunyi Daiyan Trisha

25 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 tahun yang lalu

Malaysia, Negara Islam Digesa Panggil Kedutaan Sweden, Perlu Bantah Tindakan Islamofobia

2

Semasa 1 tahun yang lalu

Sweden Perlu Ambil Tindakan Segera Pada Paludan, Laksana Langkah Drastik Tangani Islamofobia

3

Selebriti 1 tahun yang lalu

Masuk Dalam Kereta, Irma Hasmie Menangis Teruk Di Turki

4

Filem & TV 1 tahun yang lalu

Syarikat Produksi 'Mat Kilau' Adakan Kerjasama Dengan Penerbit Turki

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut