Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Coretan Sarjana Dari Kota Istanbul : Bahagian 3

Bahagian ketiga Coretan Sarjana, Ashiqin bercerita tentang asrama pelajar dan bahasa 'nonverbal' masyarakat Turki. Teruskan membaca untuk mengetahui pengalamannya menjadi pelajar di Istanbul.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 Aug 2021 9:58AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Di dalam siri pertama, saya ada menyatakan keinginan untuk mempelajari budaya serta bahasa baharu sebelum menerima tawaran belajar peringkat ijazah sarjana di kota Istanbul.

Saya mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi dan sentiasa mahu mencabar diri sendiri untuk terus meneroka dunia dengan mempelajari budaya dan adat baharu.

Bagi graduan bidang komunikasi, terdapat banyak komponen yang terikat antara satu sama lain, dari segi bahasa pertuturan sehingga ke bahasa badan. Semuanya berbeza dari setiap budaya ke budaya yang lain. Pada saya ia sangat menarik untuk dipelajari. 

Ada pepatah Melayu berkata, ‘masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau menguak’. Itulah pepatah yang sering berlegar dalam minda saya apabila saya tiba di kota Istanbul.

Biasiswa yang saya terima melingkupi tempat tinggal yang merupakan asrama pelajar universiti. Pada 2 tahun pertama saya di Istanbul, saya ditempatkan oleh kerajaan Turki di asrama persendirian bersama dengan pelajar Malaysia lain di dalam bilik yang sama.

2 tahun seterusnya mereka meletakkan kami semua di asrama kerajaan dan pada waktu ini saya duduk sebilik dengan pelajar Turki yang lebih muda dari saya.  

Asrama kerajaan terbesar di Istanbul. Gambar: www.ipkb.gov.tr
Asrama kerajaan terbesar di Istanbul. Gambar: www.ipkb.gov.tr

Bicara mengenai asrama mengingatkan saya akan kekaguman saya dengan fasiliti dan infrastruktur yang disediakan oleh kerajaan Turki untuk pelajar tanpa mendiskriminasi antara pelajar tempatan dan antarabangsa.

Sepanjang saya bergelar pelajar di Istanbul, saya bernasib baik kerana sering ditempatkan di asrama seumpama hotel meskipun bukan bertaraf lima bintang tetapi sangat mewah, termasuk asrama milik kerajaan.

Asrama disini menyediakan makanan dua kali sehari iaitu sarapan dan makan malam, pembersihan bilik dua kali seminggu, bilik air peribadi yang hanya dikongsi oleh teman bilik dan bilik saya hanya mempunyai dua orang lagi teman sebilik.

Penulis di sekitar asrama milik kerajaan di Istanbul
Penulis di sekitar asrama milik kerajaan di Istanbul

Asrama kerajaan yang menjadi tempat tinggal saya dua tahun terakhir pengajian saya di sini adalah asrama kerajaan yang terbesar di Istanbul. Hanya pelajar perempuan sahaja yang boleh duduk di asrama ini dan terdapat lima blok yang boleh menempatkan kapasiti pelajar lebih daripada 3,000 orang secara keseluruhan.

Dewan makan besar yang digunakan oleh kesemua pelajar pada waktu sarapan dan juga makan malam serta perpustakaan boleh didapati dalam kawasan asrama tersebut.

Saya sangat teruja dengan pilihan makanan di dewan makan asrama ini kerana ketika saya ditempatkan di asrama persendirian, pilihan makanan sangat terhad dan menu makanan akan ditampal di pintu gerbang asrama pada setiap minggu.

Tetapi di asrama kerajaan dari makanan pembuka selera ke pencuci mulut semuanya ada. Tetapi menu kesemua makanan terdiri daripada makanan Turki. 

Setiap pelajar diperuntukkan sebanyak 5 lira untuk sarapan dan 7 lira untuk makan malam. Jika makanan yang diambil melebihi daripada nilai peruntukan, saya perlu menambah selebihnya daripada poket saya sendiri.

Paling menarik sekali, untuk sarapan, seperti sarapan di hotel pelajar di sini boleh memesan untuk menu telur yang boleh dimasak pelbagai cara mengikut cita rasa masing-masing.

Kebiasaannya, saya akan memesan telur dadar yang dimasak dengan keju Turki kentang goreng serta secangkir teh hitam Turki untuk sarapan, itulah menu saya hampir setiap pagi sehinggakan kakak atau abla yang memasak di dewan makan itu sudah tahu apa pesanan saya.

Dia nampak sahaja muka saya, dia akan tersenyum dan akan berkata, “Aku tahu apa yang kau mahu,” dan terus memasak lauk telur untuk saya. Itu bab di asrama. 

Saya masih ingat, selama sekitar 2 bulan, saya pergi ke mana-mana sahaja dengan pelajar lebih senior kerana kesukaran untuk berkomunikasi. Apabila saya telah melepasi tahap pertama kelas bahasa Turki iaitu tahap A1, saya lebih berani untuk berjalan sendiri.

Antara perkara yang saya tidak biasa pada tahun pertama ialah tabiat orang Turki yang suka berdecit sambil mengangkat kepala mereka. Ini adalah antara bahasa badan yang saya pelajari daripada masyarakat di sini.

Mereka akan melakukan sedemikian apabila untuk menyatakan “tiada” atau “tidak”.

Contohnya, apabila saya mahu menaiki bas lalu saya bertanyakan kepada pemandu bas jika bas tersebut melalui laluan destinasi saya, jika bas itu tidak melalui laluan tersebut mereka akan berdecit dan mengangkat kepala mereka. 

Pemandangan selat Bosphorus daripada jambatan Galata yang diambil oleh penulis
Pemandangan selat Bosphorus daripada jambatan Galata yang diambil oleh penulis

Aneh pada mulanya, namun saya sudah biasa akan tabiat itu. Berbicara mengenai perihal bas, sistem pengangkutan awam di sini sangat cekap dan bagus.

Saya sudah pernah mengunjungi banyak kota terkemuka dunia seperti kota London dan New York, sistem pengangkutan di Istanbul seakan setaraf malah lebih baik dari segi kecekapan, kekerapan dan kebersihan.

Masyarakat Turki sangat pembersih dan ia terserlah dari segi penjagaan kawasan serta pengangkutan awam mereka. Saya boleh ke mana-mana sahaja menggunakan pengangkutan awam di sini, dari bas, metrobus (bas yang dipandu di tengah-tengah lebuhraya), metro (kereta api ringan), Marmaray (kereta api bawah terusan Bosphorus), feri dan juga kereta kabel. 

Stesyen tramvay yang dilimpahi salji semasa musim sejuk
Stesyen tramvay yang dilimpahi salji semasa musim sejuk

Disebabkan penggunaan pengangkutan awam yang sangat meluas, orang Turki yang tinggal di Istanbul sudah biasa berjalan kaki ke mana-mana sahaja.

Jika anda mahu berkunjung ke Turki terutamanya Istanbul, bersedialah untuk berjalan kaki dan bersedialah untuk mendaki kerana topografi di sini berbukit-bukau. Bukan seperti di Malaysia, naik sahaja kereta atau motosikal untuk ke mana-mana.

Sepanjang saya berada di sini, saya sudah menemui pelbagai jenis orang Turki. Semuanya apabila terpandangkan saya akan mengerutkan kepala, ada juga yang akan merenung saya terus-terusan tanpa henti ibarat pertandingan tenung tanpa mengira jantina, baik lelaki mahupun perempuan.

Pada mulanya saya agak tidak selesa, tetapi kini setelah 6 tahun di sini saya bertindak membalas kembali renungan mereka. 

Selalunya sesi merenung akan terjadi di dalam metro kerana susunan kerusi di dalam metro yang saling bertentangan
Selalunya sesi merenung akan terjadi di dalam metro kerana susunan kerusi di dalam metro yang saling bertentangan

Ada yang terlebih ramah apabila mengetahui saya bisa bertutur dalam Bahasa Turki dan terus bertanya kepada saya bermacam jenis soalan. Antaranya, jika saya sudah berkahwin, saya belajar kursus apa.

Kebiasannya apabila saya memberitahu saya mahasiswa atau graduan Universiti Istanbul dan belajar pada peringkat Ijazah Sarjana, mata mereka akan terbuka luas lantas menyebut “MashaAllah” kerana Universiti Istanbul adalah antara universiti yang berprestij di Turki.

Bukan itu sahaja, ada yang bertanya apa pekerjaan ibu bapa saya dan kini suami saya serta jumlah gaji mereka. Setelah bersembang dengan teman-teman lain disini dan mereka juga melalui pengalaman yang sama, kami berpendapat bahawa mereka agak suka menyibuk hal orang lain, selalunya dalam kalangan orang yang lebih berumur.

Perkara ini juga turut diperakui oleh orang muda Turki sendiri, mereka turut memberitahu orang tua perempuan di sini seperti kamera litar tertutup jika di kawasan kejiranan. 

Pemandangan di kota Istanbul selepas hujan dengan pelangi di langit yang kelam
Pemandangan di kota Istanbul selepas hujan dengan pelangi di langit yang kelam

Begitulah kehidupan di Turki, ada manis ada yang pahit. Pada mulanya saya berpendapat, bahawa orang Turki juga agak kasar, tidak suka senyum dan cepat berang meskipun atas hal kecil.

Berbeza dengan budaya masyarakat kita yang penuh lestari, tidak betah berkonfrontasi dan suka memendam rasa. Saya tidak bermaksud mahu memenangi budaya sendiri tetapi, ada juga baik dan buruk setiap budaya itu.

Lama kelamaan, saya faham mengapa masyarakat Turki walaupun bukan semua tetapi kebanyakannya penuh tekanan. Hal ini terikat dengan tekanan hidup di Turki, dengan kos kehidupan yang tinggi dan kerja dan gaji yang tidak setimpal.

Saya belajar untuk tidak terus menghukum dan cuba untuk memahami keadaan mereka. - Getaran, 1 Ogos 2021

Semua gambar: Ashiqin Ariffin, kecuali tertera

Isu Pada

Jeritan Ezah Hashim

31 Jul 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Keluarga Pelajar Sabah Di Asia Barat Diminta Bertenang

2

Semasa 1 bulan yang lalu

Hilang Wang Punca Kes Pelajar Dipukul Hingga Maut

3

Pendidikan 2 bulan yang lalu

Kementerian Pendidikan Galakan Murid, Pelajar Lawat Tapak Warisan UNESCO

4

Semasa 4 bulan yang lalu

Syahid Dibunuh Zionis, Pemergian Pelajar UUM Warganegara Palestin Kehilangan Besar 

Sorotan

1

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini