Berita Terkini

7 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


FINAS Tidak Perlu CEO Baharu, Ketua Pengarah Sudah Cukup

Jawatan CEO dilihat kurang praktikal kerana tempoh pelantikan mengisi jawatan itu agak singkat dan tidak relevan apabila perancangan untuk industri perfileman harus melalui proses komitmen panjang.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 19 Sep 2021 9:05AM

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid dan Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Sekali lagi Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). 

Mungkin ramai terkejut dengan perkhabaran itu yang tersebar dalam kebanyakan media arus perdana dan portal berita. Terkejut dan hairan kenapa tiba-tiba beliau meletakkan jawatan sedangkan baru 15 bulan memikul tugas itu untuk kali kedua dan kontraknya dijadualkan berakhir pada 6 Jun 2022.

Terkejut juga disebabkan dalam tempoh tidak sampai dua tahun, beliau dua kali meletakkan jawatan untuk posisi yang sama! Kali pertama Ahmad Idham melepaskan jawatan itu pada 10 Mac 2020 apabila dilantik sebagai orang pertama bergelar CEO FINAS pada 11 Mac 2019.

Kini, selepas beliau sekali lagi dilantik mengisi jawatan itu pada 5 Jun 2020, Ahmad Idham dijangka meninggalkan FINAS berkuat kuasa hujung bulan ini, seperti dimaklumkannya kepada Lembaga Pengarah FINAS.

Kali pertama beliau meletakkan jawatan kerana atas alasan peribadi. Pada masa sama, ketika itu ramai mengandaikan hubungannya dengan Pengerusi FINAS ketika itu, Datuk Hans Isaac ada masalah.

Mantan Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac
Mantan Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac

Sepanjang ketiadaanya, jawatan CEO tidak diisi hampir tiga bulan. Kemudian, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang baharu ketika itu, Datuk Saifuddin Abdullah melantiknya semula untuk jawatan itu. 

Ironinya, tidak berapa lama selepas Saifuddin ditukarkan ke portfolio Kementerian Luar Negara berikutan pertukaran pucuk pimpinan Kerajaan Pusat, Ahmad Idham turut meletakkan jawatan di FINAS.

Beliau dikhabarkan akan bertugas sebagai pegawai bertaraf diplomat di kementerian yang diterajui Saifuddin. 

Desas-desus mengatakan, hubungan akrab Saifuddin dengan Ahmad Idham menyebabkan menteri itu mempelawa beliau secara lisan untuk bertugas di satu agensi di Kementerian Luar Negara dalam masa terdekat ini, sekali gus mendorong Ahmad Idham tinggalkan jawatan CEO.

Ahmad Idham meninggalkan FINAS kali ini ketika namanya terpalit dengan kontroversi apabila media pada bulan lalu melaporkan ada seorang pengarah dan penulis skrip, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis berhubung dakwaan penyelewengan agihan Dana Kandungan Digital (DKD) FINAS.

Pengarah dan penulis skrip, Asri Alias dan salinan laporannya
Pengarah dan penulis skrip, Asri Alias dan salinan laporannya

Ia berkaitan dakwaan berlakunya sesuatu disyaki ada yang tidak kena dan konflik kepentingan membabitkan Ahmad Idham dengan satu syarikat yang menerima dana, Alfanazra Productions Sdn Bhd kerana dua pengarah syarikat itu adalah adik-beradik kepada Ahmad Idham.

Apa sekali pun alasan Ahmad Idham meninggalkan FINAS, itu adalah haknya untuk menentukan masa depan kerjayanya dan semoga pengalaman beliau di FINAS akan membantu di tempat kerja baharunya dalam usaha mempromosi dan memasarkan produk seni budaya ke luar negara.

Mengimbas semula ketika kali pertama Ahmad Idham meletakkan jawatan, tidak ada jawatan pemangku CEO diwujudkan dan dibiarkan kosong, sebaliknya menteri melantik Pengerusi FINAS baharu, Zakaria Abdul Hamid menggantikan Hans, kemudian barulah Ahmad Idham menerima semula buat kali kedua tawaran jawatan CEO FINAS.

Sejak diwujudkan jawatan CEO, seperti ada masalah terhadap pelantikan jawatan itu

‘Permainan’ letak dan terima jawatan yang dilakukan Ahmad Idham ini sebenarnya menampakkan kesan kurang baik terhadap imej dan reputasi pengurusan atasan FINAS. Ia seolah-olah menggambarkan tugas atau jawatan penting yang diamanahkan untuk beliau itu sekadar ‘suka-suka’ atau ‘main-main’. 

Seperti kata seorang penggiat filem kepada penulis: “Kalau kau suka… ambil, rasa bosan tinggal, bila minat nak join balik, kau masuk… kemudian dah bosan, kau tinggal! Macam main-main…”

Persepsi ini bukan sekadar persepsi, sebaliknya ia mengundang kecelaruan dalam pengurusan FINAS sendiri dan menjejaskan kelancaran pentadbiran agensi itu.

Sejak diwujudkan jawatan CEO, seperti ada masalah terhadap pelantikan jawatan itu. Atau, ada ‘badi’ terhadap jawatan itu hingga menyebabkan dalam tempoh tidak sampai dua tahun, dua kali CEO sama meletak jawatan. Dan, satu-satunya orang yang memegang jawatan itu ialah Ahmad Idham. 

Selama hampir 40 tahun FINAS wujud tidak pernah pun ada jawatan CEO. Pengurusan eksekutif FINAS sebelum ini diterajui Ketua Pengarah. Sejak FINAS ditubuhkan pada Jun 1980, jawatan Ketua Pengarah silih berganti membabitkan kalangan penjawat awam dan individu berlatarbelakangkan industri.

‘Permainan’ letak dan terima jawatan yang dilakukan Ahmad Idham ini sebenarnya menampakkan kesan kurang baik terhadap imej dan reputasi pengurusan atasan FINAS

Kewujudan jawatan CEO dibuat Menteri KKMM ketika kerajaan Pakatan Harapan yang ketika itu diterajui Gobind Singh Deo. 

Mungkin beliau mahu menampakkan imej korporat atau gah pada nama jawatan di peringkat pengurusan FINAS supaya mencerminkan organisasi lebih tersusun, lalu jawatan CEO diwujudkan secara kontrak dwitahunan.

Namun, setahun selepas pelantikan Ahmad Idham sebagai CEO, beliau meletakkan jawatan dan kebetulan negara dilanda wabak pandemik COVID-19, menjadikan hampir seluruh aktiviti dalam industri perfileman terjejas, sekali gus memberi kesan besar kepada penggiat filem dan anak seni.

Maka, tidak ada impak boleh dilihat dengan wujudnya jawatan CEO. Meskipun Ahmad Idham dilantik buat kali kedua pada musim pandemik bermula, iaitu pada 5 Jun 2020, Ahmad Idham turut menghadapi kekangan dalam tugasnya sebagai CEO apabila tidak banyak yang boleh dilaksanakan.

Namun, usaha Ahmad Idham dan Lembaga Pengarah FINAS membantu warga filem dalam musim pandemik dari segi kemudahan penyediaan dana dan geran, selain bantuan kecemasan untuk warga filem serta menaik taraf program Padu Citra menjadi MyCAP wajar diberi pujian. 

Selepas Ahmad Idham meninggalkan FINAS, kita tidak tahu sampai bila jawatan CEO akan diisi semula? Siapa pula yang bakal dilantik bagi mengisi kerusi panas itu? Persoalannya, perlukah jawatan CEO itu dikekalkan?

Justeru, dirasakan adalah wajar untuk Menteri KKMM yang baharu, Tan Sri Annuar Musa melihat perkara ini secara mendalam sama ada jawatan CEO FINAS adalah keperluan relevan atau sekadar mencipta jenama baharu bagi menggantikan jawatan Ketua Pengarah.

Persoalannya, perlukah jawatan CEO itu dikekalkan?

Apakah salah jika jawatan CEO dimansuhkan? Dan, salahkah jika dikembalikan semula jawatan Ketua Pengarah seperti mana 40 tahun lalu kerana ia lebih sinonim dengan agensi perfileman itu? 

Sebagai sebuah agensi perfileman negara yang bertujuan membangun dan memajukan wadah filem nasional, imej FINAS sebenarnya tergambar sebagai sebuah entiti milik kerajaan yang lebih memfokus kepada pengekalan kelestarian seni budaya dan warisan bangsa Malaysia.

FINAS ditubuhkan pada Jun 1980 atas semangat dan falsafah untuk melihat industri perfileman dan budaya sinema Malaysia tetap terpelihara serta meriah dengan kebangkitan penerbitan karya-karya untuk masyarakat dan kemunculan kelompok karyawan cemerlang dan penerbit yang prolifik.

FINAS bukan syarikat yang mengejar keuntungan. FINAS bukan entiti ekonomi untuk menjadi syarikat pelaburan kerajaan. Ia juga bukan berstatus syarikat dana pelaburan meskipun menguruskan modal kewangan dan geran berjuta-juta ringgit. 

FINAS adalah instrumen untuk membangunkan sinema Malaysia dalam konteks mengangkat imej filem sebagai wadah seni budaya dan jati diri negara, bukan agensi pemberi dana untuk kilang buat filem semata-mata.

Apabila jawatan CEO diwujudkan untuk tugas ketua pentadbiran eksekutif di FINAS, ia memang kelihatan gah dengan imej korporat dan menggambarkan ia seperti syarikat berkaitan dana. Namun, secara semangat, jati diri dan moralnya, imej FINAS itu sudah ‘tercemar’. 

FINAS harus tetap dilihat sebagai agensi atau perbadanan untuk menggalak, memajukan dan memudahkan kemajuan industri filem negara yang dimanfaatkan oleh rakyat negara ini sebagai wadah seni budaya dan entiti hiburan dan khazanah warisan demi kesejahteraan rakyat negaranya.

Perancangan untuk industri perfileman harus melalui proses komitmen panjang bagi mereka yang menerajui pentadbiran di FINAS

Semangat dalam Akta FINAS 1981 harus dijelmakan dan diperkukuhkan menerusi usaha meletakkan industri perfileman negara sebagai tuan di negaranya sendiri.

Jawatan CEO juga dilihat kurang praktikal kerana pelantikan mengisi jawatan itu sudah pasti akan dibuat untuk tempoh singkat, yang mana mungkin kontrak setahun, dua tahun atau tiga tahun. 

Ini tidak relevan jika mengambil kira perancangan untuk industri perfileman harus melalui proses komitmen panjang bagi mereka yang menerajui pentadbiran di FINAS.

Sesuatu yang malang juga jika jawatan CEO itu diketahui untuk tempoh jangka pendek, sudah tentu individu yang dilantik dalam kalangan penggiat seni atau mereka yang dalam industri filem akan merasakan tidak dapat memberikan sepenuhnya komitmen. 

Jawatan kontrak itu mendorong mereka yang dilantik berasakan ia sekadar persinggahan untuk ‘mencipta kekayaan’ buat diri sendiri sebelum meninggalkan jawatan berkenaan

Keadaan ini sukar untuk mereka mencari idea dan ilham melaksanakan tugas dengan memikirkan kepentingan industri untuk jangka panjang kerana CEO itu sendiri menyedari dia juga tidak akan lama berada di FINAS.

Risiko berlaku penyelewengan atau amalan penyalahgunaan kuasa atau dana mungkin boleh berlaku jika seseorang CEO itu merasakan kontraknya tidak lama di agensi terbabit

Maka, sebagai langkah selamat untuk masa depannya, beliau dikhuatiri akan mencari dan mencipta peluang memanipulasi dana atau bantuan geran yang ada di FINAS demi kepentingan masa depannya.

Di sinilah, dikhuatiri berlaku amalan kronisme, salah guna kuasa dan kleptokrasi dalam pentadbiran FINAS.

Pelantikan CEO juga adalah dengan mengambil orang luar daripada pentadbiran FINAS atau bukan dalam kalangan penjawat awam. 

Sudah tentu, jawatan kontrak itu mendorong mereka yang dilantik berasakan ia sekadar persinggahan untuk ‘mencipta kekayaan’ buat diri sendiri sebelum meninggalkan jawatan berkenaan. 

Seeloknya jawatan Ketua Pengarah diwujudkan semula di FINAS dengan mengambil individu dalam kalangan penjawat awam, atau individu berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan khususnya berkaitan seni budaya dan perfileman supaya lebih cekap dalam urusan pentadbiran. 

Barangkali menteri boleh lantik Ketua Pengarah baharu FINAS dalam kalangan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) atau mereka yang sudah lama bekerja di FINAS. Mungkin, jika ini dilaksanakan ia boleh mengelak daripada berlakunya kekerapan meletak jawatan. Siapa tahu? - Getaran, 19 September 2021

Semua gambar: Gambar Fail

Isu Pada

Misi Mencari Jati Diri Alyph

18 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 6 hari yang lalu

Hampir 5,000 Penggiat Seni Bakal Peroleh Manfaat Kerjasama FINAS, PERKESO - Fahmi

2

Semasa 1 bulan yang lalu

Industri Diseru Hasilkan Filem Malaysia Inklusif, Tekankan Perpaduan - FINAS

3

Sukan 1 bulan yang lalu

KDA FC Umum Shahrul Samsudin Pangku Tugas CEO

4

Semasa 2 bulan yang lalu

PM Akan Pengerusikan Mesyuarat Berkala Persiapan Malaysia Selaku Pengerusi ASEAN 2025

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok