Peristiwa lukisan dikoyak bapanya sendiri adalah secebis kisah daripada perjalanan panjang seorang seniman serba boleh dari Kangar, Perlis iaitu Solihin Osman.
Kisah tersebut berlaku ketika Solihin masih lagi di bangku sekolah kerana bapanya hilang sabar akibat tindakanya menampal lukisan potret yang dilukisnya di dinding rumah.
Sungguhpun demikian ayah juga merupakan pendorong utama kepada dirinya untuk terus bergiat dalam bidang seni.
Menurut Solihin lagi, jiran serta datuk saudaranya adalah pelukis potret yang hebat dan kerana minat, dia sering berkunjung ke rumah mereka untuk melihat lukisan yang dihasilkan.
Walaupun begitu Solihin tidak pula belajar mahupun diajar melukis oleh mereka, sebaliknya Solihin belajar sendiri.
Solihin juga gemar membaca tentang karya dan pelukis tanah air sehingga dirinya hafal banyak nama pelukis dan judul karya mereka semenjak di sekolah menengah lagi.
Mengimbau zaman kanak-kanaknya, anak sulung dari tiga beradik ini mula melukis sejak di usia lima tahun lagi. Ketika itu Solihin melukis di dinding-dinding rumah dengan melakar imej figura dan potret.
Setalah mula bersekolah rendah, Solihin mula melukis komik dan ianya dibaca oleh kawan-kawanya di dalam kelas.
Ketika bersekolah menengah pula Solihin mula mengorak langkah dengan membuat illustrasi dan lukisan untuk majalah sekolah di samping menghasilkan mural di dinding sekolah.
Semasa tingkatan tiga, Solihin mula menulis berita bergambar dan terplih untuk disiarkan di sebuah majalah Bujal, majalah yang popular pada tahun 1970-an.
Bakat Solihin tidak terhenti di situ kerana beliau kemudianya berjinak-jinak dalam dunia puisi dan sajak pertamanya, 'Satu Rima Di Pesta Biru' berkumandang di udara dalam rancangan 'Bunga Bangsa' Radio 1, sewaktu di tingkatan 5.
Berbicara tentang proses menghasilkan karya, Solihin menyatakan bahawa dirinya suka mengisi buku lakaran yang dibawa ke mana sahaja dia pergi. Tetapi awas, beliau sangat cerewet dalam memilih subject matter dan imej untuk dilukis.
Hal ini berlaku kerana Solihin akan menilai subject matter tersebut dan akan mengupas persoalan tangible dan intangible subjek itu, sejarah, latar belakang, makna, rahsia dan falsafah di sebaliknya.
Ada yang dilukis berdasarkan foto yang diambilnya sendiri. Tetapi Solihin lebih suka menjalankan kajian terlebih dahulu, menghasilkan lakaran demi lakaran sebagai proses awal dan akhirnya menjadi lukisan ataupun catan.
Solihin juga suka media campuran di atas kertas atau kanvas. Kadangkala Solihin terpaksa menuruti kehendak pelanggan iaitu dengan mengikuti gaya dan imej yang mereka suka.
Harga karyanya juga sederhana dan mampu milik. Solihin juga suka arang dan pensil untuk lukisan potret dan figura. Pen dan dakwat untuk lukisan alam benda, alam semula jadi, potret dan figura.
Inspirasi karya juga datang dari alam sekeliling ciptaan Ilahi di samping merujuk kepada alam dan budaya Melayu.
Solihin juga turut menambah bahawa beliau tidak mempunyai seniman rujukan kerana mahu melukis mengikut gaya dan caranya yang tersendiri.
Padanya, sumber kekuatan datang melalui keinginan untuk bersaing dalam meneliti sesuatu karya seniman lain dengan mengkaji dan menafsir dari dalam ke luar, rohani dan jasmaninya.
Menurut Solihin lagi, seni bukan matematik, seni kadangkala langsung tiada jawapan. Adakalanya jawapannya ada pada khalayak, bila mereka melihat dan menafsir sekali gus memahaminya.
Seni lukis itu bagai cap ibu jari, nampak sama tapi berbeza. Seni itu unik, pelik dan kadangkala luar biasa. Pengkaryanya juga begitu. Selain pelik, ada identiti atau jati diri yang tersendiri.
Itu sebagai asas untuk menjadi seniman yang besar. Seluruh jiwa dan raganya mengalir seni.
Karya-karya Solihin juga perlukan tafsiran sebab ianya adalah gabungan simbol atau lambang termasuklah subjek, aplikasi asas-asas seni seperti garisan, jalinan dan warna. Komposisinya juga mempunyai makna yang berbeza.
Semua elemen dalam karya lukisannya perlu dianalisis dengan makna yang tersirat di sebalik gambaran yang tersurat.
Karyanya juga dibentuk dengan kajian yang mendalam bertitik tolak dari tema atau persoalan yang dikemukakan. Ianya sarat dengan perihal manusia, alam dan ketuhanan. - Getaran, 12 September 2021
----
Penulis merupakan Dekan Fakulti Animasi & Multimedia di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Semua gambar: Ihsan Solihin Osman