Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Isu Dana FINAS Sering Mengundang Rungutan Dan Kontroversi, Apa Masalahnya?

Adakah ketelusan pengurusan dana lemah atau syarat kelayakan terlalu longgar? Mungkinkah juga jumlah dana yang diberikan terlalu 'mewah'? Akmal Abdullah cuba menyelami masalah yang menyelubungi dana FINAS.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 05 Sep 2021 5:59PM

Gambar Fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pada Februari 2013, pengalaman berada di European Film Market (EFM) di Berlin, Jerman, menyedarkan penulis betapa beruntungnya warga filem Malaysia yang sering mendapat bantuan kewangan kerajaan untuk membawa karya mereka ke pasaran antarabangsa.

Menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang berbelanja besar menyertai EFM 2013 dan pelbagai pasar filem lain mahupun festival antarabangsa, dengan menyewa booth dan membuat promosi, ia menggambarkan kerajaan negara ini begitu mengambil berat membantu filem dari Malaysia untuk diperkenalkan ke pentas antarabangsa.

Sempena pasar filem EFM serentak Festival Filem Berlin (Berlinale 2013),  ia membolehkan mana-mana produser tempatan yang mempunyai filem cereka berpotensi menyertainya untuk dijaja filem mereka di sana. 

Di sana, penulis terpandang seseorang yang sibuk membuat persiapan di booth tertera nama Indonesia. Selepas berkenalan, penulis mengetahui beliau ialah Helfi Kardit, pelakon, pengarah dan produser terkenal dari negara jiran kita itu.  Beliau terkenal menerusi filem arahannya seperti Hantu Bangku Kosong, Lantai 13 dan Sang Martir

Penulis bertanyakan beliau mengapa lambat membuat persiapan dan kenapa cuma keseorangan, sedangkan EFM 2013 sudah memasuki hari ketiga. Hairan beliau masih kelihatan sibuk membuat persiapan menghiasi booth untuk negaranya. 

Beliau memberitahu, kelambatannya kerana baru saja tiba di Berlin. Beliau lambat disebabkan harus menunggu bajet kerana wang dikumpul daripada beberapa produser lain di negaranya untuk kos perbelanjaan beliau dan membayar sewaan booth.

“Malaysia beruntung ada agensi seperti FINAS, di negara kami tiada” - Helfi Kardit, pelakon, pengarah dan produser Indonesia

Penulis kehairanan kerana berbeza dengan Malaysia, urusan pemasaran filem antarabangsa sebegitu ditanggung kerajaan, malah dibiayai semua kos sewaan booth dan perbelanjaan delegasi Malaysia ke EFM 2013. 

Helfi Kardit tiba-tiba naik berang terhadap kerajaan negaranya kerana tidak ambil peduli pemasaran filem untuk ke pentas antarabangsa sehingga mereka sendiri terpaksa berkongsi wang demi menyertai EFM di Berlin.  

“Pemerintah kami mengarut, tidak dibantunya, kalian di Malaysia sangat beruntung sebab pemerintah ambil berat soal industrinya. Kami pula harus kutip wang sesama production house untuk sampai ke sini dan mereka wakilkan saya.

“Malaysia beruntung ada agensi seperti FINAS, di negara kami tiada,” demikian luahan hati Helfi, menggambarkan peritnya warga filem Indonesia yang terpaksa berusaha mencari dana untuk memasarkan filem terbitan mereka ke luar negara.

Warga filem Malaysia memang beruntung dan bertuah. Produser dan pengarah filem di sini bukan saja dibantu dengan biaya filem untuk pasaran luar, malah diberi suntikan modal seperti geran atau dana pinjaman untuk mereka berkarya dan menerbitkan filem.

Saban tahun, kerajaan Malaysia menerusi FINAS menyediakan sejumlah peruntukan besar membantu orang filem atas nama geran, dana dan insentif.

Warga filem Malaysia bernasib baik kerana adanya FINAS yang ditubuhkan sejak 1981.

Tidak banyak negara mempunyai agensi perfileman seperti FINAS yang menyediakan peruntukan beratus-ratus juta ringgit pelbagai bantuan kewangan untuk warga filem dari segi pembangunan skrip, pembikinan, promosi dan pemasaran.

Malah, diberikan insentif lain termasuk rebat cukai hiburan.

Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini kita melihat percambahan syarikat produksi baharu muncul dan kebanyakan juga tidak pernah dikenali turut menumpang untuk memperoleh dana FINAS

Warga filem kita harus berterima kasih dan bersyukur atas nikmat diperoleh menerusi kewujudan FINAS. Mungkin dek saban tahun disediakan bajet besar untuk dana dan geran, mereka menjadi seperti ‘anak manja’. Mereka menjadi warga filem yang ‘naik lemak’. 

Makin ramai yang hendak terbitkan filem, berbondong-bondong syarikat dan karyawan mahu mendapatkan dana. Mereka berebut-rebut menjadi produser filem kerana tahu ada peluang mudah meraih geran dan pinjaman. Pengarah filem juga mencari peluang mendapatkan dana supaya boleh berkarya.

Sebab itu, dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini kita melihat percambahan syarikat produksi baharu muncul dan kebanyakan juga tidak pernah dikenali turut menumpang untuk memperoleh dana FINAS.

Sejak 1990-an, FINAS sediakan bantuan kewangan menerusi Skim Kemudahan Produksi (SKP) antara RM300,000 hingga RM500,000, kemudian jumlah dana semakin besar menjadikan ada pihak meraih geran sehingga RM2 juta, RM3 juta, malah ada yang pernah mendapat sampai RM8 juta.

Antara kategori dana disediakan FINAS termasuklah geran produksi atas nama Dana Filem Cereka, Filem Kenegaraan, Dana CGI, Dana Industri Kandungan, Dana Promosi, Dana Prisma, Dana Kreatif, Dana Pembangunan, Dana Kandungan Digital, Dana Inspirasi, Dana Mikro Pengkarya, selain dana untuk produksi asing yang membuat penggambaran di Malaysia menerusi Insentif Filem Di Malaysia (FIMI).

Tahun lalu, 40 syarikat produksi menerima Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM13.9 juta, manakala tahun ini pula, 81 syarikat produksi terpilih menerima dana RM46.9 juta. 

Sebaliknya, tentulah tidak semua pemohon geran atau dana ini akan memperolehnya selepas gagal dalam proses tapisan panel penilai FINAS. Maka, mereka yang tidak terpilih ini akan merungut, marah dan meluahkan rasa tidak puas hati. Mereka meluahkannya melalui media massa.

Mereka yang berjaya memperoleh geran atau dana pula ada yang mengikut perjanjian, sebaliknya banyak juga yang gagal menyiapkan produksi mengikut tempoh perjanjian.

Lebih malang, ada syarikat yang tidak dapat dikesan dan projek filem entah ke mana. Dari sini, bermulalah pelbagai isu dan kontroversi tercetus berkaitan dana FINAS. Polemiknya sentiasa silih berganti. 

Rasa tidak puas hati terhadap agihan dana FINAS ini sering berlaku. Malah, sejak 10 tahun lalu, sudah bermula rungutan di kalangan warga filem mengenainya.

Pada tahun 2011, ketika Datin Paduka Shuhaimi Baba menerima geran sebanyak RM2.7 juta menerusi FINAS untuk filem Tanda Putera, ada yang mempersoal beliau memperoleh begitu banyak jumlah geran. 

Ada suara nakal mengaitkan kejayaan beliau meraih geran disebabkan adik iparnya, Datuk Mahyidin Mustakim adalah Ketua Pengarah FINAS ketika itu. 

Ketika itu juga Ahli Parlimen pembangkang mempersoal kenapa filem itu memperoleh dana besar kononnya pengisian filem itu didakwa berkait isu perkauman kerana memaparkan sejarah tragedi 13 Mei 1969.

Konflik permasalahan ini harus dikaji, disiasat dan diteliti secara konsisten supaya wang rakyat tidak disalahgunakan

Kemudian meletus isu banyak produksi filem yang mendapat dana pinjaman dan geran gagal menyiapkan filem mereka, atau secara mudahnya mereka gagal memenuhi perjanjian menyiapkan produksi sehinggakan lebih 20 judul filem cereka dikesan gagal ditayangkan gara-gara tidak siap. 

Semakin parah, berlaku ketirisan dana FINAS pada 2013 hingga 2016 apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan ada tujuh produksi filem dan satu animasi yang menggunakan dana FINAS tetapi gagal menyiapkannya. Ia membabitkan penyelewengan RM16 juta. 

SPRM juga mendedahkan dua individu memonopoli tujuh syarikat produksi demi strategi memperoleh dana atas nama syarikat berbeza.

Laporan Ketua Audit Negara pernah mendedahkan penyata kewangan FINAS tidak memberi gambaran benar terhadap kedudukan kewangan FINAS bagi tempoh 2016 yang menjurus kepada pengaliran keluar pinjaman dana.

Pada 2018, Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Gobind Singh Deo meluahkan rasa kebimbangannya mengenai unsur penyelewengan agihan dana di FINAS.

Malah, media melaporkan, sumber mendakwa pemberian dana sering berlaku ketidakadilan akibat berlaku secara tidak telus kerana wujudnya campur tangan pihak atasan di peringkat kementerian.

Tahun lalu, FINAS terpaksa membuat hebahan dalam media massa untuk bertindak terhadap 44 syarikat produksi yang didapati menyeleweng dana yang diperoleh akibat  gagal menyiapkan filem kenegaraan. Ia membabitkan dana yang disalurkan dari tahun 2015 hingga 2019.

Bulan lalu, media melaporkan, seorang penerbit dan pengarah, Asri Alias, membuat aduan kepada SPRM dan polis kerana tidak berpuas hati terhadap FINAS dengan mendakwa berlakunya penyelewengan dalam agihan dana.

Penerbit dan pengarah, Asri Alias. Gambar Fail
Penerbit dan pengarah, Asri Alias. Gambar Fail

Beliau mendakwa berlaku konflik kepentingan antara CEO FINAS dengan satu syarikat yang menerima dana pada tahun ini.

Dari sini, kita boleh andaikan berlaku kontroversi dan isu berkaitan dana FINAS membabitkan dua pihak, iaitu pemberi dan penerima.

Di pihak FINAS sendiri mungkin terjadi ketirisan atau ketidakadilan dalam agihan hingga menyebabkan ada pihak mempertikainya, manakala di kalangan produser, ada yang tidak amanah dan ada individu tamak menipu secara memanipulasi syarikat.

Konflik permasalahan ini harus dikaji, disiasat dan diteliti secara konsisten supaya wang rakyat tidak disalahgunakan. Senarai hitamkan syarikat yang gagal memenuhi perjanjian, atau ambil tindakan undang-undang jika ada pihak dikesan menipu dan menyalahgunakan dana.

Prosedur standard penilaian dana harus lebih telus di peringkat pengurusan atasan FINAS. Perketatkan syarat kelayakan dan kawal jumlah dana yang ditawarkan bagi setiap produksi. Perlu diwujudkan pasukan panel penilai bebas dan berwibawa, bukannya di kalangan  petugas FINAS dan suku-sakat mereka.

Bayangkan, jika suatu hari nanti kerajaan tidak berminat lagi menyediakan dana seperti sekarang, atau FINAS menghentikan peruntukan geran, mungkin masa itu barulah semuanya menggigit jari.

Tidak mustahil ini berlaku sebab kebanyakan negara lain seperti Indonesia, pemerintahnya tidak sediakan pun geran untuk karyawan filemnya. Namun, industri filem di Indonesia sentiasa mekar berkembang dan cukup meriah. - Getaran, 5 September 2021

Isu Pada

Cinta Dan Cita Amelia Henderson

04 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 minggu yang lalu

Hampir 5,000 Penggiat Seni Bakal Peroleh Manfaat Kerjasama FINAS, PERKESO - Fahmi

2

Semasa 2 bulan yang lalu

Industri Diseru Hasilkan Filem Malaysia Inklusif, Tekankan Perpaduan - FINAS

3

Semasa 3 bulan yang lalu

Skim PERKESO Bagi Pekerja Sektor Perfileman Akan Dilaksanakan Segera

4

Filem & TV 9 bulan yang lalu

Pameran 100 Tahun Sinema Malaysia Singkap Sejarah Perfileman Negara

Sorotan

1

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

2

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

3

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

4

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah

5

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

6

32 Keluarga Dipindahkan Selepas Banjir Lahar Sejuk Landa Jawa Timur, Indonesia