Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Cinta Dan Cita Amelia Henderson

Dari seorang pelakon kanak-kanak sehingga kini menjadi bintang dewasa, TARA berbicara dengan si jelita pintar lagi berbakat, Amelia Henderson untuk mengenalinya dengan lebih dekat.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 04 Sep 2021 9:00AM

oleh

Rahayu MN

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Penghias muka hadapan TARA minggu ini bukanlah calang-calang orangnya. Biarpun masih muda, namun dia mempunyai jurnal karier yang hebat. 

Tidak cukup dengan itu, pemilik nama penuh Amelia Thripura Henderson juga memiliki rupa paras jelita, berbakat besar dalam lakonan, serta lebih gah lagi, dia diiktiraf sebagai seorang genius oleh Mensa.

Ciri-ciri yang ada pada model, pengacara dan pelakon ini membuat ramai yang terpesona dan terpegun. Tak kurang juga yang mencemburui. Maklumlah jika dibuat perbandingan dengan nama-nama yang ada dalam industri, ramai yang terpelanting jauh. Tidak setanding! 

Lihat sahaja pencapaiannya hari ini. Satu demi satu kejayaan manis yang diraih oleh bintang utama, ‘Cik Ayu Mee Sanggul’ ini.

Dia pernah terpilih sebagai pelakon suara untuk filem animasi popular, Barbie In A Christmas Carol pada 2008 kerana fasih berbahasa Inggeris dengan loghat British dan Amerika. 

Kecintaannya pada tarian balet juga membuatkan dia diangkat sebagai rakyat Malaysia pertama yang pernah menerima Anugerah Seal Solo, gred tertinggi dalam Royal Academy of Dance New Zealand pada usia 18 tahun.

Pernah hilang dari radar dunia hiburan seketika waktu, pelakon yang menjentik hati ramai peminat menerusi filem Pisau Cukur ini sekali lagi menjadi buruan penerbit drama dan telefilem tempatan apabila membuat kemunculan semula pada 2015. Kini Amelia mengulangi apa yang pernah dikecapinya ketika zaman kanak-kanak.

Sesi fotografi yang berlangsung baru-baru ini membuka peluang untuk saya mengenali wanita berusia 26 tahun ini secara lebih dekat. 

Dengan jarak usia yang besar, saya sebenarnya agak gusar untuk bersoal jawab dengannya. Bimbang dia tidak selesa, saya pula kekok kerana belum pernah bertemu sebelum ini. 

Satu lagi perkara yang tidak patut saya abaikan ialah hakikat yang dia seorang yang bijak. Tidak boleh lewa. 

Namun segala kegusaran itu lenyap sebaik sahaja kami bertemu. Ternyata Amelia bijak mengadaptasikan diri dengan orang-orang di sekeliling. 

Berperangai diva jauh sekali. Sebaliknya dia rancak berbual ketika wajahnya disolek oleh jurusolek kami, Jib Salim. Begitu juga ketika beraksi di hadapan kamera, dia dilihat menikmati setiap minit yang berlalu. Tidak sukar rupanya berkolaborasi dengan jelitawan berdarah campuran Sri Lanka-Scotland ini.

 

Pantang dicabar

Memulakan bicara pada hari itu, Amelia awal-awal lagi sudah berpesan dia tidak selesa berbicara tentang hal-hal peribadi. Sebaliknya mengalu-alukan soalan berkisar tentang karier.

Sebagai penulis, saya menghormati permintaanya itu kerana setiap personaliti ada batasan yang perlu dijaga.

Saya juga langsung tidak tersinggung kerana sejujurnya saya juga lebih berminat tentang bagaimana Amelia merencanakan perjalanan seninya. 

Jika diimbas, pemenang Celebrity Star of The Year, Face of Malaysia Awards 2019 ini semakin hari mempamerkan kualiti lakonan yang semakin mantap. 

Paling membanggakan, loghat bahasa Inggerisnya juga sudah tidak kedengaran apabila dia bertutur dalam bahasa Malaysia. 

Sebelum mengulas lanjut tentang pencapaiannya itu, Amelia sempat berseloroh yang dia enggan mengakui hakikat itu. “Ya kah saya tidak fasih sebelum ini? Mana ada. Saya memang dari kecil sudah boleh berbahasa Malaysia. Boleh tak, tak nak mengaku?” respon Amelia pantas. Namun selepas itu Amelia terus menyusun kata.

“Penguasaan bahasa Malaysia saya sebenarnya bercambah sejak mula berlakon di sekolah rendah lagi. Tika itu saya sudah boleh bertutur bahasa Malaysia dengan baik. 

“Tapi apabila berhenti berlakon seketika di sekolah menengah, saya tidak menggunakan bahasa Malaysia untuk pertuturan, sama ada di sekolah mahupun di rumah. Jadi, penguasaan bahasa Malaysia saya menjadi kurang fasih sebab tak praktik.

“Apabila saya kembali berlakon, orang memang boleh tahu yang bahasa Malaysia bukanlah bahasa ibunda saya.

“Pada awalnya, perkara ini tidak menjadi isu kerana kebanyakan tawaran yang saya dapat adalah untuk watak-watak gadis kacukan. Maybe because of the way I look, the way I sound. Saya sedikit pelat. 

“Namun, lama-kelamaan pertuturan saya yang sedikit pelat ini membuatkan saya sedar, jika ingin pergi jauh dalam lakonan, saya perlu buang loghat Inggeris itu. Kalau tidak, tawaran lakonan mungkin agak terhad. 

“Atas alasan inilah saya mencabar diri sendiri untuk memperbaiki penguasaan Bahasa Malaysia. Lebih-lebih lagi saya seorang yang pantang dicabar. Saya tidak boleh dengar kalau ada orang yang katakan saya tidak boleh buat. Saya akan buktikan sebaliknya,” ujar Amelia tegas. 

Bagaimana dia melakukannya? Caranya mudah sahaja, dia tidak jemu berlatih. Setiap kali berada di lokasi penggambaran, dia akan sedaya-upaya bertutur dalam bahasa Malaysia. Malu, tidak sama sekali. Jika ada perkataan atau ayat yang tidak difahami, Amelia akan cepat-cepat bertanya. 

 “Untuk fasih dengan sesuatu bahasa, kita kenalah praktis selalu. Macam saya, keluarga saya berbahasa Inggeris di rumah, tetapi mereka bukanlah tidak boleh berbahasa Malaysia. Cuma pelat dan penguasaannya terhad. Sekarang saya yang menjadi ‘profesor bahasa Malaysia’ mereka. 

“Jadi, apa yang saya lakukan ialah, saya berlatih cakap Melayu di set penggambaran. Saya juga hanya bercakap bahasa Malaysia dengan pembantu peribadi. 

“Kalau ada apa-apa yang saya tidak faham, saya akan cepat-cepat bertanya,” ujar Amelia yang tidak mahu masalah bahasa menjadi penghalang untuk melangkah jauh dalam lakonan. 

“Saya mengaku yang saya memang ada pelat, tapi saya tidak akan benarkan perkara ini menjadi halangan untuk saya terus mengorak langkah dalam dunia lakonan. 

“Saya tidak mahu dilabel sebagai 'pelakon mat saleh'. Saya mahu buktikan yang saya boleh bercakap bahasa Malaysia sama seperti orang lain. Saya kan orang Malaysia,” sambungnya lagi.

Lakonan cinta pertama

Dengan kelebihan yang ada pada Amelia, pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa dia memilih lakonan berbanding bidang peragaan atau komersial. 

Dengan rupa paras menawan dan tubuh yang tinggi lampai, pasti dia boleh mencipta nama. Lebih-lebih lagi kedua-dua bidang ini bukanlah sesuatu yang asing. 

Dia melangkah ke dunia glamor sejak kecil lagi dengan menjadi model iklan sebelum beralih ke bidang lakonan.

“Sebabnya saya bermula sebagai pelakon. Saya terlibat dengan dunia lakonan sejak berumur 10 bulan lagi di mana ketika itu saya telah terlibat dengan iklan komersial. 

“Jiwa saya terikat dengan lakonan. Ketika membesar, saya memang menyimpan hasrat untuk bergelar pelakon. Ia adalah sesuatu yang sangat dekat di hati dan saya mencintainya. 

“Ia menggembirakan hati. Berlakon adalah cinta pertama saya. Impian bergelar pelakon bermula sejak kecil lagi. 

“Saya pernah mencuba bidang pengacaraan dan beberapa cabang seni lain, tetapi hati tetap meronta untuk berlakon.

“Biarpun saya juga sedari berlakon menuntut masa yang bukan sedikit,” kongsi Amelia lancar menyusun kata.

Berbekalkan wajah Pan Asia, Amelia juga tidak terlepas daripada pandangan sesetengah pihak yang menganggap ada watak-watak dalam cerita Melayu yang tidak boleh diserahkan kepadanya.

Jadi, bagaimana agaknya Amelia menerima hakikat ini? Adakah dia pasrah atau menganggap situasi ini satu cabaran yang perlu disahut untuk dibuktikan sebaliknya. 

What I do feel is, having Pan Asian looks, especially in Asia, it’s like 50 percent lucky and 50 percent cursed. Terutamanya jika anda seorang pelakon. 

“Memang ada masanya agak susah untuk mendapat tawaran kerja kerana wajah Pan Asian ini, tapi ada juga pihak yang ingat saya tidak menghadapi masalah ini atas alasan saya mempunyai pakej yang menjadi buruan pihak produksi.  

“Sejujurnya, saya tidak terlalu memikirkan tentang perkara ini. Saya percaya rezeki itu sudah tertulis untuk saya. 

“Apa yang saya kena buat ialah, apabila saya bersetuju untuk jayakan mana-mana watak, saya perlu zahirkannya dengan sebaik mungkin. Tiada apa yang boleh saya lakukan dengan wajah atau penampilan diri, tetapi saya boleh lakukan sesuatu untuk lakonan saya. 

“Saya harus profesional supaya dikenali dengan hasil kerja yang bagus. Apabila ini berlaku, saya percaya pihak produksi tidak akan teragak-agak untuk beri kepercayaan kepada saya. 

“Muka ‘mat saleh’ pun boleh bawa watak perempuan kampung, asalkan logik dan ada jalan cerita,” ujar Amelia.

Bukan meminta, tetapi dipercayai

Dalam masa yang sama, Amelia juga diminta mengulas tentang pendekatannya yang dilihat bagaikan selesa menggalas watak-watak berat yang sarat dengan emosi. Bukan sekali dua dia tampil dengan karakter sebegini tetapi sudah beberapa kali.

“Bukan sebab saya suka atau selesa menggalas watak berat, tetapi saya rasa macam penerbit dan peminat drama suka melihat saya menjayakan watak air mata. Apabila sudah diberi kepercayaan, sudah semestinya saya akan buat yang terbaik.” 

“Secara peribadi saya memang lebih suka menjayakan watak-watak yang perlukan penghayatan dalam. Sebabnya, ia mencabar diri serta memberi peluang kepada saya untuk berhubung dengan penonton dalam satu rasa yang mendalam. 

“Setiap kali dapat maklum balas daripada peminat, saya sangat hargainya dan anggap itu adalah pujian tersanjung. Sebab sebagai seorang pelakon, kita mahu penonton turut sama menjiwai watak yang digalas. 

“Kalau penonton dapat rasa sedih, gembira dan teringat-ingat dengan watak selepas menutup TV, ini bermakna seseorang pelakon itu telah lakukan yang terbaik,” ulas Amelia.

 

Tidak ambil peduli 

Menjadi seorang selebriti bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi pada era wujudnya media sosial yang menjadi teropong digital masyarakat. 

Bukan sedikit yang menjadi mangsa kecaman netizen yang suka menghukum tanpa usul periksa. Sebagai insan yang menjadi perhatian ramai, pasti Amelia punya resepi untuk kekal positif agar kualiti kehidupannya kekal positif.

“Cara terbaik untuk menjalani kehidupan adalah kita tentukan kehidupan kita sendiri. Bukan mengikut apa yang orang lain inginkan. 

“Saya manusia biasa. Memang orang mengenali saya, tapi saya tidak membenarkan karier saya menghalang saya daripada melakukan perkara-perkara normal dalam kehidupan.”

“Saya masih keluar membeli barangan dapur untuk keluarga, masih keluar bersama rakan-rakan, masih menjamu selera di restoran kegemaran dan banyak lagi. 

“Saya juga selesa tidak mengenakan mekap apabila tidak bekerja. Saya tidak pernah menyembunyikan diri daripada sesiapa pun kerana tiada apa yang hendak disembunyikan. Ketika di luar penggambaran, saya hanyalah orang biasa yang mahu menikmati hidup.”

“Kalau orang hendak mengadili, itu terpulang kepada mereka. Saya tidak peduli. Sebenarnya mereka tidak ada hak berbuat sebegitu kerana itu adalah ruang privasi saya. 

“Mereka ada hak untuk mengkritik lakonan saya, tetapi bukan kehidupan peribadi saya. They have to remember, the product is not Amelia Henderson, but the product is Amelia Henderson’s acting,” ulas Amelia mengakhiri bicara. - Getaran, 4 September 2021

 

DI SEBALIK TABIR PEMBIKINAN WAJAH TARA – GETARAN

Wajah TARA : Amelia Henderson

Pengarang Urusan : M. Zulkifli Abd Jalil

Penyelaras : Shah Shamshiri

Teks : Rahayu MN

Suntingan Teks: Ili Farhana & Shah Shamshiri

Penata Gaya : Vee Mukhtaram

Busana  : Bluebellmalaysia dan Allsaints

Aksesori : Shein

Kasut But : Milik Penata Gaya

Solekan & Dandanan : Jib Salim

Jurugambar & Arahan Seni : Sadiq Asyraf

Pembantu Jurugambar : Azim Rahman

Juruvideo : Muharram Kasim

Penyunting Video : Muharram Kasim

Rekaletak: Hanif Zahari

Lokasi :  Petra News, Bangsar

Isu Pada

Cinta Dan Cita Amelia Henderson

04 Sep 2021

Berita Berkaitan

1

Selebriti 5 bulan yang lalu

Badrul Muhayat Sering Bercakap Soal Kematian - Sahabat

2

Refleksi 6 bulan yang lalu

Melayari Perkahwinan: Cukupkah Hanya Berbekal Cinta?  

3

Selebriti 8 bulan yang lalu

Instagram Nad Zainal Di Mod Privasi, Kini Keluarga Jadi Keutamaan

4

Selebriti 8 bulan yang lalu

Amelia Henderson Berjaya Tangguh Permohonan Maaf, Ganti Rugi RM200,000

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini