Berita Terkini

11 jam yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 5 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


15 Lagu Patriotik Yang Membakar Semangat

Sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara, portal Getaran senaraikan 15 lagu patriotik terbaik yang mampu buat kita rasa bangga menjadi anak Malaysia.

TARA Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 29 Aug 2021 12:15PM

Gambar Fail AFP

oleh

Ellyna Ali

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Setiap orang mempunyai perbezaan pendapat serta ideologi politik. Namun, ia tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita menyemai semangat cintakan negara, apatah lagi pada saat tanah air bakal menyambut Hari Kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos ini. 

Banyak cara yang boleh dilakukan untuk kita menyuntik semangat nasionalisme terhadap tanah air yang tercinta terutama sekali dalam mengekalkan perpaduan sesama kita yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

Untuk menyemarakkan lagi semangat cintakan negara yang tidak berbelah bahagi, portal Getaran telah menyenaraikan 15 lagu patriotik yang mempunyai kepelbagaian melodi, lirik dan punya impak yang kuat untuk buat kita bangga menjadi rakyat Malaysia. 

 

‘Warisan’ - Sudirman Haji Arshad 

Insan seni berjiwa patriotik, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad satu-satunya penghibur dan penyanyi Malaysia yang melahirkan album patriotik berjudul Abadi pada 1982. 

Album ini memuatkan lagu ‘Warisan’ ciptaan komposer Allahyarham Syed Haron Syed Ahmad yang dianggap ramai sebagai karya patriotik terbaik atau masterpiece

Ia adalah luahan insan yang sanggup berjuang dan bergadai nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara kerana di bumi yang dipijak inilah lahirnya sebuah cinta. 

Ia dapat dilihat menerusi bait ‘Aku bukanlah seorang perwira, gagah menjunjung senjata, namun hati rela berjuang, dengan cara sendiri, demi cinta ini.’ 

Liriknya cukup indah dan memberikan kesan mendalam dizahirkan dengan begitu sempurna dalam lagu ini.

Melodinya yang melankolik bersama penghayatan jiwa Sudirman yang begitu mendalam berjaya menyentuh emosi pendengar sehingga mampu menitiskan air mata. 

 

‘Tanggal 31’ - Sudirman Haji Arshad

Sebuah lagi lagu patriotik dendangan Allahyarham Sudirman yang turut dimuatkan di dalam album Abadi. 

Tidak seperti ‘Warisan’, lagu ‘Tanggal 31’ ini karya patriotik ikonik yang bersifat rancak dan sangat catchy kerana ia dinyanyikan untuk meraikan sambutan kemerdekaan negara yang jatuh pada tanggal 31 Ogos. 

Liriknya yang berulang-ulang memudahkan sesiapa sahaja untuk menyanyikannya dan suara kanak-kanak sebagai penyanyi latar menambahkan lagi keceriaan lagu ini. Menerusi lagu inilah, Sudirman telah mencipta sejarah apabila mengenakan busana yang diinspirasikan daripada bendera Malaysia. 

Namun, lagu ini asalnya dinyanyikan penciptanya, Allahyarham Ahmad CB. Versi Ahmad CB perlahan melodinya dan kedengaran lebih klasik.  

Versi Sudirman 

Versi Ahmad CB

 

‘Saya Anak Malaysia’ - Dr Sam Rasputin 

Tidak kira usia, warna kulit, agama dan latar belakang ekonomi, ‘Saya Anak Malaysia’ ciptaan dan nyanyian Dr Sam Rasputin yang diterbitkan pada 1986 menjadi karya patriotik ikonik yang paling digemari rakyat Malaysia.  

Ia lagu rancak yang sangat catchy dan menceritakan tentang rasa bangga rakyat dilahirkan sebagai anak Malaysia. 

Lagu ini juga dihasilkan dalam banyak versi dan pada era 2000, liriknya telah diberi penambahbaikan apabila lebih menyentuh tentang kepelbagaian budaya dan kaum yang ada di Malaysia. 

Antaranya versi baharu menarik adalah ‘Saya Anak Malaysia 2020’ yang dinyanyikan Tomok, Aril, Zahid, Jaclyn Victor, Fattah Amin, Ayu Damit, Dina Nadzir dan rapper Malik Abdullah.

Ia projek yang dihasilkan mahasiswa jurusan Ijazah Muda Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Utara Malaysia (BCIM UUM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara. 

Versi asal Dr Sam

Versi Projek BCIM UUM

 

‘Standing In The Eyes Of The World’ - Ella 

Sebuah lagu patriotik ikonik bertahap dunia yang mampu membuatkan bulu roma meremang. ‘Standing In The Eyes Of The World’ ini pada asalnya menjadi lagu tema Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Akan tetap apabila dihayati liriknya, ia ternyata sangat bersesuaian dijadikan lagu patriotik untuk kemerdekaan negara.

Tidak percaya? Hayati bait lirik lagu ini:

‘Kini standing in the eyes of the world,

Hanyalah selangkah dari nyata,

Keazaman membara di jiwa,

Menanti saat bebas merdeka,

Tiba masa kau melangkah gagah,

Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya,

Engkau terunggul, wajar standing in the eyes of the world.’

Standing In The Eyes Of The World’ dicipta Datuk Wah Idris manakala liriknya pula ditulis Datuk Habsah Hassan. Ratu Rock Ella sememangnya menjadi pilihan Datuk Wah untuk membawakan lagu ini.

Turut terlibat sama dalam pembikinan lagu ini adalah David Gates iaitu bekas penyanyi kumpulan Bread. Beliau turut menyanyikan lagu ini dalam versi Bahasa Inggeris. 

Menariknya, Ella telah mendendangkan lagu ini dalam temasya Sukan Komanwel pada 1998 dan kemudian menyanyikannya sekali lagi pada acara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2017. 

Versi Ella 

Versi Davis Gates 

 

‘Inilah Barisan Kita’ - Jamaludin Alias 

Sebuah lagi lagu patriotik yang luar biasa impaknya. Ia bukan sahaja berjaya menyuntik semangat yang membara di dalam jiwa kita tetapi turut membuai emosi saat mengenangkan jasa dan perjuangan perajurit yang bertempur habis-habisan untuk menentang musuh demi mempertahankan negara. 

Lagu ini ciptaan Allahyarham Saifoel Bahari Elyas iaitu komposer sama yang menghasilkan lagu kebangsaan, 'Negaraku' dan ia telah dinyanyikan Jamaludin Alias yang juga bekas pengulas sukan terkenal Radio Televisyen Malaysia RTM. 

Sebelum kemunculan Roy, Jamaludin Alias adalah penyanyi yang kerap menggalas tanggungjawab menyampaikan lagu-lagu berkonsep patriotik . 

Karya ini dihasilkan sewaktu tercetusnya Konfrontasi Indonesia-Malaysia pada 1962 hingga 1966 apabila republik itu tidak bersetuju Malaysia terbentuk bersama penyatuan Sabah dan Sarawak. 

 

‘Setia’ - Francesca Peters 

Sebuah lagi lagu patriotik kegemaran rakyat Malaysia. Ia dinyanyikan Francesca Peters dengan iringan Okestra RTM beserta pemain saksofon, Jimmy. 

Lagu ini berkisarkan kesetiaan rakyat untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara yang tercinta. 

Bagi mereka yang bersekolah di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lagu 'Setia' ini pasti akan dinyanyikan di perhimpunan pagi sekolah. Pengalaman ini turut dirasai penulis sendiri. 

Lagu ini telah dinyanyikan dalam banyak versi oleh ramai penyanyi. Namun, versi Francesca Peters tetap menjadi pilihan hati terutama yang membesar dengan lagu patriotik ini. 

 

‘Negaraku’ - Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Faizal Tahir  

Sebuah lagu patriotik bernuansa pop dengan gabungan hip hop yang cukup hebat serta membangkitkan semangat. Menggunakan judul ‘Negaraku’, lagu ini dipersembahkan Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Faizal Tahir pada 2016. 

Malah, Joe Flizzow, Altimet, SonaOne dan Faizal Tahir turut berkolaborasi dengan Ezra Kong dan Mike Chan untuk menulis lagu ini.

‘Negaraku’ mengangkat kisah perjuangan pelayar Melayu hebat, Panglima Awang atau Henry The Black dan Enrique of Malacca yang telah berjaya mengelilingi dunia. 

Ia sebagai satu peringatan betapa hebatnya tamadun kita dan sebagai rakyat kita harus mencintai sepenuhnya negara ini. 

Ini bukan negara aku, tapi negara kita’ adalah bait yang paling memberikan impak dalam lagu ini. Ia sudah cukup menjelaskan bahawa negara tidak akan wujud tanpa bangsanya iaitu rakyat jelata. 

Pemain badminton negara, Soh Woo Yik menjadikan lagu ini pembakar semangat sebelum dia memulakan perlawanan. 

Mendengar ‘Negaraku’ ini juga akan mengingatkan kita kepada lagu rapper T.I, ‘Dead and Gone’ menampilkan Justin Timberlake kerana ada persamaan dari segi karakter dan mood lagu ini. 

 

‘Malaysia’ - Faizal Tahir 

Selepas muncul dengan ‘Negaraku’, Faizal Tahir kembali dengan sebuah lagu patriotik ciptaan dan nyanyianya sendiri iaitu ‘Malaysia’ pada 2018. 

Lagu ini dihasilkan dalam nuansa pop rock tetapi dipersembahkan dengan lenggok nyanyian ala irama Malaysia yang sangat subtle pada verse tertentu.  

Ia adalah sebuah luahan jiwa seseorang yang sanggup mempertahankan tanah air tercinta kerana kesetiaannya  yang tidak berbelah bahagi dan walau apa pun rintangan mendatang, Malaysia tetap di hati selamanya. 

Faizal Tahir penyanyi generasi baharu yang semakin banyak mencipta dan menyanyikan karya berkonsep patriotik dan lagu ini sangat diminati pendengar generasi muda. 

 

‘Bahtera Merdeka’ - Aishah 

Lagu patriotik irama tradisional, ‘Bahtera Merdeka’ banyak menggunakan perlambangan tentang Malaysia setelah berjaya menuntut kemerdekaan, hasil perjuangan anak-anak bangsa. 

Perjuangan ini tanda kesetiaan rakyat untuk mempertahan negara dalam apa jua situasi sebagai sumpah dan janji. 

Lagu ini ciptaan komposer Allahyarham Kassim Masdor dan telah dinyanyikan Allahyarham Datuk Ahmad Jais. Namun, ia kemudian dipopularkan semula penyanyi Aishah

Ramai berpendapat versi nyanyian Aishah adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan penyanyi lain. Malah, setanding dengan nyanyian asal Datuk Ahmad Jais. 

Namun, ramai lebih menyukai ‘Bahtera Merdeka’ versi Aishah kerana susunannya muzik yang kotemporari dan lebih menepati cita rasa pendengar generasi baharu. Penyampaian Aishah dalam lagu ini juga sangat cemerlang. 

Versi Ahmad Jais

Versi Aishah

 

‘Sejahtera Malaysia’ - Azlina Aziz, Rohana Jalil, Ogy Ahmad Daud, Elaine Kang dan Desree 

Lagu patriotik ini sudah dialunkan ramai penyanyi. Namun, versi asal dendangan Azlina Aziz, Rohana Jalil, Ogy Ahmad Daud, Elaine Kang dan Desree masih dianggap sebagai versi terbaik. 

Lagu ini adalah tanda kesyukuran rakyat kerana dapat hidup dengan aman dan makmur dalam negara harmoni yang berbilang kaum dan budaya menerusi perpaduan yang sangat utuh. 

 

‘Jalur Gemilang’ - Nyanyian Ramai 

Sebuah lagu patriotik yang menceritakan tentang kemegahan bendera kita, ‘Jalur Gemilang’. Lagu ini dicipta Allahyarham Pak Ngah dan liriknya ditulis Siso Kopratasa. 

Jika ingin mengetahui berapa jalur yang terdapat dalam bendera kita serta maksud di sebalik warna-warna ‘Jalur Gemilang’, sila dengar dan hayati lagu ini. 

 

‘Satu Malaysia’ - Nyanyian Ramai 

Biarpun lagu ‘Satu Malaysia’ ini dicetuskan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-53, ia masihi popular serta dinyanyikan hingga hari ini. 

Kejayaan lagu ini bertitik tolak daripada matlamat kerajaan untuk mencapai gagasan terhadap pembinaan dan pembentukan bangsa Malaysia. 

 

‘Perwira’ - Allahyarham Puan Sri Saloma 

Pernah menonton filem Masam-Masam Manis lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Sharifah Hanim yang diterbitkan pada 1965? 

Dalam filem ini, Sharifah Hanim telah menggunakan suara Allahyarham Puan Sri Saloma sewaktu membawakan lagu ‘Perwira’. Ia karya yang membakar semangat perajurit untuk berjuang di medan perang demi mempertahankan bangsa dan tanah air tercinta. 

 

‘Nyalakan Tekad’ - Nyanyian Ramai 

Lagu patriotik ini mungkin jarang dimainkan di radio mahu pun televisyen. Namun, inilah lagu patriotik yang paling digemari kumpulan koir di sekolah, kolej mahu pun universiti ketika menjayakan persembahan atau pun bertanding. 

Dicipta komposer Datuk Ibrahim Chik diiringi orkestra RTM, versi ‘Nyalakan Tekad’ RTM dianggap yang terbaik kerana ia berupaya menaikkan semangat pendengar. 

Lagu ini pada asalnya dinyanyikan Mariam Ahmad dan diberikan judul ‘Nyala Tekad Di Unggun Chita’ ciptaan Abdullah Harun dan Datuk Ahmad Nawab pada penghujung 60-an.

Namun, Datuk Ibrahim Chik telah menggubah semula lagu ini dengan improvisasi yang baharu menerusi melodi dan liriknya. - Getaran, 29 Ogos 2021

Versi RTM 

Versi Mariam Ahmad 

Isu Pada

Aspirasi Deborah Henry, Marsha Londoh Dan Douglas Lim

28 Aug 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

Laungan Keramat 'Merdeka' Kembali Bergema Di Banda Hilir Selepas 68 Tahun

2

TARA 7 bulan yang lalu

5 Iklan Terbaik Sempena Hari Kebangsaan 2023, Sarat Mesej Bermakna Untuk Penonton

3

Semasa 7 bulan yang lalu

Cari Pengisian, Makna Sebenar Merdeka Atas Diri Sendiri Cabaran Utama - Mujahid

4

Semasa 7 bulan yang lalu

Program EMRKL Perlu Diteruskan Pada Hari Kebangsaan Akan Datang - Hannah  

Sorotan

1

Piala Asia B-23: Kesilapan Hukum Harimau Muda Berdepan Uzbekistan

2

Akta Kerja 1955 Benarkan Pekerja Mohon Aturan Kerja Anjal - Menteri

3

Tiada Keperluan Pemindahan Pulang Rakyat Malaysia, Keadaan Stabil Di Timur Tengah

4

Mangsa Banjir Di 3 Negeri Meningkat Sedikit Kepada 748 Orang Malam Tadi - NADMA

5

Aktiviti Gunung Berapi Cetus Pemindahan Ratusan Orang Di Sulawesi Utara Indonesia

6

Pinjaman RM1.8 Bilion Dipindahkan Ke Luar Negara Tanpa Usaha Wajar – Saksi

7

Kerajaan Tetap Kurangkan Subsidi Minyak Tahun Ini – Rafizi