ASSEN - Fabio Quartararo terpaksa bergelut dengan masalah lengan kanan baharu dalam kemenangannya di perlumbaan MotoGP Belanda, yang melebarkan jurang pendahuluannya di puncak kejuaraan dunia dengan persembahan dominan di Assen.
Pelumba dari Perancis itu mengetuai penamat satu-dua Yamaha dengan Maverick Vinales, yang bermula di petak utama, di tempat kedua.
Juara bertahan Joan Mir melengkapkan podium menunggang jentera Suzukinya.
“Ini perlumbaan yang sukar. Saya mengalami masalah dengan tangan kanan saya di sepanjang hujung minggu ini. Saya berasa sangat tidak selesa.
“Sejujurnya, saya sedikit ketakutan.
“Saya berjaya mengekalkan kelajuan dan gembira dapat mengatasi rakan sepasukan Maverick,” kata Quartararo, yang menjalani pembedahan pada bulan Mei selepas mengalami masalah dengan tangan kanannya.
Quartararo melebarkan kelebihannya ke atas rakan senegara Johann Zarco dalam kejuaraan dunia kepada 34 mata dengan pelumba Itali Francesco Bagnaia 13 mata di belakangnya. - AFP

