Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Bola Sepak Di Dahulukan, Sukan Lain Dianaktirikan

Dalam sebuah dunia yang ideal, mereka yang mengecapi kejayaan - tak kira atlet sukan paralimpik atau pemain bola sepak, sepatutnya menerima ganjaran yang setaraf.

Sukan Dikemaskini 2 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 12 Jun 2021 1:40PM

Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Minggu lalu, skuad Harimau Malaya pimpinan Tan Cheng Hoe tumpas di tangan pasukan UAE 0-4 dan malam tadi, kekalahan 1-2 kepada Vietnam membenamkan harapan untuk Malaysia layak secara automatik ke Piala Dunia 2022.

Sebagai peminat setia Harimau Malaya, penulis tidak pernah putus asa dan saban kali memberi sokongan kepada pasukan negara. Tetapi secara pragmatik dan realistik, sebenarnya, kekecewaan seolah-olah menjadi teman yang paling setia.

Kemuncak kecemerlangan skuad bola sepak negara adalah pada era 70-an dan 80an dan walaupun pasukan yang tampil mewakili negara menampakkan suatu sinar baru sekitar lewat dekad 2000-an, ianya belum membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Memang ada yang berkata, untuk menjadi kuasa bola sepak perlu pelaburan jangka masa panjang dan dengan program NFDP dan Akademi Mokhtar Dahari di Kuantan, pulangan tersebut akan hadir dalam dekad yang akan datang.

Tetapi pulangan inilah yang hendak kita persoalkan. Bola sepak bukanlah satu-satunya sukan yang ada di negara kita, namun tumpuan pembangunan seolah-olah lebih berpusat di situ - walaupun hasil seolah-olah tak kunjung tiba.

Bagaimana pula dengan sukan-sukan lain di mana atlet negara kerap kali menjadi juara?

Untuk menilai ‘pelaburan’ ke dalam sukan-sukan yang berbeza, tidak boleh kita paksikan kepada nilai ringgit semata-mata.

Ini adalah kerana ada sukan yang memerlukan belanja yang banyak - sama ada dari segi peralatan, infrastruktur dan sebagainya. Contohnya, kos penyediaan sebuah velodrom misalnya tidak boleh dibandingkan dengan kos pembinaan gelanggang badminton.

Tetapi secara mata kasar, kita boleh lihat sukan mana yang lebih diraikan dan sukan mana yang lebih mudah diakses oleh orang ramai.

Bola sepak atau badminton, contohnya, lebih mudah diceburi-- ada banyak gelanggang atau padang, peralatan mudah diperolehi dan ada akademi latihan sama ada kelolaan kerajaan atau pihak swasta.

Berbeza pula dengan sukan seperti hoki dan ragbi - walaupun popular, tidak sama meluas jika hendak dibandingkan dengan sukan yang disebutkan tadi.

Kemudian ada pula permainan seperti bola jaring atau sukan renang yang mampu meraih kejayaan sekurang-kurangnya di peringkat ASEAN, tetapi tidak ramai orang yang menceburinya.

Sejajar dengan ini, ada sukan yang lebih ‘glamour’ berbanding sukan lain - terutamanya sukan di mana para atlet bertaraf profesional - iaitu mereka dibayar gaji untuk bersukan.

Ini paling ketara sekali dalam sukan bola sepaklah, bukan sahaja di negara kita malahan di seluruh dunia. (Pengecualian mungkin hanya di Amerika Syarikat, di mana pemain bola keranjang, besbol, American football atau hoki ais lebih menyerlah dan bertaraf selebriti).

Gambar Fail AFP
Gambar Fail AFP

Gaya hidup dan gaji pemain bola sepak sering menjadi bualan orang ramai. Biasanya merekalah yang sering dikaitkan dengan gaya hidup selebriti dan mampu membawa kereta mewah atau membeli rumah besar.

Ini kadangkala menimbulkan rasa iri hati atau sekurang-kurangnya, perasaan tidak adil, apabila mereka seolah-olah mendapat ganjaran yang banyak - tetapi tidak sehebat atlet sukan lain apabila diambil kira kecemerlangan di gelanggang sukan.

Malahan, ada banyak lagi sukan yang mengecapi kejayaan di peringkat serantau, benua atau antarabangsa yang atletnya masih lagi bertaraf amatur. Adilkah begini?

Sebenarnya, perlu kita lihat kenapa sukan bola sepak itu sendiri ‘mampu’ menawarkan gaji yang lumayan untuk para pemain.

Wang yang digunakan untuk membayar gaji lumayan para pemain datangnya bukan semata-mata dari kerajaan, tetapi juga dari sumber luaran, contohnya, dari penaja, hasil kutipan jualan tiket dan barangan, serta wang hak penyiaran.

Dan untuk sesebuah sukan itu menarik perhatian penaja- ada berbagai aspek komersial yang diambil kira.

Ini adalah kerana penaja biasanya merupakan bisnes atau perniagaan dan bagi mereka, ‘pelaburan’ dari segi penajaan ini perlulah ada pulangan yang positif.

Jadi populariti sesuatu sukan itu, jumlah penonton yang menyaksikan perlawanan (sama ada di stadium, di kaca TV atau secara atas talian), berapa ramai peminat yang akan membeli produk dan sebagainya akan menjadi ukuran.

Tidak semua sukan dapat menarik minat penaja dengan kadar yang sama dan kalaupun mendapat penaja, jumlah tajaan berbeza berdasarkan faktor-faktor yang disebut di atas.

Jadi jika sumber kewangan untuk sukan itu tidak berapa tinggi - wang yang ada untuk membayar gaji atlet mungkin tidak banyak juga.

Tetapi, tidakkah kejayaan juga patut menjadi ukuran? Memang, secara logiknya kejayaan patut menjadi satu faktor yang penting.

Dalam sebuah dunia yang ideal, mereka yang mengecapi kejayaan - tak kira atlet sukan paralimpik atau pemain bola sepak, ganjaran yang mereka terima sepatutnya setaraf.

Malangnya, aspek komersial lebih penting apabila kita memerlukan sumber kewangan.

Ini sebenarnya kitaran yang tidak sihat, kerana wang akan terus pergi ke arah sukan yang lebih komersial dan seterusnya sukan ini akan terus lebih banyak disiarkan di kaca TV dan mendapat liputan media - dan dengan pendedahan sebegini, lebih banyak wang akan masuk - dan seterusnya berulang kali begitu.

Manakala sukan yang lain akan terus tertinggal di belakang.

Hakikatnya, sukan bola sepak memang popular di seantero dunia dan sukan bola sepak tempatan hanyalah sebahagian kecil dari empayar komersial bola sepak antarabangsa.

Dan apabila nilai komersial lebih dititikberatkan berbanding kejayaan, maka kita akan lihatlah mereka yang kurang berjaya pun, menikmati pulangan yang lebih lumayan berbanding mereka yang menjuarai sukan lain yang kurang komersial. - Getaran, 12 Jun 2021

Nota kaki: Ironinya di sini, bagaimanapun, ialah tentang taraf profesional pemain bola sepak dan kadarannya dengan kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Kita seolah-olah berada di tahap terbaik tatkala semua pemain negara adalah amatur; dan mulai merudum semakin menuju ke arah profesional, bukan? Mungkin boleh dikupas dengan lebih lanjut dalam ruangan akan datang.

Isu Pada

Kembara Fakhrul Razi

12 Jun 2021

Sorotan

1

Jenazah Tun Hanif Omar Selamat Dikebumikan Di Bukit Kiara, Sebelah Pusara Anaknya

2

Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Joseph Kurup

3

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

4

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

5

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

6

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart

Disyorkan untuk anda

Luar Negara 1 hari yang lalu

32 Keluarga Dipindahkan Selepas Banjir Lahar Sejuk Landa Jawa Timur, Indonesia

Semasa 2 jam yang lalu

Jenazah Tun Hanif Omar Selamat Dikebumikan Di Bukit Kiara, Sebelah Pusara Anaknya

Semasa 5 jam yang lalu

Tembakan Di KLIA: Pengawal Keselamatan Terima Penghargaan

oleh Wartawan Getaran

Semasa 12 jam yang lalu

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif