KUALA LUMPUR - Perhimpunan #Lawan akan tetap diteruskan 21 Ogos nanti, walaupun tujuh ahli gabungan Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) dipanggil polis, semalam.
Jurucakap SSR, Mohammad Asraf Sharafi berkata, mereka tidak gentar dengan intimidasi dilakukan pihak berkuasa, yang menggunakan peruntukan di bawah Akta Hasutan.
Menurut beliau, mereka hanya menggunakan hak perlembagaan untuk bersuara dan berhimpun secara aman selari dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Semalam, tujuh ahli gabungan SSR dipanggil untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.
Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Despite having 7 individuals investigated by the police today, organisers of the #Lawan movement, Sekretariat Solidariti Rakyat said they will still take to the streets on August 21 if PM @MuhyiddinYassin doesn't step down. pic.twitter.com/bwhkk9Cpfv
— Ravin Palanisamy (@RavinP_69) August 13, 2021
Mohammad Asraf berkata, mereka memberikan sepenuh kerjasama kepada polis, namun penggunaan Akta Hasutan jelas satu intimidasi berlebihan terhadap rakyat.
"Sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak meletakkan jawatan sebelum 21 Ogos, sekali lagi kami akan kembali ke jalan raya," katanya.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani pada 7 Ogos lalu memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan berkenaan.
Sebarang kedegilan katanya, akan membawa kepada tindakan tegas pihak berkuasa. - Getaran, 14 Ogos 2021
