KUALA LUMPUR - Polis sudah menahan seorang lelaki berusia 74 tahun, dipercayai pemandu kenderaan yang tular selepas memandu kenderaan dalam keadaan berbahaya di Lebuhraya Link Kedua, Johor Bahru, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin berkata, lelaki itu ditahan di sebuah kediaman di Taman Nusa Bayu, Gelang Patah bagi membantu siasatan.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.
"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Iskandar Puteri menerima satu maklumat mengenai video yang tular menerusi media sosial.
"Video berdurasi 60 saat itu menunjukkan sebuah kereta Myvi warna kelabu dipandu secara berbahaya dengan melawan arus melalui arah bertentangan di sebuah lokasi di Lebuhraya Link Kedua, Johor Bahru," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Segamat itu, baru kali pertama datang ke Johor Bahru dan ketika kejadian belaiu dalam perjalanan ke rumah rakannya di Nusa Bayu, Gelang Patah.
"Lelaki itu memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui selok belok jalan di Johor Bahru dan memasuki jalan yang salah hingga melawan arus seperti di dalam video yang tular di media sosial itu," katanya.
Oleh itu, Rahmat meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi BSPTD Iskandar Puteri di talian 07-5101322 untuk membantu siasatan. - Getaran, 27 Februari 2024

