Berita Terkini

3 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 4 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Aman Palestin: 3 Tertuduh Didakwa Untuk 164 Kesalahan

Semasa Dikemaskini 2 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 15 Feb 2024 5:04PM

Abdullah Zaik Abdul Rahman ialah antara tiga individu dari Aman Palestin yang didakwa atas 164 pertuduhan hari ini - gambar X

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Selepas sekian lama diselubungi pelbagai kontroversi termasuk berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tiga pengurusan tertinggi Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) akhirnya didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58, dan Awang Suffian Awang Piut, 52 masing-masing didakwa atas 164 pertuduhan pecah amanah, menipu dan pengubahan wang haram berjumlah RM39.5 juta.

Memetik laporan Harian Metro, turut didakwa ialah Pengarah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali, 49.

Kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Jumlah pertuduhan yang terlalu banyak juga menyebabkan jurubahasa mahkamah terpaksa mengambil masa lebih dua jam untuk memastikan ia dibaca sepenuhnya.

Abdullah Zaik dan Awang Suffian masing-masing berdepan 52 pertuduhan pecah amanah selaku Pengarah syarikat Samudra Champa Sdn Bhd (Samudra Champa) yang diamanahkan dengan harta milik Aman Palestin iaitu wang berjumlah RM20,946,498.80.

Mereka didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas wang berkenaan di sebuah bank di Bandar Baru Bangi, antara 12 Mac 2018 dan 3 November 2023.

Untuk semua 52 pertuduhan tersebut, kedua-dua tertuduh berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dengan sebat dan denda.

Abdullah Zaik dan Awang Suffian juga didakwa dengan 19 pertuduhan menipu, iaitu memperdayakan Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM39,150,000 kepada syarikat Samudra Champa Sdn Bhd bagi pembelian emas.

Mereka didakwa menipu kerana  harga pembelian emas itu lebih rendah iaitu RM33,399,970 dan Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin Berhad tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdaya.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di Aman Palestin di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi antara 24 September 2021 dan 14 Julai 2023.

Untuk 19 pertuduhan terbabit, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Abdullah Zaik dan Awang Suffian sebagai Pengarah Samudra Champa turut didakwa dengan 19 pertuduhan membeli pelbagai aset menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM12,833,772.16.

Kesemua aset berkenaan terdiri daripada sebuah rumah Semi-D, rumah kedai, lot tanah, lot kedai, kilang pejabat berkembar dan sebuah kereta Toyota Vellfire yang dibeli bagi pihak Samudra Champa Sdn Bhd.

Sementara itu, Khairuddin selaku pengarah syarikat sama berdepan tiga pertuduhan untuk kesalahan serupa, tetapi melibatkan wang berjumlah RM6,038,016.60 yang digunakan untuk membeli lot kedai, rumah kedai dan kilang pejabat berkembar.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di beberapa bank di Bandar Baru Bangi dan Kajang antara 1 Jun 2018 dan 3 Mei 2023.

Bagi kesalahan itu, kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1), dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Ketiga-tiga mereka boleh dipenjara sehingga 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa ia dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib, Wirna Rifin @ Arifin, Nurul Atiqah Mohamad Alias dan pegawai pendakwa SPRM, Fatin Farhana Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili Siti Mardhiyyah Zamani.

Ahmad Akram menawarkan jumlah jaminan bon RM1 juta setiap seorang kepada Abdullah Zaik dan Awang Suffian dengan seorang penjamin. 

Mereka turut dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah bagi semua pertuduhan.

Jumlah jaminan tersebut kemudiannya disahkan oleh Siti Mardhiyyah seperti dipersetujui anak guamnya.

Anita kemudian menetapkan 13 Mac depan untuk sebutan semula kes. - Getaran, 15 Februari 2024

Berita Berkaitan

1

Semasa 23 jam yang lalu

Muat Naik Hantaran Jelik, Peniaga Didenda RM23,000

2

Semasa 1 minggu yang lalu

Мahkamah Tetapkan 27 Jun Keputusan Badan Peguam Berhubung Kes DNAA Ahmad Zahid

3

Semasa 1 minggu yang lalu

Stoking Tertera Kalimah Allah: Mahkamah Tinggi Batal Hukuman, Sabitan Terhadap Juruteknik 

4

Luar Negara 1 bulan yang lalu

Bekas Menteri Pengangkutan Singapura Hadapi 8 Lagi Pertuduhan Baharu

Sorotan

1

Kerajaan Tidak Bercadang Gantung Sementara Perkhidmatan Helikopter Jenis Fennec, HOM

2

Tiada Tepung Di Pasaran Tempatan Mengandungi Benzoil Peroksida Melebihi Kadar Dibenarkan - KKM

3

Proses Penamaan Calon PRK KKB Lancar - Polis Selangor

4

Dakwa Kerajaan Ambil Tindakan Terhadap Kritikan, Syed Saddiq Diminta Tidak Hipokrit - Fahmi

5

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

6

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

Disyorkan untuk anda

Semasa 23 jam yang lalu

Muat Naik Hantaran Jelik, Peniaga Didenda RM23,000

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

Semasa 1 hari yang lalu

2 Individu Ditahan, Bantu Siasatan Kes Pukul Warga Emas Nyanyuk

oleh Rafisqi Radhi

Politik 1 jam yang lalu

Proses Penamaan Calon PRK KKB Lancar - Polis Selangor