KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) baharu menggantikan Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.
Pelantikan itu berkuat kuasa mulai esok.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, dalam satu kenyataan media, berkata pelantikan Wan Ahmad Dahlan, 58, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, berkuatkuasa pada 9 Januari 2024.
Mohd Zuki berkata, pelantikan Wan Ahmad Dahlan dibuat berdasarkan pengalaman luasnya dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan.
Katanya, Wan Ahmad Dahlan juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, di Istana Negara serta di Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Saya yakin dengan pengalaman serta kredibiliti yang dimiliki oleh Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini bagi menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Wan Ahmad Dahalan yang sebelum ini pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) bermula Julai 2020 sehingga Februari 2023, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya.
Mohd Zuki berkata, Wan Ahmad Dahlan berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 29 tahun sejak mula menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Januari 1995.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Mohd Zuki yang mewakili kerajaan turut merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Zulkapli atas khidmat baktinya sepanjang berkhidmat sebagai KPPA.
Zulkapli dilantik sebagai KPPA pada 27 Februari tahun lalu, bagi mengisi jawatan berkenaan yang kosong selepas perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah ditamatkan berkuat kuasa 12 Disember 2022. – Getaran, 8 Januari 2024

.jpg)