KUALA LUMPUR – Nama bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sememangnya dikenali ramai, sehingga ia digunakan individu dan pihak tertentu sebagai ‘pelaris’ produk yang dijual.
Terkini, gambar serta laporan akhbar dalam Bahasa Cina membabitkan Dr Noor Hisham digunakan sebagai daya penarik ke sebuah kedai menjual teh herba.
Berikutan itu, Dr Noor Hisham membuat keputusan untuk menyeret pihak berkenaan ke mahkamah atas perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Melalui satu hantaran di aplikasi X, Dr Noor Hisham berkata ia adalah perbuatan yang memalukan.
“Ini adalah satu lagi pemasaran tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama dan gambar saya, bertujuan menipu orang awam,” katanya.
Dr Noor Hisham turut meminta cadangan berapa jumlah yang harus beliau tuntut daripada pihak berkenaan.
Katanya, tindakan menyeret pihak itu ke mahkamah diharap dapat memberi pengajaran kepada syarikat lain.
“Sekurang-kurangnya jika saya menang, saya boleh kongsikan kemenangan (wang pampasan) dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Ini bukan kali pertama nama dan gambar Dr Noor Hisham dipaparkan pada produk mahupun kedai pelbagai jenis makanan kesihatan, seolah-olah beliau menyokong dan memperakui keberkesanannya.
Sebelum ini beliau dikaitkan dengan pelbagai jenis produk ‘kesihatan’, seolah-olah beliau memperakui produk terbabit termasuk pada bulan lalu apabila namanya dikaitkan dengan produk ‘ubat’ kencing manis.
Sementara itu, rata-rata pengikut beliau di media sosial sama ada di aplikasi X atau di Facebook menyokong tindakan Dr Noor Hisham selain mencadangkan jumlah tuntutan yang besar.
Malah ada yang mencadangkan supaya syarikat terbabit dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka dalam sidang media serta Kementerian Kesihatan (KKM) turut membuat pemeriksaan terhadap premis itu. – Getaran, 18 November 2023
