KUALA LUMPUR – Peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan dipilih berdasarkan tahun kelahiran tertentu.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini, berkata jika PLKN 3.0 dilaksanakan tahun depan, hanya remaja yang lahir pada 2007 akan dipanggil menyertainya.
“Secara dasarnya, Kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan kaedah yang baharu PLKN 3.0 selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
“Mengenai penetapan had umur pelatih yang akan menjalani PLKN 3.0, Kerajaan akan melaksanakan seperti berikut (iaitu) pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran.
“Ini bermaksud, ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0.
“Sebagai contoh, sekiranya PLKN 3.0 dilaksanakan pada tahun 2024, maka remaja yang hanya lahir
pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut, jika pelatih terbabit tidak dapat menjalaninya atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh membuat penangguhan dengan had maksimum sehingga umur 35 tahun.
“Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun.
“Kementerian Pertahanan berharap agar penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0,” katanya. – Getaran, 3 November 2023

