KUALA LUMPUR -Seorang ulama, Sheikh Nuruddin Marbu Al Banjari, yang sebelum ini menegur majlis akad nikah pasangan pelakon Sabri Yunus dan Angeline Tan, sebagai tidak sah mengikut syarak, menasihati pasangan itu untuk bernikah semula.
Melalui satu kuliahnya di Surau Ar-Rahim, Kinabatangan, Sabah, Selasa lalu, Sheikh Nuruddin berkata, ia berikutan lafaz nikah yang dilafazkan Sabri itu hanya menyebut beliau menerima namun tidak menyatakan apa yang diterimanya itu.
Menafikan ia sebagai pendapat peribadinya, Sheikh Nuruddin berkata, ia sebenarnya adalah pendapat jutaan ulama yang berpegang kepada mazhab Syafie, seperti yang dipegang oleh masyarakat di negara ini.
“Atas nama peribadi, pertama Abi ingin mengucapkan ampun maaf kepada Sabri Yunus dan pasangan kalau terperanjat statement dan penyataan Abi pada program daurah di Sandakan baru-baru ini.
“Terperanjat dengan pernyataan Abi tapi itu bukan pernyataan Abi tetapi pernyataan daripada jutaan ulama Syafi’iyah yang menyatakan kalau berlaku kesilapan dalam ijab kabul atau akad nikah mungkin disebabkan kerana wali, disebabkan kerana saksi atau disebabkan kerana sirah maka akad nikah yang berlangsung itu jadi tidak sah.
“Di balik daripada tidak sah bererti hubungan pasangan dua laki (suami) isteri yang diijab kabul bermasalah, maksud daripada bermasalah itu itu apa saja, sama dengan zina, bukan berzina,” katanya.
Beliau berkata, apa yang dimaksudkan bukanlah pasangan itu berzina kerana perbuatan zina itu sendiri tertakluk kepada undang-undang lain, namun ia seolah-olah sama seperti perbuatan zina kerana nikah itu seperti syubhah ekoran kejanggalan yang berlaku itu.
Katanya, umat Islam yang berpandukan mazhab Hanafi sekali pun tidak mempraktikkan teori bahawa sesuatu akad adalah sah jika suami hanya menyebut ‘aku terima’ sahaja kerana teori itu dianggap sebagai satu andaian.
Oleh itu beliau berkata, mengapa seseorang umat Islam berpegang kepada urusan yang samar-samar dan tidak jelas apabila ia membabitkan urusan masa depan dan agama.
“Kalau dengan pelayaran, penerbangan, ada yang mengatakan dikhuatirkan pesawat akan rosak pada masa ketinggian 30,000 kaki, kita tak jadi terbang.
“Jadi kira-kira siapa yang tidak sah? Abi yang mengatakan akad nikah itu tidak sah, yang lebih bernasihat, yang lebih bertoleran, yang lebih sayang kepada Sabri, Datuk Mufti atau saya.
“Secara jujur saya lebih sayang sebab saya ingin keselamatan nikah anda berdua bersih daripada tundingan dan tuduhan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, walaupun ada pendapat kebanyakan ulama yang mengatakan nikah sedemikian adalah sah, ia tetap bermasalah kerana ketika itu tidak bertaklid mengikut mazhab Hanafi yang membenarkan kabul ‘aku terima’ sahaja.
Beliau berkata, penyelesaian yang paling mudah ialah dengan mengikut mazhab Hanafi yang membenarkan wanita menikahkan dirinya sendiri dengan pasangan dengan syarat mempunyai dua saksi.
Bagaimanapun, Sheikh Nuruddin tidak menyalahkan pasangan itu dalam isu pernikahan pada Ahad lalu kerana kedudukan mereka sebagai orang awam yang tidak mempunyai pengetahuan agama yang mendalam.
Justeru, beliau menyelar tindakan Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, yang seharusnya lebih memahami dan mendalami illmu agama.
Sheikh Nuruddin turut mengucapkan tahniah kepada Sabri dan Angeline atas pernikahan serta keputusan Angeline memeluk Islam. – Getaran, 19 Oktober 2023
