KUALA LUMPUR – Ketika syarikat penerbangan tambang rendah MYAirline bergelut dengan tekanan kewangan sehingga terpaksa menggantung operasinya, tiga syarikat penerbangan pesaing tampil menghulurkan bantuan membantu penumpangnya yang terjejas.
Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd serta AirAsia Group dan Batik Air Malaysia Sdn Bhd menawarkan tempat dalam penerbangan bagi membolehkan penumpang MYAirline meneruskan perjalanan masing-masing.
AirAsia, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan komitmennya memberikan sokongan yang diperlukan semua penumpang dan kakitangan MYAirline yang terjejas ketika mereka memerlukan.
Syarikat penerbangan itu berkata, ia memberi tawaran istimewa diskaun 50 peratus untuk tambang asas secara eksklusif kepada penumpang MYAirline dengan tempahan penerbangan yang sah.
Tambang asas 50 peratus adalah untuk perjalanan sehala tidak termasuk cukai lapangan terbang, fi MAVCOM, surcaj bahan api dan bayaran lain yang berkenaan selain tertakluk kepada terma dan syarat lain.
Katanya, ia melibatkan perjalanan antara Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang, Tawau, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-Tawau, dan Don Mueng-Bangkok dan Suvarnabhumi-Bangkok bermula hari ini sehingga 30 November 2023.
Kenyataan itu menyebut, untuk menebus tawaran itu, penumpang yang terjejas boleh mengemukakan tempahan penerbangan MYAirline yang sah di Kaunter Jualan AirAsia di KL Sentral di Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) di Sepang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (Kota Bharu), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Tawau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueng dan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam, berkata sebagai syarikat penerbangan untuk semua, pihaknya amat bersimpati dengan semua penumpang dan kakitangan MYAirline yang terjejas.
“Kami memahami tekanan dan kesulitan yang disebabkan oleh situasi ini dan berharap diskaun 50 peratus ini akan membantu penumpang yang terjejas dalam membuat penjadualan semula perjalanan mereka menggunakan rangkaian penerbangan kami,” katanya dalam kenyataan sama.
Pada masa sama, Bo berkata, pihaknya juga bersedia mengambil pekerja berkelayakan daripada MYAirline untuk menyertai pasukan AirAsia.
“Kami mengiktiraf bakat dan pengalaman kakitangan MYAirline, dan ingin menghulurkan bantuan. Kami berbesar hati untuk mempertimbangkan usaha untuk mengambil individu yang berkelayakan daripada MYAirline untuk menyumbang kemahiran dan kepakaran mereka kepada pasukan kami.
“Kami menggalakkan kakitangan MYAirline yang terjejas untuk menghubungi kami dan meneroka kemungkinan menyertai keluarga Allstars kami,” katanya.

Sementara itu, akhbar Business Times melaporkan Malaysia Aviation Group (MAG), yang memiliki Malaysia Airlines, dalam satu kenyataan media, memaklumkan kesediaannya untuk bekerjasama dengan MYAirline untuk menempatkan semula semua penumpang bagi perjalanan antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi dan Bangkok.
Selain itu, Pengarah Strategik Kumpulan Lion, Datuk Chandran Rama Muthy, memaklumkan Batik Air pula menawarkan tambang istimewa sehala bagi laluan terpilih dari Kuala Lumpur, termasuk Pulau Pinang (RM129), Langkawi (RM159), Kuching (RM199) serta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang International Airport di Bangkok, Thailand selain ke Kota Kinabalu pada harga RM299.
Ia bagi perjalanan sehingga 30 November dan tempat duduk bergantung kepada kekosongan.
Syarikat penerbangan itu memaklumkan, penumpang MYAirline yang terjejas perlu mengepilkan salinan tiket MYAirline mereka dan membuat tempahan melalui [email protected]. – Getaran, 12 Oktober 2023
Foto : AirAsia

