KLANG – Lelaki yang dirakam memukul seorang pekerja penghantar makanan yang tular baru-baru ini dipenjara dua bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.
Pekerja bengkel, Mohd Faizul Nazri, 39, yang diarahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan, turut didenda RM2,000 oleh Majistret Siti Zubaidah Mahat.
Siti Zubaidah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan terhadapnya.
Terdahulu Mohd Faizul membuat pengakuan salah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun.
Mangsa mengalami patah dan retak tulang rahang ke lapan sebelah kiri.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan, hadapan lampu isyarat Jalan Langat - Klang menghala ke Klang pada jam 7.15 malam, Ahad lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Sewaktu membacakan penghakimannya, Siti Zubaidah berharap tertuduh mengambil iktibar dengan kejadian itu serta mengingatkan tertuduh supaya tidak mengikut perasaan dan menunjuk hebat ketika di jalan raya.
Sebelum itu, peguam Nicholas Cheoh, yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara minimum yang bermula dari tarikh dia ditangkap.
"Saya difahamkan isteri tertuduh sedang sarat mengandung dan dia berhasrat untuk berada di sisi isterinya bila melahirkan anak pertama mereka.
"Tertuduh juga menyesal dan memberi aku janji tidak akan mengulangi kesalahan itu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi memohon supaya mahkamah mengenakan denda setimpal berikutan terdapat saksi yang menyatakan tertuduh bertindak tanpa belas kasihan sehingga mencederakan mangsa.
"Mangsa dalam kes ini retak di bahagian rahang dan kes gangsterisme di jalan raya sering berlaku.
"Saya memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran bukan saja pada tertuduh tetapi orang awam," katanya.
Isnin lalu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa ditahan oleh sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki.
Beliau dilaporkan berkata, mangsa melaporkan seorang daripada lelaki berkenaan bertindak memukul dan merosakkan motosikal miliknya. – Getaran, 5 Oktober 2023

