KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap bertegas bahawa beliau mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas daripada pengaruh eksekutif.
Dalam ucapan sempena ulang tahun ke-56 agensi penguatkuasa itu yang dimuat naik melalui akaun media sosialnya, Anwar berkata, suruhanjaya itu perlu berdiri dengan prinsip yang bukan hanya menolak, malah memperteguhkan usaha mencegah gejala rasuah.
"Sekalung tahniah buat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersempena ulang tahun yang ke-56.
"Atas kesempatan ini, saya kekal tegas bahawa badan ini mesti bebas dari pengaruh eksekutif. Ia mesti tegak dengan prinsip yang bukan hanya menolak tetapi mesti memperteguh usaha mencegah gejala rasuah," katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menyatakan keyakinannya dengan kemampuan SPRM merealisaiskan cita-cita itu demi kepentingan rakyat dan negara.
"Negara atau tatanan yang dicita tidak akan terbangun tanpa usaha menolak dan membenam keras budaya rasuah di semua peringkat masyarakat.
"Saya yakin akan kemampuan SPRM memaknai cita-cita luhur ini demi rakyat dan negara," tambah Ahli Parlimen Tambun itu lagi. - Getaran, 1 Oktober 2023

