KUALA LUMPUR – Umat Islam yang terpaksa membeli beras import tidak perlu khuatir berkenaan kadar bayaran zakat fitrah untuk tahun depan, ketika negara sedang berdepan kekurangan beras putih tempatan.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata berdasarkan hukum Islam, pengguna boleh membayar zakat fitrah pada kadar biasa meskipun seisi rumah menggunakan beras mahal.
Jelasnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri boleh mengambil kira kesusahan dan kesempitan rakyat dalam meletakkan kadar bayaran fitrah pembayar zakat.
"Kalau ikut dari segi kemanusiaannya, sepatutnya orang yang miskin dia terpaksa makan beras dari kategori yang lebih dia kena bayar zakat lebih, jadi bebanan itu akan bertambah dua kali ganda. Jadi itu perlu Jawatankuasa Fatwa pertimbangkan juga.
"Walaupun dia makan kategori yang mahal tetapi memandangkan kepada keadaan semasa maka pihak zakat atau jawatankuasa fatwa boleh mempertimbangkan harga zakat itu.
"Walaupun dia makan yang mahal, tetapi dia bayar zakat ikut kemampuan dia. Boleh… ini bukan sesuatu yang tiada budi bicara atau pertimbangan, kita boleh gunakan budi bicara dalam hal ini," katanya ketika dihubungi Getaran.
Beliau diminta mengulas berkenaan kenaikan harga beras import dan juga kekurangan beras putih tempatan di dalam negara yang memberi kesan kepada rakyat.
Katanya, perkiraan kadar zakat adalah berbeza mengikut negeri dan oleh sebab itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri bertanggungjawab untuk meletakkan kadar dan tetapan bagi harga zakat fitrah mengikut keadaan semasa.
Baliu berkata, penentuan kadar zakat fitrah bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri masing-masing kerana ada kemungkinan harga beras berbeza-beza antara setiap negeri.
"Tidak ada halangan untuk Jawatankuasa Fatwa memutuskan harga beras itu mengikut kategori yang dimakan oleh pengguna, kalau keluarga itu makan beras yang mahal maka dia kena bayar secara logiknya perlu bayar zakat fitrah sesuai dengan kategori beras yang dimakan itu.
"Kalau dia B40 dia makan beras kategori harga yang murah, dia bayar zakat pun murah jugalah. Kalau orang kaya, dia memang kena bayar ikut harga beras itulah ikut kemampuan dia.
"Tetapi berbeza kalau orang kurang berkemampuan, itu terpulang kepada Jawatankuasa Fatwa untuk memutuskan.
“Dalam keadaan biasa, kita memang bayar ikut jenis beras atau makanan ruji yang kita makan, tetapi dalam keadaan seperti ini kita gunakan hukum yang berkecuali," katanya. – Getaran, 22 September 2023
