SHAH ALAM – Pengguna diminta bertenang dan tidak melakukan pembelian panik beras.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata ia berikutan stok beras negara berada dalam keadaan yang mencukupi.
Beliau berkata, tindakan membeli beras melebihi daripada keperluan sebenar adalah punca kepada kekurangan stok makanan ruji itu.
"Saya harap semua penduduk dan mereka yang memerlukan beras untuk makan, beli ikut keperluan seperti biasa. Kalau perlu dia pakai dua kampit, beli dulu dua kampit...bulan depan beli lain, ada Insya-Allah.
"Bila beli banyak untuk stok akan berlaku kekurangan di sana dan sini… seseorang beli begitu banyak konon beras tiada bulan depan. Jangan anggap begitu," katanya kepada pemberita ketika program tinjauan Pelan Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) di Agrobazaar Kedai Rakyat Jalan Kebun, hari ini.
Beliau berkata, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan berusaha untuk memastikan bekalan beras mencukupi untuk seluruh rakyat di negara ini.
Malah, katanya, bekalan beras tempatan sedia ada itu juga berada pada tahap kualiti yang sama dengan beras import dan boleh didapatkan dengan harga yang lebih mampu milik.
"FAMA dan LPP hanya mampu campur tangan, saya sebut macam telur dan ayam dahulu, mana berlaku kekurangan mereka cuba untuk hantar dan mengatasinya.
"Keadaan beras negara kita cukup, yang mampu belilah beras import, tapi yang kurang mampu beras tempatan RM26 untuk 10 kg.
“Keadaan kualitinya kalau buat nasi lemak sama sahaja dengan kualiti beras import kecualilah basmathi dan sebagainya sudah tentu harganya lebih mahal," katanya.
Beliau berkata, isu kekurangan beras tidak hanya dihadapi di Malaysia, malah ia juga krisis dunia.
Susulan itu, kerajaan sudah merangka pelan jangka panjang dan pendek bagi mengatasi masalah ini dan juga dalam memastikan bekalan beras akan mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.
"Krisis beras krisis dunia bukan Malaysia sahaja. Di Indonesia, Presiden Jokowi buat ucapan khas kepada rakyat soal kenaikan harga beras.
"Jangka pendek kita cuba intervensi dan beri cukup kepada rakyat, dan jangka panjang kita semua kena terlibat usaha cukupkan beras di Malaysia.
"Saya minta pihak swasta yang bermodal besar terlibat buka sawah ladang padi. Terkini ialah projek RM3 billion di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk jadikan padi lima musim untuk dua tahun semuanya berjalan lancar dan kita akan capai SSR (Kadar Sara Diri). Semua kena ambil tanggungjawab," katanya. – Getaran, 21 September 2023
