KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat pertama kalinya membuka permohonan bagi pelantikan pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 kepada orang awam.
Permohonan itu terbuka kepada mereka yang memenuhi kategori dan syarat-syarat seperti ditetapkan oleh kementerian berkenaan dan boleh memohon bermula 12 September sehingga 31 Oktober ini.
"Penawaran adalah berdasarkan prinsip sukarelawan dan elaun akan dibayar berdasarkan kepada jumlah hari bertugas dengan kadar bayaran semasa bagi bukan penjawat awam," memetik hebahan di laman Facebook KPM hari ini.
Tawaran ini dibuka selaras dengan tujuh langkah mengatasi bebas tugas guru seperti yang diumumkan sebelum ini oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Terdapat lima kategori pemohon yang telah disenaraikan oleh KPM yang membolehkan individu berkait layak untuk memohon bagi mengisi kekosongan tugas tersebut.
"Antara kategori-kategori pemohon ialah pesara kerajaan bawah Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, pelajar institusi pengajian tinggi awam/swasta, institut pendidikan guru, lepasan asasi/matrikulasi.
"Guru sekolah menengah agama kerajaan negeri, guru sekolah swasta atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), anggota kumpulan pelaksana atau pekerja kontrak kerajaan.
"Kakitangan bukan kerajaan, pesara kerajaan atau pesara swasta," katanya.
Sementara itu, Cikgu Fadhli Salleh melalui satu hantaran di Facebook, turut berkongsi pekeliling tawaran daripada KPM dan juga Lembaga Peperiksaan (LP).
Menurut pekeliling, tawaran tersebut akan dilaksanakan oleh LP melalui Jabatan Pendidikan Negeri, yang turut menggariskan beberapa kriteria kepada pemohon sama seperti yang tertera dalam hebahan KPM.
Antara tugas-tugasnya ialah membantu Ketua Pengawas Peperiksaan mengawas perjalanan peperiksaan dalam dewan atau bilik peperiksaan.
Membantu Ketua Pengawas Peperiksaan untuk mengedar kertas peperiksaan dan atau apa-apa bahan peperiksaan berdasarkan keperluan semasa. Membantu Ketua Pengawas Peperiksaan memungut kertas peperiksaan, skrip jawapan peperiksaan, kertas jawatan objektif dan atau apa-apa bahan peperiksaan.
Mengawas calon peperiksaan untuk ke tandas dan masuk semula ke dewan atau bilik peperiksaan, mengawas calon peperiksaan dalam dewan atau bilik peperiksaan sepanjang masa peperiksaan berlangsung dan membantu Ketua Pengawas Peperiksaan berdasarkan arahan dari semasa ke semasa yang telah ditetapkan oleh LP.
KPM menetapkan beberapa syarat bagi pemohon termasuk warganegara Malaysia dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 65 tahun.
Pemohon juga dikehendaki mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan SPM atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengan kerajaan dan bebas daripada sebarang rekod jenayah dah tindakan mahkamah.
"Pemohon adalah pesara / pelajar kolej atau universiti yang sedang dalam tempoh cuti semester sepanjang SPM berlangsung / lepasan sekolah, koleh atau universiti.
"Mempunyai pengangkutan sendiri," menurut kenyataan KPM itu.
Bagi mereka yang berminat untuk memohon sebagai pengawas peperiksaan SPM 2023 boleh mengemukakan permohonan kepada Pengarah Pendidikan Negeri, JPN melalui pautan https://bit.ly/44KmnxL.
Sekiranya permohonan berjaya dan disenarai pendekkan sebagai calon sukarelawan, mereka akan dipanggil untuk sesi temuduga di Pejabat Pendidikan Daerah yang berdekatan.
Permohonan yang tidak menerima sebarang jawapan selepas satu bulan dari tarikh tutup iklan adalah dianggap sebagai tidak berjaya. – Getaran, 17 September 2023

