KUALA LUMPUR - Rakyat khususnya di Selangor diminta untuk tidak menimbulkan isu yang boleh menjurus kepada fitnah melibatkan institusi agama.
Perkara berkenaan disentuh dalam khutbah Jumaat hari ini yang disediakan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Intipati khutbah berkenaan antara lain mengajak semua pihak untuk menjauhi perbuatan fitnah.
Ia dipercayai merujuk kepada beberapa isu yang timbul berkaitan jabatan itu dan juga Kerajaan Selangor.
"Mutakhir ini, pelbagai tanggapan buruk pihak-pihak tertentu terhadap kerajaan negeri antaranya dakwaan menghalang pelaksanaan peruntukan undang-undang mengenai tauliah mengajar.
"Menghalang usaha-usaha dakwah apabila melaksanakan pemutihan sekolah-sekolah tahfiz dan juga membuat penyusunan semula guru-guru KAFA," memetik teks khutbah Jumaat itu hari ini.
Khutbah Jumaat itu juga memberi peringatan agar semua pihalk tidak melahirkan kebencian dan tidak mengamalkan penyebaran fitnah.
Jelasnya, tindakan sedemikian boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi dan juga pihak berkuasa agama.
Justeru, khutbah berkenaan menyeru agar semua pihak berpada-pada dalam setiap tindakan yang natijahnya boleh menimbulkan persepsi negatif kepada institusi berkaitan.
"Mimbar menegaskan supaya semua berhenti berpolemik, berhenti berpersepi salah, berhenti berprasangka buruk dan berhenti mempolitkkan isu agama.
"Hendaklah kita semua menjauhi perbuatan fitnah, tabayyun terlebih dahulu setiap berita yang diperolehi dan harus sedar bahawa fitnah itu akan memecah belahkan dan menghancurkan umat Islam, " katanya.
Khutbah Jumaat itu juga mengingatkan umat Islam untuk tidak merosakkan diri dengan menjadi penyebar fitnah dan menjadi umat yang membawa kebenaran.
Akhir-akhir ini, kerajaan Selangor berdepan dengan beberapa isu yang dikaitkan dengan pihak berkuasa agama negeri.
Sebelum ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, fitnah berhubung dakwaan bawaha lebih 200 buah sekolah tahfiz di Selangor telah diarahkan tutup amat tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.
Titah baginda, fitnah sebegini secara tidak langsung merisaukan ibu bapa dan boleh menghakis kepercayaan orang ramai terhadap institusi agama dan pihak berkuasa agama khususnya di negeri ini. – Getaran, 8 September 2023
