SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan bertanggungjawab terhadap lima portfolio bagi penggal ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.
Ia membabitkan Pembangunan Tanah & Sumber Alam; Kewangan & Tindakan Ekonomi; Pemodenan Pentadbiran & Digitalisasi Kerajaan; Komunikasi Strategik dan Pendidikan & Pembangunan Modal Insan.
Amirudin pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, tengah hari tadi, turut mengumumkan portfolio untuk 10 lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Exco Selangor.
Pentadbirannya turut mengekalkan tiga Exco lama iaitu Ng Sze Han (dengan pertukaran portfolio), Izham Hasim dan Borhan Aman Shah.
Sze Han dilantik sebagai Exco Pelaburan Perdagangan & Mobiliti kini memegang portfolio Pelaburan & Perdagangan; Pembangunan IKS & Wilayah Ekonomi Baharu; Mobiliti Selangor dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS), yang sebelum ini dipegang Datuk Teng Chang Khim.
Izham kekal sebagai Exco Infrastruktur & Pertanian yang memegang portfolio Kemajuan Infrastruktur dan Pemodenan Pertanian & Perladangan manakala Borhan yang sebelum ini Exco Pembangunan Luar Bandar & Kebudayaan, kini menjadi Exco Perumahan & Kebudayaan dengan portfolio Perumahan & Pembangunan Bandar Lestari serta Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu & Warisan.
“Ng Suee Lim (sebagai) Exco Kerajaan Tempatan & Pelancongan yang bertanggungjawab terhadap Pembangunan Kerajaan Tempatan; Pelancongan; Pembangunan Kampung Baru dan juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS).
“Exco kita yang seterusnya Datuk Rizam Ismail (sebagai) Exco Kemajuan Desa & Perpaduan, bertanggungjawab terhadap Kemajuan Desa & Luar Bandar; Kemampanan Kampung Tradisi dan Perpaduan Nasional.
“Datuk Rizam dari Sg Air Tawar,” katanya.
Suee Lim sebelum ini adalah Speaker Dewan Undangan Negeri bagi penggal lalu.
Sementara itu, ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin dilantik Exco Kesihatan Awam & Alam Sekitar yang bertanggungjawab terhadap portfolio Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Perubahan Iklim & Teknologi Hijau; Mohd Najwan Halimi dilantik Exco Belia, Sukan & Keusahawanan yang bertanggungjawab terhadap Pembangunan Belia & Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan & Ekonomi Kreatif dan Pengurusan Bencana; Papparaidu Veraman sebagai Exco Sumber Manusia & Pembasmian Kemiskinan dengan portfolio Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asal & Minoriti serta Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS).
Dr Mohammad Fahmi Ngah dilantik Exco Agama Islam & Pembudayaan Inovasi yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Agama Islam, Industri Halal, Infrastruktur Digital dan Pembudayaan Sains, Teknologi & Inovasi (STI) manakala Anfaal Saari dilantik Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat serta memegang portfolio Pemberdayaan Wanita & Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan (Care Economy).
“Masa depan kita mungkin tidak menentu. Namun apa yang pasti ialah saya selaku Datuk Menteri Besar Selangor, Menteri Besar anda, bersama dengan Barisan Kita Selangor di belakang saya, tentunya akan memberikan yang terbaik.
“Agar anda dan saya, kita semua sebagai penduduk Negeri Selangor Darul Ehsan, dapat bersama-sama terus mempertahankan prinsip dan nilai yang membina buat negeri ini, serta memelihara kerencaman dan kepelbagaian negeri ini yang sebenarnya menjadi tonggak kekuatan kita bersama,” katanya. - Getaran, 23 Ogos 2023

