KUALA LUMPUR – Enam Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggesa kerajaan melakukan siasatan lanjut terhadap mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang pernah mengutus surat kepada peguam pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu pada 2019.
Gesaan itu dibuat menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan; Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali; Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui.
Menurut mereka, tindakan Tommy itu dilakukan tanpa mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana jawapan kerajaan di Dewan Rakyat pada 28 Mac lalu.
“Gesaan kami juga adalah sejajar dengan pendirian GRS yang sejak dari awal mempertikaikan tindakan bekas Peguam Negara itu dalam menguruskan isu berkaitan tuntutan tidak berasas berkenaan.
“Pendirian ini dizahirkan dengan tindakan sembilan pemimpin GRS yang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2022 terhadap bekas Peguam Negara itu,” kata mereka dalam kenyataan, hari ini.
Dalam surat kepada Kumpulan Sulu pada 19 September 2019, Tommy menyatakan kekesalannya kerana kerajaan Malaysia menghentikan bayaran pampasan tahunan kepada kumpulan tersebut berikutan pencerobohan Lahad Datu pada 2013.
Tommy dilantik sebagai Peguam Negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada Jun 2018 sebelum meletak jawatan pada akhir Februari 2020.
Pada masa sama, keenam-enam Ahli Parlimen itu turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah atas strategi dan pendekatan berkesan yang diambil dalam menangani isu tuntutan Kumpulan Sulu.
“Kami menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah kepada kumpulan yang bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan,” katanya.
Malah, mereka turut menyeru supaya kerajaan Persekutuan memperkukuhkan tadbir urus bagi memastikan tidak ada mana-mana pihak dalam kerajaan pada masa akan datang bertindak secara unilateral.
“Ini termasuklah dalam hal-hal sensitif yang membabitkan integriti wilayah dan kedaulatan tanah air khususnya Sabah serta keperluan melaksanakan perbincangan dengan kerajaan negeri,” katanya. - Getaran, 15 Jun 2023
.jpg)
