KUALA LUMPUR - Pada 2018, Bank Dunia menganggarkan lebih kurang 500 juta wanita di seluruh dunia tidak mampu menyediakan keperluan asas sewaktu haid atau ia diistilahkan sebagai ‘kemiskinan haid’.
Isu ini membelenggu beberapa negara, termasuk Malaysia tetapi ia tidak diperkatakan secara terbuka ketika itu, menyebabkan tiada data dikeluarkan berkenaan jumlah sebenar kumpulan yang terkesan dengan permasalahan berkenaan.
Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut mengakuinya pada Disember 2021 apabila memaklumkan, seramai 13.1 peratus remaja perempuan dan wanita daripada kumpulan B40 di sekitar ibu negara, tidak mampu membeli tuala wanita.
Justeru, pada 12 Disember 2022, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengumumkan bahawa pihaknya memulakan inisiatif pemberian tuala wanita percuma dalam usaha memerangi kemiskinan haid.

Beliau menyatakan, hasratnya untuk membekalkan tuala wanita itu terlebih dahulu dimulakan di tandas di pejabatnya dan kompleks bangunan Kementerian Kesihatan (KKM), sebelum diperluas ke kementerian lain.
“Sebagai Menteri Kesihatan wanita pertama, saya perlu melakukan bahagian saya untuk menangani kemiskinan haid.
“Saya sebelum ini pernah bekerja dalam isu ini (kemiskinan haid) dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), (tetapi) itu dalam skala lebih kecil.
“Saya percaya sudah tiba masanya untuk menangani perkara itu di peringkat dasar,” katanya semasa perhimpunan bulanan KKM ketika itu, dengan menerima tepukan gemuruh daripada kira-kira 500 penjawat awam.
Malah, pelbagai usaha ditunjukkan kerajaan dengan sokongan pelbagai pihak, termasuk swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta pakar bidang, menyaksikan isu kemiskinan haid semakin kerap diperjuangkan dan mula difahami banyak pihak.

Hasilnya, semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, kemiskinan haid di Malaysia dilihat berada pada tahap tidak membimbangkan susulan pemberian tuala wanita sentiasa dilaksanakan kerajaan, terutama kepada golongan sasar seperti Orang Asli, B40 dan mereka yang tidak berkemampuan.
Menurutnya, pemberian tuala wanita itu dijalankan bagi memastikan kumpulan terbabit berada dalam keadaan bersih sewaktu tempoh haid.
“Di kementerian, kita memang membantu golongan B40 yang menjadi kumpulan sasar.
“Kita akan berterusan membantu golongan ini supaya mereka tidak ketinggalan memandangkan kita difahamkan ada menggunakan sabut kelapa (sebagai tuala wanita), ia tidak bersih dan tidak sihat,” katanya seperti dilaporkan media.
Bagaimanapun, beliau berkata, sudah tiba masa masyarakat memandang kehadapan dalam isu itu bagi mengelakkan ia dianggap sebagai tabu, sekali gus memastikan remaja wanita mengetahui cara paling tepat menguruskan diri ketika haid.
Menerusi maklumat diberikan di media sosial seperti TikTok dan YouTube, jelasnya, ia dapat memberi pengetahuan serta didikan dengan lebih mudah.
Katanya, ia juga membolehkan isu berkenaan dapat diterima masyarakat dengan baik, malah difahami kaum lelaki. – Getaran, 17 Mei 2023