Berita Terkini

38 minit yang lalu: Pindahan pesakit guna tangga di hospital Melaka ekoran kerosakan luar lif 39 minit yang lalu: Ketua Polis Pulau Pinang tidak tunduk dengan ugutan 40 minit yang lalu: Sukan APG Kemboja 2023 buka tirai dengan percikan bunga api 41 minit yang lalu: Pengeluaran ketam di Malaysia 16,000 tan metrik tahun 2022 41 minit yang lalu: JDT selesaikan pusingan pertama Liga Super 2023 dengan rekod bersih

IKUTI KAMI


Sila Jelaskan Kenapa Tarik Semula Rayuan Kes Penggunaan Kalimah Allah - Peguam

Semasa Dikemaskini 2 minggu yang lalu ยท Diterbitkan pada 15 May 2023 8:54PM

Musa menegaskan sebarang tindakan dibuat kerajaan perlu mengambilkira undang-undang negeri, khususnya halangan penggunaan kalimah tertentu, termasuk kalimah Allah yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan diperkenan Sultan negeri berkenaan. - Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia digesa memberi penjelasan penuh berhubung tindakan menarik balik rayuan kes terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung penggunaan kalimah Allah.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, penarikan balik rayuan kes antara Menteri Dalam Negeri dan kerajaan sebagai perayu serta Jill Ireland Lawrence Bill merangkap responden itu, secara langsung akan menjejaskan maslahat dan kepentingan seluruh umat Islam di negara ini.

Musa Awang - Gambar dari Facebook Musa Awang
Musa Awang - Gambar dari Facebook Musa Awang

“Sekiranya perkara (penarikan) diviralkan itu benar, PGSM melahirkan dukacita dan terkilan dengan tindakan tersebut serta menggesa kerajaan Malaysia memberikan penjelasan penuh berhubung tindakan berkenaan. 

“PGSM berharap pihak kerajaan dapat meneliti semula perkara tersebut dan meneruskan rayuan ke mahkamah tertinggi negara, dengan mempertimbangkan pelbagai sudut serta segala aspek, khususnya kepada maslahat dan kepentingan umat Islam di negara ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PGSM berharap kerajaan berpegang teguh kepada enam tonggak dasar membangun Malaysia Madani diperkenalkan kerajaan, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan.

“PGSM berpandangan bahawa tindakan menarik balik rayuan tersebut boleh menggugat tonggak dasar pertama, kedua dan keempat, iaitu ‘keMampanan’, ‘kesejAhteraan’ dan ‘hormAt’ kerana ia boleh menjejaskan kesejahteraan serta keseimbangan masyakarat berbilang kaum dan agama dalam negara ini,” katanya.

Tegas Musa, sebarang tindakan dibuat kerajaan perlu mengambilkira undang-undang negeri, khususnya halangan penggunaan kalimah tertentu, termasuk kalimah Allah yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan diperkenan Sultan negeri berkenaan.

Jelasnya, ia juga bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kuasa Sultan di peringkat negeri.

Sementara itu, Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan berkata, pihaknya sangat kesal, terkilan dan dukacita dengan tindakan kementerian serta kerajaan itu kerana ia tidak selari dengan hasrat penghakiman kes kalimah Allah terdahulu, iaitu dalam kes Titutar Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, peguam kanan Persekutuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan keputusan terbabit pada 10 Mac 2021 menyatakan, mahkamah terkhilaf di dalam membuat keputusan berkenaan dan pihak kerajaan merayu terhadapnya.

Menurutnya, terdapat juga laporan menyatakan beberapa pihak mendesak kerajaan menarik balik rayuan tersebut.

Zainul Rijal Abu Bakar - Gambar ihsan NSTP
Zainul Rijal Abu Bakar - Gambar ihsan NSTP

Zainul Rijal berkata, atas tindakan dan arahan kerajaan itu, penjelasan penuh perlu diberikan berkaitan dengan tindakan ini, termasuk kenapa terdapat perbezaan tindakan yang tidak dimaklumkan kepada masyarakat Islam.

“Kami juga memohon penjelasan sama ada Majlis Agama Islam Negeri, seperti Selangor, Wilayah Persekutuan dan Kedah yang sudah diberikan hak oleh mahkamah menjadi amicus curae (sahabat mahkamah) dalam kes ini dirujuk sebelum sebarang tindakan diambil oleh kerajaan?

“Di Selangor umpamanya, terdapat undang-undang negeri yang menghalang penggunaan kalimah tertentu, termasuk kalimah Allah yang sudah diluluskan Dewan Negeri Selangor dan diperkenan Sultan negeri berkenaan,” katanya.

Katanya, sebagai ketua agama negeri yang termaktub di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kuasa budi bicara sebagai ketua agama negeri di dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, penarikan balik secara unilateral itu menjejaskan kuasa Sultan Selangor khususnya.

Pendapat senada turut disuarakan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA).

Setiausaha Agungnya, Mohd Aswanizam Alias berkata, kerajaan perlu mengarahkan Peguam Negara untuk menarik balik pembatalan rayuan kes itu.

Menurut beliau, tindakan unilateral tanpa merujuk dan berunding dengan pemegang taruh utama berhubung isu Islam iaitu Majlis Raja-Raja, Majlis Agama Islam Negeri dan pihak berkepentingan dianggap sebagai melampau.

“PEMBELA mengambil pendirian, tindakan kerajaan satu tindakan melampau terbesar dan biadab dalam era pemerintahan yang tidak memperdulikan hak dan kesucian agama Islam sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan, serta tidak menjaga kepentingan kepentingan majoriti umat islam di negara ini.

“PEMBELA juga kesal dengan peranan yang gagal dimainkan oleh Ahli Parlimen Islam yang mendukung kewujudan kerajaan Madani untuk membantah serta menghalang tindakan unilateral ini,” katanya.

Susulan itu, Mohd Aswanizam menggesa Ahli Parlimen Islam yang bermaruah dalam kerajaan dan pembangkang untuk memberi tekanan sewajarnya supaya tindakan unilateral tersebut ditarik balik.

Katanya, kegagalan Ahli Parlimen Islam menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penarikan balik pembatalan rayuan itu, harus dianggap sebagai kegagalan utama kumpulan berkenaan dalam mempertahankan agama dan negara.

“Ia harus disusuli dengan tindakan wajar sebagaimana yang harus dilakukan pihak yang gagal menjalankan tugas seperti diamanahkan.

“Kami akan menggerakkan bantahan di peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat. Perdana Menteri wajib arahkan Peguam Negara untuk menarik balik pembatalan rayuan kes tersebut,” katanya.

Media hari ini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah 'Allah' dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021, selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu. - Getaran, 15 Mei 2023

Sorotan

1

Pemimpin Asing Ucap Takziah, Angka Kematian Tragedi Kereta Api India Hampir 300

2

Hubungan Kukuh Negeri, Persekutuan Penting - Ahmad Zahid

3

Kadar Inflasi Malaysia Kekal Sederhana Pada 2023 - Rafizi

Disyorkan untuk anda

Sukan 1 hari yang lalu

Pearly-Thinaah Yakin Kekal Prestasi Baik Di Terbuka Singapura

Semasa 1 hari yang lalu

2 Lagi Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Larikan Perodua Axia

Semasa 11 jam yang lalu

Kaji Selidik Dedah 11 Faktor Pencarum Terdesak Keluarkan KWSP

oleh Farhana Farush

Sukan 56 minit yang lalu

JDT Selesaikan Pusingan Pertama Liga Super 2023 Dengan Rekod Bersih