KUALA LUMPUR - Kimora Lee, bekas isteri kepada Tim Leissner, mendakwa saham bernilai kira-kira AS$93 juta (RM413 juta) yang diarahkan untuk dilucuthak sebagai sebahagian daripada pengakuan bersalah kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah miliknya.
Leissner sebelum ini pernah berkhidmat sebagai jurubank Goldman Sachs.
Kimora meminta hakim persekutuan di Brooklyn, New York, pada Jumaat, untuk mengadakan perbicaraan yang mana beliau berhasrat untuk mengesahkan bahawa dirinya berhak memiliki AS$892,732 (RM3.96 juta) saham dalam Celsius Holdings, iaitu syarikat minuman kecergasan.
Bekas model itu yang pernah membintangi rancangan realiti TV 'Kimora: Life in the Fab Lane' mendakwa dia membeli saham itu dengan wang yang diperoleh daripada kerjaya peragaan dan jenama pakaiannya, Baby Phat.
Katanya, berlaku kesilapan yang mana jumlah saham itu turut dimasukkan dalam perintah persekutuan Mac yang memerlukan Leissner menyerahkan lebih AS$3.3 juta (RM14.64 juta) saham Celsius sebagai hasil daripada jenayah tertuduh.
“Kimora mengesahkan bahawa beliau adalah pembeli yang sah untuk nilai saham Celsius.
“Leissner tidak menyumbang sebarang dana kepada pembelian saham Celsius dan tidak memiliki saham Celsius.
“Hakikat bahawa saham Celsius digunakan sebagai cagaran untuk bon Leissner tidak bermakna terdapat kaitan antara kesalahan Leissner dan saham yang disita," katanya dalam pemfailan itu.
Kimora dan Leissner berkahwin pada 2014 tetapi berpisah apabila dia menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahan Goldman, Roger Ng.
Semalam, Ng memfailkan usul di mahkamah Brooklyn untuk mengatakan dia adalah pemilik sah lebih AS$1.45 juta (RM6.43) saham Celsius yang dilucuthakkan Leissner kepada AS.
Ng menyertai Celsius sebagai pengarah urusan untuk Asia selepas meninggalkan Goldman.
Leissner juga sebelum ini mendedahkan bahawa dia mempunyai dua isteri apabila mengahwini bekas isterinya itu ketika dirinya dan Kimora masih dalam ikatan perkahwinan.
Dia berkata untuk mengahwini Kimora, dia memberikan surat cerai palsu pada 2014, modus operandi yang sama digunakannya ketika mahu berkahwin dengan ahli perniagaan Hong Kong, Judy Chan pada 2000.
Pada Mac lalu, hakim daerah AS, Margo Brodie mengarahkan Leissner menyerahkan aset itu sebagai sebahagian daripada pengakuan bersalahnya pada 2018 atas tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah berkaitan 1MDB.
Pernah menjadi Pengerusi Goldman Asia Tenggara, Leissner merupakan pegawai bank tertinggi yang mengaku bersalah terhadap skim penipuan daripada 1MDB dengan memulangkan lebih AS$60 juta dalam bentuk sogokan.
Pemilikan Celsius, bagaimanapun, masih dicemari selepas Ng pada November tahun lalu memfailkan aduan di mahkamah Manhattan yang menuduh Leissner "berkali-kali berbohong" untuk mencuri pelaburan Ng dalam dua syarikat iaitu Celsius dan syarikat kecerdasan buatan Sentient Technologies.
Brodie berkata, saham Celsius itu dipegang di akaun JPMorgan Chase & Co atas nama Kimora, sambil menambah bahawa sesiapa yang menegaskan kepentingan undang-undang dalam saham itu mungkin memfailkan petisyen dengan mahkamah.
Pada masa itu, pendakwa raya juga memohon perintah pelucuthakan terhadap Ng untuk menyerahkan AS$35.1 juta (RM155.74 juta) yang dikatakan diperolehinya dalam skim tersebut.
Ng baru-baru ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dijadualkan memulakan hukuman penjaranya pada Ogos. - Agensi